Perbicaraan Bermula Bagi Dua Wanita Yang Dituduh Membunuh Kim Jong Nam
2017.10.02
Shah Alam, Selangor

Peguambela bagi dua wanita Asia Tenggara yang dituduh membunuh abang tiri pemimpin diktator Korea Utara di Malaysia pada Februari lalu menuntut agar nama empat lagi suspek warganegara Korea Utara dimasukkan ke dalam rekod mahkamah dalam perbicaraan mengenai pembunuhan yang melibatkan anak guam mereka yang bermula pada Isnin.
Tetapi hakim menolak permintaan peguambela itu yang memaksa pihak pendakwaraya mendedahkan nama keempat-empat rakyat Korea Utara pada hari pertama perbicaraan yang menampilkan saksi-saksi yang memberi keterangan di saat akhir Kim Jong Nam masih hidup, selepas diserang dengan agen saraf yang membawa maut di sebuah terminal lapangan terbang di Kuala Lumpur pada 13 Feb lepas.
Tertuduh, seorang wanita Indonesia Siti Aisyah, 25, dan Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam, mengaku tidak bersalah atas pembunuhan Kim semasa pendakwaan terhadap mereka bermula di kompleks Mahkamah Shah Alam di Selangor. Kedua-dua wanita itu tiba di bangunan mahkamah dengan memakai jaket kalis peluru. Kedua wanita itu boleh menghadapi hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Peguambela mereka berhujah di mahkamah bahawa mereka tidak dapat membina perbicaraan yang kukuh jika pendakwaraya tidak memasukkan kesemua empat nama warga Korea Utara yang meninggalkan negara itu pada hari pembunuhan tersebut berlaku, dan yang dikenalpasti oleh Polis Malaysia sebagai orang yang mempunyai hubungan dengan pembunuhan itu.
Pada Februari lepas, penyiasat Malaysia berkata mereka sedang mencari empat lelaki Korea Utara, yang mereka katakan, telah difilemkan oleh kamera keselamatan di lapangan terbang yang sama pada 13 Februari. Polis telah mengenal pasti mereka dengan nama pada masa itu.
"Pihak pendakwaraya mempunyai kewajipan moral untuk mendedahkan nama-nama tersebut. Pertuduhan telah menyatakan bahawa anak guam kami mempunyai niat bersama dengan empat yang lain. Pihak pembelaan memerlukan nama-nama itu untuk tujuan pembelaan kami, "kata peguam Doan, Hisyam Teh Poh Teik Hisyam, kepada mahkamah.
Hakim Azmi Ariffin menolak permintaan itu, dengan mengatakan tanpa nama keempat-empat warga Korea Utara itu tidak akan mempengaruhi kes bagi kedua-dua wanita berkenaan.
"Memang perlu ada keadilan, tapi kami menghormati keputusan hakim pada pagi ini," kata Hisyam kemudiannya kepada pemberita.
Sebelum perbicaraan bermula, kedua-dua wanita berkenaan mendakwa bahawa mereka telah ditipu oleh beberapa lelaki dengan memikirkan yang mereka mengambil bahagian dengan Kom Jong Nam dalam ’prank’ gurauan realiti TV yang sedang difilemkan dengan kamera tersembunyi.
Kedua-dua wanita berkenaan mendakwa yang mereka tidak mengetahui bahawa mereka menyapu agen saraf VX di muka mangsa yang membawa maut ketika mereka menyerangnya di lapangan terbang.
Bagaimanapun, dalam kenyataan pembukaan perbicaraan itu, Ketua Pendakwaraya Muhamad Iskandar Ahmad berkata, beliau berhasrat untuk membuktikan bahawa kedua-dua defendan terlibat dalam ‘prank’ itu bersama empat lagi yang mengakibatkan kematian Kim Jong Nam.
"Perbuatan kedua-dua wanita yang terlibat dalam ‘prank’ itu telah dikawal selia oleh keempat-empat warga Korea Utara berkenaan yang masih bebas, yang menunjukkan mereka mempunyai hasrat dan niat sama antara kedua wanita berkenaan dan empat individu dalam membunuh si mati," kata pendakwaraya kepada mahkamah.
Kerajaan Korea Utara telah menafikan sebarang peranan dalam pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri pemimpin Pyongyang yang diktator Kim Jong Un. Pegawai Pyongyang juga enggan mengenal pasti lelaki yang dibunuh itu sebagai Kim Jong Nam, yang membawa pasport dengan nama Kim Chol ketika dia diserang maut.
‘Tangan gementar’
Hari pertama perbicaraan itu memaparkan empat orang saksi dipanggil memberi keterangan mereka.
Seorang saksi Juliana Idris, yang bertugas sebagai wakil khidmat pelanggan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, berkata seorang lelaki dengan pasport Korea Utara yang mengenal pasti dirinya sebagai Kim Chol, 45, menghampiri beliau pada hari serangan itu.
"Tangannya gemetar, dan saya tertanya-tanya mengapa. Dia memberitahu saya bahawa dia mahu membuat laporan polis. Saya ada bersama beliau antara 10 hingga 20 minit, " wanita itu memberi keterangannya.
Dia berkata Kim bercakap dengannya dalam bahasa Inggeris di kaunter maklumat dan diminta dibawa ke balai polis. Lelaki itu memberitahunya bahawa dua wanita telah menghampirinya dari belakang dan menyapu bahan ke mukanya, Juliana memberi keterangan.
Saksi kedua Rabiatul Adawiyah Mohd Sofi, pembantu perubatan di Klinik Perubatan Menara di lapangan terbang, berkata, pada kira-kira pukul 9.30 pagi, 13 Februari, anggota polis membawa seorang lelaki yang menderita seperti terkena gejala sawan.
"Terdapat dua anggota polis yang membawa seorang lelaki ke klinik yang mendakwa ada orang yang menyemburkan cecair di wajahnya. Kemudian saya mengambil pasportnya untuk pendaftaran, " katanya memberi keterangan.
"Ia kelihatan seperti cecair. Matanya merah, " kata Rabiatul.
Anggota polis LKpl. Mohd Zulkarnain Sanudin memberi keterangan bahawa mangsa memberitahu bahawa matanya kabur dan dia tidak boleh melihat.
Pakar Perubatan Nik Mohd Adzrul Ariff Raja Azlan, yang cenderung kepada mangsa dan saksi terakhir yang memberi keterangan pada Isnin, berkata Kim berpeluh dengan banyak sekali.
"Apabila saya berjumpa dengannya, tangannya memegang kepalanya. Dia menutup matanya dengan rapat dan mukanya juga merah, " kata doktor itu.
Nadi Kim terhenti, Nik berkata, dengan cepat dan menunjukkan tanda-tanda sawan. "Rahang dan giginya rapi dan matanya bergulir."
Kim tidak lama kemudian itu, jatuh dan tidak sedarkan diri dengan nadinya henti berdetik, Nik memberi keterangan.
Perbicaraan ditangguhkan sejurus selepas pukul 4 petang, dan dijadualkan bersambung semula pada Selasa.
Fasa pendakwaan perbicaraan dijadualkan selama 23 hari pada Oktober dan November. Apabila selesai, hakim akan menentukan sama ada pendakwaraya telah membina kesnya dan jika sudah, Hakim akan membenarkan pembelaan diteruskan.
Suspek Doan Thi Hoang dan wanita Indonesia Siti Aisyah telah dibawa keluar dari kompleks mahkamah Shah Alam selepas hari pertama perbicaraan mereka atas tuduhan membunuh Kim Jong Nam, 2 Oktober 2017. (Fadzil Aziz/BeritaBenar)