AS: Pembunuhan Kim Jong Nam Boleh Sebabkan Korea Utara Kembali Disenarai Hitam

Staf BeritaBenar
2017.11.03
Washington DC
US-Korea.jpeg Penasihat Keselamatan Negara AS H.R. McMaster membuat isyarat menuding jarinya ketika beliau menjawab soalan di Rumah Putih, 2 Nov 2017.
AP

Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat (AS) H.R. McMaster tanpa berselindung menuduh pemimpin Korea Utara Kim Jong Un menjadi dalang di sebalik pembunuhan abang tirinya di sebuah lapangan terbang Malaysia pada awal tahun ini, dan berkata ia adalah satu tindakan keganasan yang boleh menyebabkan Pyongyang disenaraikan semula sebagai penaja tindakan ganas.

Kim Jong Nam diracun sehingga mati ketika menunggu penerbangan di sebuah lapangan terbang di pinggir Kuala Lumpur pada 13 Feb. Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah mengesyaki Pyongyang menjadi dalang di sebalik pembunuhan itu.

Seorang wanita rakyat Indonesia dan seorang wanita rakyat Vietnam sedang dibicarakan atas pertuduhan melumur muka Kim Jong Nam dengan agen saraf berbahaya VX. Malaysia berkata empat lelaki yang telah melarikan diri ke Korea Utara juga merupakan suspek utama, namun pihak pendakwaan belum mendedahkan nama penuh mereka atau mengesahkan mereka sebagai rakyat Korea Utara di mahkamah.

McMaster, yang memberi taklimat kepada media pada Khamis menjelang lawatan Presiden Donald Trump ke Asia, berkata kes pembunuhan di Malaysia itu boleh menyebabkan Korea Utara, yang memiliki senjata nuklear, dimasukkan semula ke dalam senarai hitam Jabatan Negara AS sebagai negara yang disyaki menaja keganasan.

“[Satu] rejim yang membunuh seseorang secara terbuka di sebuah lapangan terbang menggunakan agen saraf, dan seorang pemimpin kuku besi yang membunuh abangnya seperti itu, maksud saya itu secara jelas adalah satu tindakan keganasan yang sesuai dengan pelbagai tindakan lain,” katanya kepada pemberita.  

“Itu adalah satu pilihan yang sedang dipertimbang,” katanya ketika disoal sejauh mana beliau memberi pertimbangan untuk meletakkan semula Korea Utara di dalam senarai hitam. “Membunuh abang sendiri di sebuah lapangan terbang antarabangsa dengan agen saraf kedengaran seperti keganasan kepada saya.

“Kabinet presiden sedang melihat perkara ini sebagai sebahagian daripada strategi keseluruhan terhadap Korea Utara dan saya rasa anda akan mendengar tentangnya tidak lama lagi.

Korea Utara telah disenaraikan sebagai penaja keganasan dari 1988 hingga 2008, apabila Presiden George W.Bush mengeluarkan negara itu daripada senarai tersebut sebagai sebahagian daripada persetujuan bagi menangani program nuklearnya, yang kemudian gagal.

Ed Royce, Pengerusi Parti Republikan dalam Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negeri Dewan Perwakilan AS, telah menggesa pentadbiran Trump menyenaraikan semula Korea Utara sebagai negara yang menaja keganasan dan meminta tindakan pantas diambil berhubung perkara itu.

“Tiada alasan untuk terus menangguhkan keputusan ini,” katanya.

“Tindakan rejim Korea Utara menyeksa Otto Warmbier sehingga membawa maut dan pembunuhan Kim Jong Nam adalah dua contoh satu corak yang konsisten dengan aktiviti pengganas baru-baru ini,” kata Royce dalam satu kenyataan pada lewat Khamis.

Warmbier adalah seorang pelajar AS yang meninggal dunia pada 19 Jun 2017 ketika berusia 22 tahun, iaitu selepas enam hari dibawa keluar dari Korea Utara di mana dia telah dipenjarakan setelah didakwa cuba mencuri sekeping poster propaganda dari sebuah kawasan larangan ketika mengunjungi negara itu dalam satu lawatan makan angin.  

Dia telah dibebaskan dari Korea Utara dengan kecederaan otak yang teruk.

Trump, semasa melakukan lawatan ke Jepun, Korea Selatan, China, Vietnam dan Filipina, dijangka terus berusaha menghimpun sokongan antarabangsa untuk mengasingkan Korea Utara berikutan program senjata nuklear haram dan peluru berpandunya.

Korea Utara menjalankan enam ujian nuklear, yang terbesar setakat ini, dalam bulan September dan turut melakukan satu siri ujian peluru berpandu, dengan menembak dua peluru berpandu balistik melepasi ruang udara Jepun pada Ogos dan September.

Selepas mengadakan rundingan dengan Trump semasa satu lawatan rasmi ke Washington pada 12 Sept, Perdana Menteri Malaysia Najib Razak berkata negara itu mungkin menutup kedutaannya di Korea Utara serta memindahkan tugas misi terbabit ke ibu negara China, Beijing, berikutan kebimbangan keselamatan serantau mengenai program nuklear dan ujian peluru berpandu balistik Pyongyang.

Beliau berkata kerajaan Malaysia turut menilai semula hubungan diplomatik dua hala dengan Pyongyang yang terjalin sejak 1973 namun telah terjejas susulan pembunuhan Kim Jong Nam.

“Kami sedang menyemak semula hubungan kami dengan Korea Utara termasuk dari segi diplomatik, politik dan ekonomi,” kata Najib.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.