Negara-negara Islam Mahu Myanmar Hentikan Keganasan Anti-Rohingya

Hata Wahari
2017.01.19
Kuala Lumpur
170119-MY-OIC-620.jpg Perdana Menteri Najib Razak semasa merasmikan Mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Islam di Kuala Lumpur, untuk menangani krisis Rohingya di Myanmar, 19 Jan, 2017.
[Hata Wahari/BeritaBenar]

Wakil daripada 57 negara yang menganggotai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Khamis mengakhiri satu mesyuarat khas di Kuala Lumpur dengan menyuarakan "kebimbangan" mengenai kebajikan umat Islam Rohingya di Myanmar dengan meminta kerajaan Naypyidaw menghentikan keganasan yang melibatkan minoriti tidak bernegara itu.

Badan antara kerajaan terbesar yang melibatkan negara-negara Islam itu, menggesa Myanmar untuk mengembalikan keamanan di negeri Rakhine dan memastikan pasukan keselamatan negara itu menhormati kedaulatan undang-undang serta mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab melakukan keganasan, menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar itu.

Keganasan yang telah menjadikan etnik Rohingya sebagai mangsa perlu dihentikan dan punca krisis itu perlu ditangani melalui dialog antara agama dan budaya, Perdana Menteri Malaysia, yang menjadi tuan rumah pada mesyuarat khas itu, memberitahu perhimpunan berkenaan.

Oleh kerana kebenaran dan sebagai rakan lama bagi Myanmar, saya menyatakan ini dari lubuk hati saya: Sudah tiba masanya untuk kita menamatkan krisis ini," kata Najib. "Bagaimanakah ia perlu diselesaikan? Sebagai permulaan, pembunuhan mesti dihentikan. Pembakaran rumah mesti dihentikan. Keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan juga mesti dihentikan. "

Jurucakap kerajaan Myanmar pada Khamis enggan memberi ulasan mengenai mesyuarat di Malaysia itu ketika dihubungi oleh Radio Free Asia (RFA), sebuah entiti BeritaBenar,.

Sementara itu, di luar pejabat Kedutaan Malaysia di Myanmar, seorang rakyat tempatan Myat Hsu Mon mengadakan bantahan secara solo berhubung mesyuarat OIC di Kuala Lumpur itu.

Beliau memaklumkan kepada RFA Myanmar, yang beliau telah menghantar surat kepada kedutaan itu, meminta supaya Malaysia menghormati hak kira-kira 135 kumpulan etnik yang berada dalam senarai rasmi Myanmar - yang tidak termasuk Rohingya.

"Lima puluh tujuh negara OIC mengadakan mesyuarat di Malaysia untuk membincangkan masalah Myanmar," katanya. "Campur tangan ini adalah satu penghinaan terhadap kedaulatan Myanmar. Saya tidak boleh menerimanya; dan itulah sebabnya saya membantah.

 

Myat Hsu Mon memegang papan tanda yang tertulis "Saya menolak tekanan daripada 57 negara OIC keatas Myanmar semasa mesyuarat di Malaysia," ketika mengadakan protes secara solo di Yangon, 19 Jan, 2017. [RFA]

Campur tangan PBB


Sejak tentera Myanmar melancarkan tindakan keras di Rakhine pada awal Oktober, berikutan pembunuhan sembilan pengawal sempadan negara itu yang dipercayai dilakukan oleh  pemberontak, anggota keselamatan telah secara meluas dituduh melakukan pembunuhan, rogol, tindakan membakar (rumah) dan menangkap dengan sewenang-wenangnya kaum Rohingya - dakwaan yang kerajaan Naypyidaw menafikan.

Dokumen itu turut mencadangkan beberapa langkah untuk menyelesaikan krisis berkenaan. Ini termasuk meminta Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu [PBB] untuk menyelaraskan bersama  Myanmar dalam mengatur delegasi peringkat tertinggi OIC untuk melawat negeri Rakhine dan bertemu dengan pegawai-pegawai tempatan dan Rohingya.

Menurut kenyataan tersebut, langkah lain adalah untuk meminta ketua PBB meneroka inisiatif bersama antara PBB dan Pertubuhan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) yang "boleh menyokong kerajaan Myanmar untuk membangun dan melaksanakan dialog antara agama dan kaum. "

OIC mewakili sekurang-kurangnya 1.6 bilion umat Islam di seluruh dunia.

Beribu-ribu pelarian

Hampir 90 orang terbunuh dalam keganasan di Rakhine, dan seramai 65,000 warga Rohingya telah melarikan diri ke Bangladesh, demikian menurut perangkaan PBB. Di Bangladesh, pelarian baru telah menyertai sekurang-kurangnya 300,000 kaum Rohingya lain yang telah cuba mendapatkan  perlindungan bagi tahun-tahun sebelumnya di tenggara daerah Cox Bazar.

Bangladesh enggan memberi status pelarian kepada Rohingya kerana menganggap mereka sebagai warga Myanmar. Myanmar pula, menganggap mereka yang kembali ke negara itu sebagai pendatang haram dari Bangladesh, dan menafikan hak untuk mendapat perkhidmatan asas sebagai rakyat tempatan sejak beberapa dekad lalu.

Sementara itu kira-kira 90,000 pelarian Rohingya berada di Malaysia dengan 56,000 daripada mereka menerima kad status pelarian daripada Pesuruhjaya PBB Bagi Orang Pelarian (UNHCR) di Kuala Lumpur.

OIC pada Khamis menjemput negara anggota pertubuhan itu untuk berkongsi kos yang ditanggung oleh Bangladesh, Malaysia dan negara-negara lain yang memberi perlindungan kepada Rohingya "mengikut prinsip beban perkongsian serta tanggungjawab bersama, dan atas semangat perpaduan sesama Islam."

‘Rohingya tidak boleh tunggu’

Najib, yang menerajui Malaysia yang majoritinya beragama Islam, telah menimbulkan kemarahan majoriti rakyat Myanmar yang beragama Buddha sejak beberapa minggu lepas apabila menyifatkan tindakan keras tentera Myanmar sebagai "pembunuhan beramai-ramai."

"Kerajaan Myanmar mempertikaikan terma 'pembunuhan beramai-ramai' dan 'pembersihan etnik,' tetapi apa sahaja istilah, Rohingya tidak boleh tunggu," kata Najib pada Khamis.

"Ramai yang telah mengalami kematian yang mengerikan dan bagi mereka yang masih hidup telah menyaksikan dan berdepan dengan kekejaman yang tidak terkata. Yang itu sendiri adalah satu sebab kenapa kita tidak boleh berdiam diri. "

Faisal Islam Muhammad Kassim, Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM), menyambut gesaan OIC untuk mengembalikan kewarganegaraan bagi warganya.

"Isu Kewarganegaraan ini adalah sangat penting. Jika kita tidak mendapat sebarang status dari Myanmar, ia akan menjadi sangat sukar bagi kita untuk mendapatkan hak asasi kemanusiaan yang asas di dalam negara itu, "katanya kepada BeritaBenar.

"Jika rakyat kita mendapat hak kerakyatan penuh di Myanmar, dan jika kita mempunyai peluang untuk kembali ke Arakan, kami bersedia untuk kembali ke Myanmar," katanya, merujuk kepada Rakhine dengan nama yang berbeza.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.