Malaysia Tuan Rumah Mesyuarat OIC mengenai Krisis Rohingya

Staf BeritaBenar
2017.01.11
Washington DC
170111-MY-Rohingya-1000.jpg Keluarga pelarian Rohingya Muslim antara yang kelihatan dalam satu perhimpunan menentang dakwaan penganiayaan terhadap Rohingya Myanmar di Kuala Lumpur, 4 Disember, 2016.
AFP

Malaysia akan menjadi tuan rumah mesyuarat menteri-menteri luar dari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) minggu depan bagi membincangkan krisis kemanusiaan yang membelenggui minoriti Rohingya Muslim Myanmar, kata OIC dalam kenyataan media.

Mesyuarat agung luar biasa Majlis Menteri-Menteri Luar OIC yang memberi tumpuan kepada isu Rohingya itu akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 19 Januari, kata badan antara kerajaan terbesar dunia Islam itu.

Dalam perkembangan diplomatik lain,  Timbalan Menteri Luar Myanmar Kyaw Tin bertemu dengan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dan pegawai-pegawai lain di Dhaka pada Rabu untuk membincangkan keadaan Rohingya, bagi memulakan lawatan tiga harinya ke Bangladesh.

Sejak awal Oktober, kawasan tenggara Bangladesh menyaksikan kemasukan 65,000 Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di tengah-tengah tindakan keras tentera di negeri jirannya, Rakhine di Myanmar, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Mesyuarat 56 wakil negara anggota OIC di Kuala Lumpur akan diketuai oleh Perdana Menteri Najib Razak, lapor Agence France-Presse yang memetik seorang pegawai Malaysia sebagai berkata.

Pemimpin Malaysia itu, yang majoriti penduduknya beragama Islam, sejak beberapa minggu lepas membangkitkan ketegangan dengan Myanmar yang majoriti penduduknya Buddha dengan menyifatkan tindakan keras tentera negara itu di negeri Rakhine-yang menempatkan penduduk Rohingya tanpa kerakyatan-sebagai "pembunuhan beramai-ramai".

Menurut kenyataan OIC, mesyuarat akan datang di Kuala Lumpur diadakan susulan mesyuarat tergempar kumpulan OIC di Geneva dan Brussels pada akhir Disember. Peserta telah membincangkan tentang krisis Rohingya, di tengah-tengah laporan bahawa penduduk minoriti itu telah dibunuh dan rumah mereka dibakar semasa tindakan keras pihak ketenteraan berikutan pembunuhan sekumpulan pengawal sempadan Burma di perbandaran Maungdaw  pada awal Oktober.

Sesetengah orang daripada kumpulan minoriti tidak bernegara itu menuduh pasukan keselamatan Myanmar melakukan tangkapan, penyeksaan, rogol dan pembakaran khianat dengan sewenang-wenangnya semasa operasi keselamatan itu, walaupun kedua-dua pihak kerajaan dan tentera telah menafikan tuduhan itu.

"Mesyuarat itu berusaha  mengenal pasti tindakan yang mungkin boleh diambil sebelum bermulanya Mesyuarat Luar Biasa Majlis Menteri-Menteri Luar mengenai isu Rohingya akan datang yang bakal diadakan pada 19 Januari 2017 di Kuala Lumpur," kata kenyataan OIC itu mengenai perbincangan perbincangan yang diadakan di Switzerland dan Belgium bulan lepas.

"Kumpulan itu menggesa supaya tindakan konkrit dilakukan untuk menangani hak-hak asasi manusia dan isu-isu kemanusiaan minoriti yang sengsara sejak sekian lama dan menyeru kerajaan untuk memastikan populasi Rohingya itu dibenarkan kembali ke rumah mereka dalam keadaan selamat dan bermaruah," kata kenyataan itu.

Terima mereka kembali

Di Dhaka, jurucakap Hasina berkata, utusan khas Kaunselor Negara Myanmar  Aung San Suu Kyi menyerahkan surat beliau kepada perdana menteri itu, dan memberitahu Hasina bahawa "Myanmar mahu mengukuhkan hubungan dan kerjasama dengan Bangladesh."

Tetapi perdana menteri itu sebaliknya "mengulangi gesaan beliau" supaya Myanmar "mengambil balik semua rakyatnya dari Bangladesh," kata Ihsanul Karim, Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, sambil merujuk kepada gesaan  kerajaan negara itu pada akhir Disember supaya Naypyidaw menerima kembali "keseluruhan"  300,000 hingga 500,000 pelarian Rohingya itu yang melarikan diri ke Bangladesh sejak beberapa tahun lepas.

Pada 30 Dis, sehari selepas Dhaka membuat gesaan itu, kerajaan Myanmar berkata ia akan mengambil kembali hanya 2,415 orang Rohingya yang tinggal di Bangladesh, lapor Reuters.

"Dalam pertemuan itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berkata, kedua-dua negara  dapat menyelesaikan masalah pelarian itu melalui perbincangan," kata Karim kepada BeritaBenar pada Rabu.

Karim berkata, Perdana Menteri Bangladesh turut memberi jaminan kepada utusan Myanmar itu bahawa kerajaannya akan mengekalkan dasar "toleransi sifar terhadap keganasan" dengan tidak membenarkan kumpulan bersenjata menggunakan wilayah Bangladesh sebagai tempat untuk melancarkan serangan ke atas negara-negara jirannya termasuk Myanmar.

'Myanmar harus terima sejarah'

Delegasi tiga anggota itu yang diketuai Kyaw Tin tiba di Dhaka pada malam Selasa.

Pada  Rabu, delegasi itu mengadakan pertemuan dua jam dengan Menteri Luar Bangladesh A.H. Mahmood Ali di Rumah Tetamu kerajaan  di ibu negara.

Pasukan itu bertemu dengan Hasina pada petang Rabu.  Kyaw Tin mahupun mana-mana anggota delegasinya tidak bertemu pemberita selepas mesyuarat tersebut. Kedutaan Myanmar di Dhaka enggan mengulas mengenai pertemuan itu.

Delegasi itu dijangka pulang ke Myanmar pada  Jumaat.

Diplomat Bangladesh yang sudah bersara, Ashfaqur Rahman, yang juga pakar dalam hal ehwal Asia Tenggara, menyifatkan lawatan  delegasi Myanmar itu sebagai satu perkembangan positif dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Keinginan Myanmar untuk bekerjasama dengan Bangladesh bagi mengeratkan lagu hubungan dua hala memberi petunjuk bahawa kerajaan Suu Kyi mahu menyelesaikan masalah Rohingya yang sudah wujud sejak sekian lama. Penyusupan masuk Rohingya merupakan halangan utama dalam hubungan  Bangladesh dan Myanmar, "katanya kepada BeritaBenar.

Tetapi, beliau menambah kata: "Myanmar mesti menerima sejarah dan mengambil kembali warga Rohingya yang tinggal di Bangladesh. Mereka tidak boleh menafikan bahawa Rohingya adalah pendatang haram dari [Myanmar]. Sebuah negara yang mempunyai ramai penduduk seperti Bangladesh tidak lagi boleh menerima beratus-ratus ribu rakyat Myanmar. "

Kamran Reza Chowdhury di Dhaka menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.