Pihak Berkuasa Malaysia Bebaskan Kesemua Aktivis Orang Asli Yang Ditahan
2016.12.01
Kuala Lumpur

Kesemua 47 aktivis Orang Asli yang ditahan pihak berkuasa Malaysia selepas mengadakan sekatan anti pembalakan di kawasan pendalaman Gua Musang, Kelantan sejak dua hari lepas telah dibebaskan pada Khamis.
Peguam Siti Kasim yang mewakili kumpulan aktivis itu berkata, mereka yang ditahan telah dibebaskan tetapi peguam itu masih kurang pasti sama ada mereka akan menghadapi sebarang pendakwaan.
"Kami tidak pasti sama ada mereka akan disabitkan dengan sebarang pendakwaan atau tidak, tetapi jika mereka didakwa, sudah tentu kami akan membantu," katanya kepada BeritaBenar.
Dalam pada itu, Setiausaha Jaringan Kampong Orang Asli Kelantan Mustafa Along, salah seorang yang ditahan memberitahu yang kesemua mereka telah berikrar untuk terus mempertahankan tanah adat dan hutan di kawasan terpencil yang beliau dakwa telah berlaku pembalakan sudah bertahun-tahun lamanya.
"Kami tidak akan berputus asa dan akan meneruskan perjuangan kami, sehingga kerajaan negeri memenuhi permintaan kami " kata Mustafa selepas dibebaskan daripada tahanan.
Penduduk asli yang dikenali sebagai kaum Temiar yang tinggal di sekitar kawasan Gunung Chamah, Gua Musang itu, telah membina sekurang-kurangnya tiga sekatan menghalang laluan balak di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, HSK Perias dan HSK Gunung Stong apabila krisis itu mula timbul sejak 26 September lepas.
Lebih 200 penduduk masyarakat kaum asli itu menyekat laluan keluar masuk lori pengangkut balak di kawasan berkenaan sehingga menyebabkan Jabatan Perhutanan Kelantan dan pihak polis bertindak menahan 47 aktivis mereka.
Kelantan yang bersempadan dengan Thailand, telah terlibat dalam aktiviti pembalakan sejak tahun 1978.
Pada Disember 2014, negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia itu, telah dilanda banjir buruk dalam dekad yang lalu, yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk kehilangan rumah mereka.
Pada ketika itu, Setiausaha Majlis Keselamatan Negara menyalahkan aktiviti pembalakan yang berleluasa di negeri berkenaan sebagai faktor utama mendorong kepada banjir besar dan tanah runtuh, menurut laporan media tempatan.
Kira-kira 12 peratus daripada 31 juta orang rakyat Malaysia terdiri daripada Orang Asli.
Siti juga memaklumkan kepada BeritaBenar bahawa tujuh lagi aktivis Orang Asli di kawasan berkenaan telah ditahan polis selepas pihak berkuasa bertindak merobohkan sekatan di satu lagi laluan pada Khamis.
Dalam pada itu, seorang anggota kanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Muhammad Sanusi Mohd Nor mendakwa peguam Siti yang membela nasib Orang Asli Temiar berbuat demikian kerana memusuhi kerajaan negeri Kelantan.
“Hal di Kelantan itu digerakkan oleh parti politik, berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam seperti Siti Kassim yang memusuhi Kerajaan Kelantan, yang ditadbir oleh PAS, bukannya pencinta alam sekitar, jauh sekali pencinta Orang Asli,” kata Muhammad Sanusi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat seperti dilaporkan portal Free Malaysia Today.
Ketua Polis Kelantan Dr Ab Rahman Ismail berkata pihaknya sedang memantau beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai memainkan peranan termasuk mengeksploitasi masyarakat Orang Asli untuk mengadakan beberapa sekatan pembalakan di kawasan hutan berkenaan.
"Kita tahu ada pihak tertentu yang menjadikan (isu itu) viral di media sosial kononnya polis menangkap Orang Asli ketika operasi merobohkan sekatan laluan balak pada Selasa, ia dilihat seolah-olah cuba mencemarkan imej polis dengan mendakwa polis bekerjasama dalam menahan Orang Asli sedangkan kita hanya membantu Jabatan Perhutanan Kelantan," kata beliau seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).
Ahli Parlimen Kota Bharu, Zaid Ibrahim pula mendakwa kerajaan negeri Kelatan tidak mempunyai iltizam politik untuk menjaga kebajikan Orang Asli kerana boleh menyelesaikan krisis itu sebaliknya pentadbiran negeri itu tidak melakukan apa-apa.
"Pentadbiran negeri perlu mengambil berat sedikit. Masalahnya dengan PAS adalah setiap perkara yang mereka lakukan ditampal dengan label Islam, tetapi kandungannya tiada, cuma sifar. "
Dalam pada itu, Mustafa berkata kerajaan negeri perlu mengiktiraf hak-hak pribumi ke atas tanah adat Orang Asli seperti yang termaktub dalam Deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap Hak Orang Asli (UNDRIP) di seluruh dunia.
"Malaysia menandatangani perjanjian UNDRIP semasa Perhimpunan Agung PBB pada 13 September 2007, untuk menyokong usaha dan menghormati hak-hak Orang Asli ke atas tanah dan sumber, tetapi kerajaan masih menafikannya," kata Mustafa.
Jabatan Perhutanan Negeri telah mengeluarkan arahan berhenti kerja pada Oktober lepas untuk mengurangkan ketegangan antara pembalak dan kumpulan aktivis, dengan satu notis bertarikh 6 November dikeluarkan untuk merobohkan sekatan dan halangan.