Kerajaan Malaysia selesai kes kematian lima anak Orang Asli di luar mahkamah

Tujuh kanak-kanak lari dari sekolah asrama dan masuk ke hutan kerana takut dihukum, hanya dua selamat.
Iman Muttaqin Yusof
2023.07.25
Kuala Lumpur
Kerajaan Malaysia selesai kes kematian lima anak Orang Asli di luar mahkamah Sekumpulan anak Orang Asli sedang mandi sungai di Perkampungan Orang Asli Sungai Temon di Johor Bahru, Johor, 3 Mac 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Keluarga tujuh anak Orang Asli yang hilang di dalam hutan selama beberapa minggu, sebelum lima daripada mereka dijumpai mati, akan menerima sejumlah RM1.41 juta (AS$308,905) daripada kerajaan dan sebuah syarikat keselamatan sebagai bayaran bagi menyelesaikan kes saman mereka, menurut peguam yang mewakili keluarga pada Selasa.

Penyelesaian di luar mahkamah itu dipersetujui sebelum kes saman cuai difailkan keluarga kesemua mangsa didengar oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu di negeri Kelantan, pada 24 Julai, kata peguam Gurdial Singh Nijar.

"Kami telah mengadakan beberapa perbincangan sebelum pendengaran kes bermula," kata Gurdial kepada BenarNews. "Kesemua pihak kemudiannya bersetuju bahawa kerajaan dan syarikat keselamatan terbabit akan membayar amaun tersebut kepada keluarga bagi kesemua kanak-kanak Orang Asli dalam kes ini."

Pada tahun 2015, tujuh orang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi yang berusia antara 7 dan 12 tahun hilang selepas mereka melarikan diri dari asrama sekolah berkenaan di Gua Musang.

Mangsa terdiri daripada seorang budak lelaki dan enam perempuan itu dikatakan telah lari ke dalam hutan kerana takut dihukum oleh sekolah kerana berenang di hutan berhampiran tanpa mendapat kebenaran, selepas seorang guru didakwa telah merotan beberapa pelajar lain yang lebih tua atas kesalahan serupa.

Selepas 47 hari usaha mencari dan menyelamat dijalankan pihak berkuasa berserta penduduk kampung, hanya dua orang daripada kumpulan yang lari itu - Noreen Yaakob, 11 dan Miksudiar Aluj, 12, ditemui dalam keadaan amat lemah dan kurus kering di tebing sungai pada 19 Oktober 2015.

Lima lagi pelajar yang lain telah mati di dalam hutan, namun hanya empat mayat berjaya ditemui sehingga kini.

Kejadian berkenaan telah mengejutkan negara dan mengetengahkan isu penganiayaan terhadap komuniti Orang Asli, sesuatu yang disifatkan oleh pejuang hak asasi sebagai isu yang telah berlarutan sejak sekian lama di Malaysia.

'Orang Asli' adalah terma dalam Bahasa Melayu yang digunakan untuk merujuk kaum masyarakat pribumi atau orang asal di Semenanjung Malaysia.

Keluarga kesemua mangsa telah memfailkan saman terhadap kerajaan pada 2018, di mana mereka menamakan beberapa jabatan kerajaan serta sekolah terlibat sebagai defendan. Mereka memohon supaya keadilan ditegakkan atas kehilangan anak-anak dan trauma yang dihadapi disebabkan kejadian berkenaan.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat BenarNews, para plaintif dalam saman mereka mendakwa warden dan kakitangan lain di SK Tohoi telah cuai dalam menjalankan tanggungjawab mereka kerana gagal mengambil langkah sewajarnya untuk menghalang pelajar daripada meninggalkan hostel.

"Warden dilantik bagi menjaga keselamatan dan kebajikan pelajar di asrama," kata kenyataan plaintif.

Peguam yang mewakili para defendan dalam kes tersebut masih belum memberikan sebarang maklumbalas ke atas permohonan BenarNews untuk mendapatkan komen mereka.

Siti Kasim, peguam dan aktivis Orang Asli yang dijadualkan memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam kes saman itu berkata, penyelesaian kes yang dicapai akan memberikan satu bentuk penutup untuk keluarga mangsa.

"Nyawa sudah tentunya merupakan sesuatu yang tidak boleh dibayar, tidak kira berapa jumlah pampasan yang diberikan, ia tidak akan mampu menggantikan nyawa anak-anak mereka yang telah hilang," kata beliau kepada BenarNews. "Dari satu sudut, sedikit keadilan dapat dibuat berkenaan kecuaian oleh pihak berkuasa yang terlibat terhadap Orang Asli."

Walaupun kerajaan enggan mengakui bahawa mereka bertanggungjawab ke atas tragedi yang berlaku, persetujuan mereka untuk membayar pampasan merupakan satu bentuk pengakuan bahawa ia merupakan salah mereka, tambah Siti lagi.

Kesemua keluarga yang terlibat akan berkongsi secara sama rata sejumlah RM1.2 juta (AS$263,000) yang akan diterima mereka dari kerajaan. Gurdial berkata perjanjian itu termasuk RM60,000 (AS$13,155) untuk kos perundangan dan RM150,000 (AS$32,876) dari syarikat keselamatan yang dinamakan dalam saman, menjadikan jumlah keseluruhan yang akan diterima kesemua keluarga sebanyak RM1.41 juta.

Media Malaysia melaporkan bahawa kerajaan dalam kenyataan pembelaan mereka mendakwa bahawa kesemua kanak-kanak terlibat turut bertanggungjawab ke atas kematian yang berlaku, memetik pepatah perundangan "volenti non fit injuria" di mana secara tidak langsung mencadangkan bahawa mangsa meletakkan diri mereka sendiri di dalam keadaan bahaya.

Pada 2015, Ahli Parlimen Kasthuri Patto telah mempersoalkan cara kerajaan mengendalikan insiden berkenaan.

Kata beliau, keluarga mangsa tidak dimaklumkan secara rasmi oleh pihak sekolah mengenai kehilangan anak-anak mereka, dan hanya mengetahui mengenai kejadian daripada pengawal keselamatan di hostel. Tambahnya, pihak berkuasa juga tidak membenarkan keluarga mangsa untuk menjalankan usaha mencari secara sendiri.

Menurut data terkini dari Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), terdapat kira-kira 178,197 Orang Asli tinggal di Semenanjung Malaysia pada 2021.

Walaupun penyelesaian dapat dicapai, Siti mendakwa bahawa sistem persekolahan untuk anak Orang Asli masih tidak berubah sejak lapan tahun lalu.

"Mereka masih perlu masuk ke asrama pada usia seawal 7 tahun, walaupun terdapat syor bahawa mereka sepatutnya diberikan pendidikan di kampung sendiri ketika dalam usia antara 7 dan 10 tahun," kata beliau. "Guru patut fasih bahasa mereka bagi memberikan kefahaman lebih baik kepada kesemua pelajar. Malangnya, semua ini tidak berlaku.

"Masalah paling besar dalam isu ini adalah JAKOA - jabatan ini sepatutnya menjaga kebajikan Orang Asli, akan tetapi mereka menjadi alat kerajaan untuk mengawal Orang Asli."

Pengarah JAKOA Sapiah Mohd Nor berkata jabatan itu menghormati keputusan mahkamah, tetapi tidak mengulas lanjut.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.