Mahkamah Benarkan Permohonan Perintah Injunksi Terhadap Tanah Orang Asli
2021.03.18
Kuala Lumpur

Sebuah mahkamah di Malaysia pada Khamis mengeluarkan arahan supaya semua aktiviti di kawasan dua perkampungan Orang Asli di Kelantan dihentikan serta merta sehingga satu tarikh pada bulan hadapan, di mana ia akan mendengar lebih lanjut mengenai permohonan penduduk kawasan terbabit yang mendakwa tanah pusaka mereka telah diceroboh pembalak dan pelombong.
Perintah injunksi sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu itu terpakai buat semua pihak, termasuk kerajaan negeri Kelantan serta syarikat-syarikat yang dibenarkannya untuk membuat aktiviti diatas tanah terbabit, yang terletak di Kampung Kelaik dan Kampung Cabil, di Gua Musang.
Menurut Peguam Rajesh Nagarajan yang bertindak bagi pihak tiga penduduk yang mewakili kira-kira 50 keluarga Orang Asli dari suku Temiar yang tinggal di perkampungan berkenaan, keputusan itu dibuat oleh Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang membenarkan permohonan injunksi selepas satu prosiding ex-parte (sebelah pihak) pada Khamis.
"Tanah di kawasan perkampungan tersebut telah diambil alih oleh syarikat-syarikat pelombong dan pembalak, dan mereka memasukinya dan merosakkan tanah tersebut. Kalau diikutkan, mereka telah merosakkan hampir keseluruhan tanah di situ.
"Jadi fungsi injunksi yang dipohon ini adalah bagi menghentikan mereka daripada membuat lebih banyak kerosakan. Dan hari ini mahkamah membenarkan permohonan tersebut, sekaligus bermakna tiada sesiapa pun boleh masuk dan menjalankan apa sahaja kerja di tanah berkenaan termasuklah kerajaan negeri Kelantan, sehingga seluruh isu injunksi diselesaikan," kata beliau kepada Berita Benar.
Rajesh berkata bahawa Hakim Wan Ahmad Farid telah menetapkan tarikh 7 April 2021 untuk pendengaran inter-parte, bagi membolehkan pihak responden menyatakan bantahan mereka terhadap permohonan injunksi yang dibuat oleh penduduk perkampungan Orang Asli tersebut.
Permohonan injunksi itu telah dibuat di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan pada 10 Mac lalu bersama satu saman sivil yang difailkan oleh tiga individu Orang Asli iaitu Ahak Uda, 54; Aziz Angah, 33; dan Anjang Uda, 30, bagi pihak penduduk Kampung Kelaik dan Kampung Cabil.
Para penduduk kampong-kampung berkenaan mendakwa kawasan tanah adat mereka telah dicerobohi oleh banyak pihak untuk menjalankan kegiatan perlombongan dan pembalakan serta penanaman durian dan kelapa sawit sejak enam tahun lalu.
Selain kerajaan negeri Kelantan, defendan lain dalam saman tersebut ialah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli serta 10 syarikat lain yang turut didakwa mencerobohi tanah tersebut.
Dalam saman sivil tersebut, Orang Asli mahu mendapatkan deklarasi bahawa penduduk dua kampung itu adalah pemegang hak adat dan pemilik tanah pusaka yang terdapat di sekeliling kampung-kampung berkenaan selain pengeluaran lesen dan/atau memberi kebenaran kepada pihak penceroboh adalah tidak sah dan terbatal.
Mereka juga menuntut ganti rugi am daripada kerajaan negeri bagi semua kerosakan dan kemusnahan serta pencerobohan yang berlaku di tanah pusaka mereka. Pencerobohan itu merangkumi sebahagian besar daripada tanah Orang Asli seluas 70 hingga 100 ekar.
Kemenangan pertama
Menurut Rajesh, apa yang akan berlaku pada 7 April depan ialah satu sesi pendengaran di mana pihak-pihak yang terlibat boleh menyatakan bantahan terhadap permohonan Orang Asli untuk menyekat mereka menjalankan aktiviti di kawasan yang menjadi pertikaian.
Selepas mendengar dari semua pihak, mahkamah kemudiannya akan memutuskan sama ada ia akan memberikan satu perintah injunksi untuk menyekat sebarang aktiviti sehingga kes saman dibawa Orang Asli diselesaikan.
"Sudah tentu mereka akan membantah," kata peguam itu ketika ditanya sama ada mereka menjangka berlakunya perlawanan dalam permohonan tersebut.
Walaupun arahan sekatan oleh mahkamah pada Khamis bersifat sementara, Rajesh berkata anak guamnya sudah berasa amat gembira kerana mereka tidak pernah menang dalam menuntut hak mereka sebelum ini.
"Mereka sangat gembira, kerana ini kali pertama mereka menang sesuatu. Mereka telah dibuli sejak sekian lama, dan kini akhirnya mereka merasakan bahawa roda keadilan itu sudah berputar," kata beliau.
Sebelum ini, salah seorang daripada plaintif, Ahak Uda memberitahu BeritaBenar bahawa masalah pencerobohan di tanah mereka telah berlanjutan sejak tahun 2009.
Cubaan penduduk untuk berunding dengan pihak berkuasa negeri dan Menteri Besar Kelantan bagaimanapun tidak berhasil.
"Sebelum ini, kami telah berbincang dengan kerajaan negeri dan agensinya dan Menteri Besar ketika itu, Nik Aziz Nik Mat, tetapi mereka tidak mengendahkan tentang tanah adat.
"Kerosakan yang dialami sekarang adalah amat teruk terutamanya di Kampung Kelaik, dan semua tanah adat Orang Asli di Kelantan telah musnah.
"Bukit dan gunung ditarah sehingga botak manakala air dan sungai sudah tercemar. Inilah yang membimbangkan penduduk kami. Ia disebabkan oleh kerosakan (tanah). Kami tidak boleh membiarkannya begitu sahaja, oleh itu kami menghubungi peguam dan memfailkan (saman) di mahkamah," katanya minggu lalu.