Malaysia Umum Zon Merah di Perkampungan Asli Kuala Koh
2019.06.13
Kuala Lumpur, Malaysia

Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis mengumumkan Zon Merah bagi kawasan perkampungan Orang Asli Suku Batek di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan selepas 14 kematian yang tidak diketahui puncanya oleh suku kaum itu dilaporkan berlaku sejak awal bulan lepas.
Ketua Polis Kelantan Hasanuddin Hassan berkata perkampungan Orang Asli itu telah diisytihar sebagai Zon Merah dengan orang luar ditegah daripada memasuki kawasan berkenaan sejak Rabu.
“Kami telah mengisytiharkan kampung ini sebagai kawasan Zon Merah berkuatkuasa Rabu. Ini bermakna orang luar tidak dibenarkan masuk. Kawasan ini cuma boleh diakses oleh pihak berkepentingan dan anggota penguatkuasa yang terlibat dalam operasi. Arahan ini akan berterusan sehingga diperlukan atas nasihat Kementerian Kesihatan,” kata Hasanuddin kepada media pada Khamis.
Menurut pihak berkuasa seramai 14 kematian suku kaum itu yang tidak diketahui punca berlaku, di mana dua lagi dikatakan meninggal dunia akibat radang paru-paru.
Kesemua 14 yang meninggal dunia itu telah ditanam di dalam hutan secara adat mengikut istiadat suku Batek dan usaha untuk mengenalpasti semula mayat-mayat itu sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung punca penyakit sehingga mendatangkan kematian.
Hasanuddin juga minta pihak penguatkuasa dan anggota yang bertugas di kawasan itu supaya sentiasa memakai sut perlindungan ketika berada di kawasan berkenaan.
“Tidak tahu apa bentuk virus yang sedang kita berhadapan sekarang ini, jadi semua perlu berhati-hati dan kepada pihak yang hendak menghantar makanan dan barang keperluan kepada penduduk kampung, kita minta mereka berikan kepada petugas untuk dibawa masuk kerana takut dijangkiti dan membawa virus yang lain ke dalam perkampungan ,” kata ketua polis negeri itu.
Krisis kesihatan yang dihadapi oleh Suku Batek telah menyebabkan hampir 100 orang diberikan rawatan di hospital dengan empat daripada mereka di rawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu.
Mereka mengalami demam dan kesukaran untuk bernafas.
Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad dua hari lalu turut menasihatkan supaya pergerakan ke perkampungan itu dihadkan bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit.
Beliau memberitahu media bahawa penyakit itu mudah berjangkit melalui pernafasan walaupun pihak beliau masih belum menerima sebarang keputusan hasil kajian yang dijalankan.
Lebih mayat ditemui
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Mohd Taufik Maidin memberitahu media bahawa setakat Khamis, sembilan mayat dijumpai dan satu mayat lelaki suku Batek bernama Romi Hamdan telahpun dibawa keluar.
“Romi ditanam di dalam hutan dan mayatnya sudah digali semula untuk bedah siasat kedua,” kata Taufik.
Kematian beliau dilaporkan pada 29 Mei dan bedah siasat pertama menyatakan beliau telah meninggal dunia akibat radang paru-paru.
Menurut polis, lapan lagi mayat ditemui di atas pelantar di atas pokok dan ditutup dengan kain.
“Kita telah tandakan lokasi mayat dan rangka yang ditemui. Ada yang rangka sudah jatuh dari pelantar. Usaha mencari dan mengenalpasti itu dibantu oleh beberapa orang dari kaum Orang Asli selain cuaca yang baik. Empat lagi mayat yang dicari dikatakan berada jauh di dalam hutan dan sejauh mana itu tidak dapat saya terangkan,” tambah Taufik lagi.
Dalam pada itu, Menteri Perpaduan yang menjada hal ehwal Orang Asli, Waytha Moorthy berkata proses pencarian mayat di dalam hutan itu akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa hari lagi.
Bercakap kepada pemberita di Kelantan selepas melakukan lawatan terhadap Orang Asli yang dirawat di hospital kerajaan di Kota Bharu, termasuk kanak-kanak berusia tiga tahun Nasri Rosli yang menghidapi radang paru-paru, Waytha berkata 15 orang Orang Asli Suku Batek sedang dalam proses pemulihan kesihatan dan sekarang berada di rumah inap.
“Kanak-kanak itu, Nasri Rosli mengalami radang paru-paru. Dia berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil,” kata Waytha.
Kanak-kanak itu dirawat di Unit Rawatan Rapi Pusat Pediatrik Hospital Raja Perempuan Zainab II selepas dipindahkan dari Hospital Kuala Krai pada Ahad.
Pakar Alam Sekitar Maketab Mohamad berpendapat kematian orang asli adalah disebabkan oleh malnutrisi, sekaligus menolak andaian yang kononnya kematian mereka berpunca daripada aktivit pembalakan, perlombongan dan pertanian di kawasan itu sehingga menyebabkan pencemaran air takungan yang digunakan penduduk.
“Orang Batek asalnya suka berpindah randah, suku pemburu dan bukan petani. Mereka perlu diajar untuk bertani selepas dipaksa untuk menetap di satu tempat tanpa sumber pendapatan yang tetap. Apa yang boleh mereka makan?
“Pada masa ini di Kuala Koh, mereka mempunyai penempatan yang tetap, penduduk bergantung kepada kerajaan dan kumpulan bukan kerajaan untuk mendapatkan bantuan, manakala yang selebihnya menetap jauh di dalam hutan di Taman Negara seperti di Kampung Kuala Balai, Lubuk Buaya dan Sungai Kuching,” kata Maketab.
Untuk mengelak perkara sama berulang, beliau mahu kerajaan memberi tumpuan kepada golongan Orang Asli dalam membantu mereka.
“Jangan hanya berjanji tetapi betul-betul memberikan perhatian serius kepada isu melibatkan Orang Asli,” kata beliau kepada BeritaBenar.
Berita mengenai kematian penduduk Orang Asli itu diketahui umum pada Sabtu lalu, selepas dilaporkan media berikutan kenyataan badan bukan kerajaan (NGO) Sahabat Jariah Malaysia(SJM) berkaitan kes kematian itu.
Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.