Pemimpin Asia Kutuk Pembunuhan Orlando
2016.06.13

Pemimpin-pemimpin dari seluruh Asia Tenggara dan Asia Selatan pada Isnin menyertai bantahan antarabangsa terhadap insiden tembakan hujung minggu di sebuah kelab malam gay di Florida yang mengorbankan 50 orang, dan dilakukan oleh seorang lelaki bersenjata yang didakwa mendapat inspirasi daripada ideologi Islam radikal.
Pemimpin dan pegawai dari negara-negara Asia yang mewakili empat negara yang mempunyai bilangan penduduk Islam terbesar - Indonesia, India, Pakistan dan Bangladesh - serta Malaysia dan Thailand, menghantar ucapan takziah kepada rakyat Amerika berhubung kejadian pembunuhan di kelab malam Pulse di Orlando.
"Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya perbuatan ganas pengecut ini dan mengulangi dasar 'toleransi sifar' kerajaan saya terhadap sebarang bentuk keganasan dan ekstremisme ganas," kata Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina pada Isnin menerusi setiausaha akhbar beliau, Ihsanul Karim.
"Marilah kita melipatgandakan usaha bersama untuk membasmi ancaman kebencian ini daripada masyarakat yang cintakan keamanan," tambah Hasina, yang kerajaannya melancarkan tindakan keras terhadap kumpulan militan Islam yang disyaki di seluruh negara pada Jumaat, selepas beberapa siri pembunuhan yang disasarkan terhadap penulis sekular, ahli minoriti agama dan lain-lain.
Mangsa-mangsa serangan itu adalah termasuk aktivis hak-hak gay Xulhaz Mannan, editor majalah pertama Bangladesh yang khusus untuk liputan isu-isu LGBT di negara itu, yang dipukul sehingga mati dengan seorang lelaki lain oleh suspek ekstremis Islam di Dhaka pada 25 April. Sejak dua pembunuhan itu, komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender di negara itu dilaporkan menyembunyikan diri kerana bimbang ahli-ahlinya disasarkan dalam serangan yang lebih homophobic.
Kerajaan dan rakyat saya berganding bahu dengan rakyat Amerika Syarikat dalam waktu sukar ini, dan memperbaharui komitmen kami untuk bekerja bersama-sama dengan anda sebagai rakan dalam menentang keganasan dan ekstremisme ganas yang kini muncul sebagai ancaman kepada ketamadunan manusia, "kata Hasina, yang belum mengutuk pembunuhan Xulhaz Mannan secara rasmi.
Lelaki bersenjata dalam insiden tembakan Orlando, yang terbunuh dalam kejadian itu, telah dikenal pasti oleh pegawai-pegawai AS sebagai Omar Mateen, berusia 29 tahun, dan merupakan warganegara Amerika Syarikat berketurunan Afghanistan. Beliau telah berikrar untuk setia kepada kumpulan pelampau Negara Islam (IS) semasa membuat panggilan 911 sejurus sebelum melakukan serangan itu, yang turut mencederakan 53 orang lagi di kelab malam itu pada awal pagi pagi Ahad (waktu tempatan), menurut laporan.
IS, melalui sayap medianya Aamaq, telah menyatakan bahawa ia bertanggungjawab melakukan serangan itu di Orlando – kejadian tembakan paling buruk dalam sejarah Amerika Syarikat – lapor CBS News, tetapi masih belum jelas sama ada Mateen mempunyai kaitan secara langsung dengan kumpulan pelampau itu yang berpangkalan di Timur Tengah.
"Saya berasa amat sedih, marah dan terkejut dengan kejadian tembakan di Orlando. Saya rasa, sebagai seorang gay dari Indonesia - negara yang mempunyai bilangan penduduk Islam terbesar - tempat seperti kelab malam gay adalah tempat yang selamat buat rakan-rakan gay untuk berkumpul dan bersosial, tetapi dengan berlakunya kejadian ini, kami sebagai insan LGBT tidak lagi berasa selamat,” kata Adamo Conners, rakyat Indonesia berusia 32 tahun yang bekerja sebagai jururawat di Washington DC, kepada BeritaBenar.
"Insiden ini mengingatkan saya bahawa perjalana perjuangan kami sebagai kumpulan LGBT masih jauh lagi," katanya. "Saya amat marah dengan pelaku kejadian ini, tanpa mengira kaum, agama atau bangsa sesiapa yang terbabit da;am kejadian ini."
'Penyelewengan Islam'
Para pegawai Amerika Syarikat telah mengisytiharkan serangan itu sebagai perbuatan pengganas dan jenayah kebencian yang menyasarkan sekumpulan orang kerana orientasi seksual mereka, dan berkata lelaki bersenjata itu kelihatan seperti telah terpengaruh dengan ideologi radikal Islam yang disebarkan dalam talian.
"[Pada] peringkat ini, kita tidak nampak sebarang bukti jelas bahawa dia telah diarahkan secara luaran. Ia kelihatan bahawa, pada saat-saat akhir, dia mengumumkan kesetiaan kepada ISIL, tetapi setakat ini, tidak ada bukti yang dia sebenarnya diarahkan oleh ISIL. Dan, pada pada peringkat ini juga tidak ada bukti langsung bahawa dia adalah sebahagian daripada plot yang lebih besar ...,”kata Presiden AS Barack Obama kepada pemberita di Pejabat Oval pada Isnin, dengan menggunakan singkatan lain untuk IS.
"Pada akhirnya, ini adalah sesuatu yang kita perlu hadapi - dengan memastikan bahawa walaupun kita memburu ISIL dan organisasi pelampau lain di luar negara ... itu adalah satu darpada cabaran terbesar yang perlu kita depani dalam propaganda dan penyelewengan Islam seumpama ini yang anda lihat dijanakan di Internet, dan keupayaan untuk meresap ke dalam minda individu bermasalah atau individu yang lemah, dan kemudiannya melihat mereka bermotivasi untuk mengambil tindakan terhadap penduduk di sini di Amerika Syarikat dan di tempat lain di dunia, adalah amat tragis, "kata presiden, menurut transkrip yang dikeluarkan oleh White House.
"Barah radikalisasi'
Di India dan Pakistan, dua negara yang mengharamkan seks gay, perdana menteri masing-masing menyuarakan rasa terkejut dengan pembunuhan di Florida.
"Terkejut pada tembakan yang belaku di Orlando, Amerika Syarikat. Ingatan & doa saya mengiringi keluarga mangsa yang terkorban dan cedera, "kata Perdana Menteri India Narendra Modi melalui Twitter.
Perdana Menteri Pakistan Nawaz Sharif mengutuk tindakan itu sebagai "hanyalah satu lagi bentuk barah radikalisasi - yang kita ikrar untuk perangi setiap hari dalam kehidupan kita."
Kejadian tembakan di Florida berlaku "dengan menentang setiap prinsip pluralisme, toleransi dan kemanusiaan. Ia tidak mewakili kehendak majoriti besar umat Islam, "Radio Pakistan milik negara memetik Sharif sebagai berkata pada Isnin.
'Kematian tidak munasabah'
Di tempat lain, pegawai dan pemimpin dari Indonesia, Malaysia dan Thailand turut mengeluarkan kenyataan yang sama.
"Amat terkejut dengan kejadian tembakan di Orlando. Doa kami mengiringi keluarga dan sahabat handai mangsa. Islam melarang keras perbuatan membunuh manusia yang tidak bersalah," kata Perdana Menteri Malaysia Najib Razak dalam catatan tweet beliau.
Bagaimanapun, menurut laporan Associated Press, beberapa rakyat Malaysia mencatatkan mesej di media sosial yang menyuarakan sokongan terhadap serangan itu kerana mangsa adalah "orang yang berdosa," tetapi ramai rakan senegara mereka pantas mengutuk mesej tersebut.
Di Jakarta, Kementerian Luar mengeluarkan kenyataan yang menyatakan "Indonesia mengutuk insiden tembakan Orlando. Kami melahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa, kerajaan, dan rakyat Amerika Syarikat," menurut laporan Antara, agensi berita milik negara itu.
Tetapi Fahri Hamzah, timbalan speaker Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia menulis tweet beliau bahawa "pembunuhan beramai-ramai itu berlaku kerana orang LGBT mudah dilihat," lapor AP.
Sementara itu, pada malam Isnin di Bangkok, ahli-ahli komuniti LGBT Thailand menyertai Duta Besar Amerika Glyn T. Davies pada perhimpunan nyalaan lilin di luar kedutaan AS untuk memperingati mangsa-mangsa pembunuhan beramai-ramai Florida. Perhimpunan sama turut diadakan di bandar-bandar utama lain di seluruh dunia - dari San Francisco ke Berlin ke Sydney dan Wellington, New Zealand.
Raja Thailand Bhumibol Adulyadej (Rama IX) menyampaikan ucapan takziah kepada Presiden Obama dan rakyat Amerika melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh istana diraja.
"Beta dan permaisuri berasa amat kecewa dengan laporan mengenai kejadian tembakan kejam di kelab malam di Orlando, hingga menyebabkan berlakuya kematian yang tidak munasabah dan kecederaan ramai insan yang tidak bersalah," kata raja itu ketika menyampaikan "rasa simpati mendalam baginda berdua” di atas "kehilangan mereka yang tidak dapat diganti."