Panel Suhakam Lawat Tempat Paderi Raymond Diculik

Hadi Azmi
2017.11.03
Kuala Lumpur
171103-MY-Paderi-620.jpg Mah Weng Kwai (kiri) bersama ahli panel siasatan Suhakam sedang melihat rakaman kamera litar tertutup di tempat kejadian Paderi Raymond Koh diculik di Kuala Lumpur, 11 Nov 2017.
[Hadi Azmi/BeritaBenar]

Panel siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia [Suhakam] yang menyiasat kehilangan paderi Kristian sejak Februari lalu, melawat tempat kejadian penculikan selepas penyiasatan mengenainya tersekat kerana gagal mendapatkan kerjasama daripada pihak berkuasa negara berkenaan.                

Lawatan selama satu jam itu mengimbas kembali peristiwa semasa Paderi Raymond Koh Keng Joo, 62, diculik oleh sekumpulan lelaki pada siang hari 13 Feb lalu selepas mereka memaksa keretanya berhenti di simpang keluar dari sebuah lebuh raya di Petaling Jaya, berdekatan Kuala Lumpur. Penculikan itu dirakamkan oleh kamera pengawasan. Koh, seorang daripada minoriti Kristian Malaysia, telah hilang sejak itu.

Penculikan itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup dan lawatan berkenaan dibuat untuk melihat kamera peninjau yang merakamkan penculikan berkenaan yang digunakan untuk siasatan  berhubung kes itu, dengan dimaklumkan yang kamera lain di sekitarnya telah rosak atau tidak berfungsi.  

Keputusan mendadak untuk melawat tempat kejadian dibuat oleh pengerusi panel siasatan Mah Weng Kwai selepas pegawai penyiasat kes penculikan itu, ASP Supari Muhammad enggan mengemukakan lakaran polis mengenai lokasi penculikan dengan berkata bahawa ianya dilindungi di bawah Seksyen 135 Akta Rahsia Rasmi(OSA).     

ASP Supari juga enggan mengemukakan rakaman CCTV yang diambil oleh polis sepanjang laluan kes penculikan itu berlaku.  

"Saya tidak dapat memberitahu anda kamera mana yang kami gunakan. Beberapa kamera lalu lintas telah rosak dan tidak berfungsi. Jadi saya tidak pasti.  

"Kami hanya mempunyai satu daripada lima kamera. Adalah lebih baik bertanya kepada pasukan petugas mengenai kamera yang merakamkannya, "katanya ketika menjawab soalan dari peguam keluarga Paderi Koh.     

Pihak polis juga memberitahu yang panel siasatan perlu  menulis kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk menyerahkan sebarang dokumen yang berkaitan dengan siasatan berkenaan.     

Ini adalah kali ketiga polis ketika siasatan enggan menyerahkan dokumen apabila diminta oleh panel tersebut.

Siasatan di bawah Akta Hak Asasi Manusia

Mah yang terkejut dengan kenyataan pegawai polis itu mengingatkan saksi itu bahawa siasatan keatas penculikan Koh adalah di bawah Akta Hak Asasi Manusia 1999 dan keseluruhannya adalah bertujuan untuk mengetahui kejadian sebenar yang berlaku kepada paderi berkenaan.

"Maklumat dan bukti sangat berguna jika saksi dapat memberikan infomasi yang berguna. Notis untuk siasatan ini telahpun diberi semasa penyiasatan diadakan dan dan sepina juga telah dikeluarkan terhadap semua pihak kepentingan awam dan negara. "

Beliau juga menambah, sepatutnya pihak polis telah menyusun perkara berkaitan dengan Pejabat peguam Negara memandangkan pengeluaran lakaran lokasi pada siasatan adalah prosedur biasa.

Siasatan oleh panelis - Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kai, Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila - bertujuan untuk menentukan sama ada kes itu melibatkan kehilangan secara sukarela atau berlaku pelanggaran undang-undang jenayah dan sivil negara.

Ia juga bertujuan untuk mengenal pasti individu atau agensi yang bertanggungjawab dan mengetahui sama ada pegawai polis telah mengambil langkah yang mencukupi untuk menyiasat kes tersebut, kata Suhakam dalam satu kenyataan.

Panel itu menjalankan siasatannya terhadap kehilangan Koh, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu, serta aktivis sosial Amri Che Mat mengikut Akta Suhakam.

Pada Isnin, panel siasatan itu telah mendengar keterangan bekas ketua polis negara Khalid Abu Bakar yang menafikan tuduhan bahawa polis terlibat dalam penculikan Paderi Koh. Beliau juga berkata bahawa dari rakaman kamera litar tertutup, penculikan itu tidak dilakukan secara profesional.

"Gerakan ini semua boleh dipelajari dari filem dan mereka cuba mengikutnya. Ia bukanlah satu-satunya kejadian itu," kata Khalid menjawab soalan peguam Koh dan memetik contoh pembunuhan berkaitan dengan gang.

Penculikan itu, menurut Khalid, nampak tidak kemas.

Terdahulu itu, anak lelaki paderi itu, Jonathan Koh berkata, kebanyakan soalan daripada pihak polis adalah berkaitan sama ada bapanya memurtadkan umat Islam.

"Saya berasa kecewa kerana mereka tidak prihatin terhadap penculikannya dan enggan memberikan kami maklumat mengenai kes itu," katanya semasa memberi keterangan.

Jonathan Koh juga memberitahu siasatan itu bahawa bapanya telah menerima panggilan daripada orang tidak dikenali dalam bahasa Arab, yang mereka anggap sebagai ancaman, pada 2016.

"Saya hanya mendengar. Ia berlatarkan muzik dan beberapa perkataan. Dalam bahasa Arab, 'Allahu Akbar' (Tuhan Maha Besar)," katanya.

Isteri Koh, Susanna Liew, telah berkata bahawa keluarganya hidup dalam ketakutan terhadap ancaman bunuh sejak 2011, apabila NGO itu dituduh cuba memurtadkan belia Islam kepada agama Kristian - satu perbuatan yang dianggap salah di Malaysia.

Masalah keluarga itu bermula apabila pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam di Selangor menyerbu satu majlis makan malam Kesyukuran yang turut dihadiri oleh umat Islam.

Panel itu menjalankan siasatannya terhadap kehilangan Koh, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu, serta aktivis sosial Amri Che Mat mengikut Akta Suhakam.

Amri, seorang aktivis sosial, yang juga pengasas bersama sebuah NGO tempatan dan penduduk negeri Perlis, dilihat buat kali terakhir  pada 24 Nov 2016. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau sedang menyebarkan ajaran Syiah, menurut laporan media tempatan.

Saksi-saksi melaporkan bahawa mereka melihat lima kenderaan menghalang laluan jip beliau, yang didapati kosong dan diletakkan berhampiran sebuah empangan dengan cermin hadapannya pecah.

Enam hari kemudian, Hilmi dan isterinya, Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian,  dilihat buat kali terakhir berada di rumah mereka di negeri Selangor. Laporan orang hilang tidak difailkan sehingga 6 Mac lalu, kata pegawai.

Blog-blog pula mendakwa bahawa pasangan itu beragama Islam sebelum memeluk agama Kristian dan turut memurtadkan individu lain kepada agama itu.

Lebih daripada 60 peratus daripada 19.5 juta rakyat Malaysia beragama Islam.

Sekurang-kurangnya 15 orang telah disapina oleh siasatan awam itu dan 35 orang, termasuk anggota keluarga dan polis, telah disoal siasat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.