Parlimen Luluskan Usul Wajibkan Anggota Parlimen, dan Keluarga Isytihar Harta
2019.07.01
Kuala Lumpur, Malaysia

Parlimen Malaysia semasa sesi baru persidangannya pada Isnin, sebulat suara telah meluluskan usul mewajibkan semua anggota Parlimen dan keluarga untuk mengisytiharkan harta mereka sebagai langkah kerajaan membendung rasuah di kalangan penggubal undang-undang.
Usul diluluskan dengan undian suara pada hari pertama persidangan sejurus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong menjawab semua soalan dan perkara yang dibangkitkan berhubung usul tersebut oleh anggota parlimen.
“Usul yang dikemukakan oleh Yang Berhormat menteri di Jabatan Perdana Menteri di bawah Perkara 1 hendaklah dipersetujukan. Ahli-ahli Yang Berhormat bersetuju kata bersetuju, yang tidak bersetuju kata tidak.
“Tidak ada suara yang tidak bersetuju, usul disetujukan sebulat suara,” kata Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof sebelum menangguhkan persidangan pada jam 10 pagi Selasa.
Usul itu merupakan langkah pertama sebelum akta rang undang-undang baru berhubung perkara tersebut dibuat, di mana Liew turut memberitahu anggota parlimen bahawa akta baru itu dijangka dibentangkan untuk diperdebatkan pada sesi parlimen akan datang.
Minggu lalu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad berkata bahawa pengisytiharan harta perlu bagi membendung gejala rasuah dengan kerajaan atau pembangkang tidak boleh menggunakan pengaruh dalam mendapatkan bayaran.
Awal Isnin, Liew sebagai Menteri yang bertanggungjawab terhadap undang-undang telah membentangkan usul pengisytiharan harta mengikut Peraturan Mesyuarat 27 (3) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Tegasnya, usul tersebut dikemukakan atas prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan, akan tetapi tiada undang-undang yang mewajibkan anggota Parlimen mengisytihar harta, dengan berharap semua wakil rakyat dapat menyokong usul tersebut.
"Atas prinsip tanggungjawab dan ketelusan, saya harap usul ini dapat disokong oleh semua ahli-ahli yang berhormat," tambah Liew sambil berkata usul ini juga akan mewajibkan individu yang gagal mengisytihar harta boleh dibawa ke jawatankuasa hak dan keistimewaan Parlimen.
"Wakil rakyat yang membuat perisytiharan palsu pula akan disabitkan kesalahan mengikut Seksyen Section 3, Akta 783 (Akuan Berkanun) dan Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun ataupun denda," kata Liew.
Menteri itu juga memberitahu satu akuan berkanun akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa tiga bulan dari tarikh usul berkenaan diluluskan.
"Selain itu, akuan berkanun tersebut juga akan diserahkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," Liew berkata.
Pakatan Harapan, yang mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 9 Mei tahun lalu telah berjanji di dalam manifestonya untuk membuat pengisytiharan harta sebagai salah satu komitmen mereka. Tetapi ia tidak merujuk kepada wakil rakyat daripada pembangkang.
Kesemua anggota parlimen Pakatan Harapan telah mengisytiharkan harta mereka dan maklumat tersebut boleh didapati di laman web SPRM.
Tidak setuju
Ketika sesi soal jawab, anggota parlimen Kota Baru Takiyuddin Hassan daripada PAS mempersoalkan usul berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menghukum mana-mana anggota parlimen yang tidak mengisytiharkan harta.
"Dimana letaknya kuasa untuk menghukum anggota parlimen yang tidak mengisytiharkan harta?. Jika saya dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen kerana tindakan disiplin ia tidak menyatakan secara jelas tindakan apa yang boleh diambil terhadap saya," tegas Setiausaha Agung PAS sambil menambah "Ini adalah janggal dan oleh itu saya bertindak untuk menolaknya. Saya tidak akan mengisytiharkan dan menjadi yang pertama menentang usul ini,”.
Speaker Mohamad Ariff Md Yusof kemudiannya memberitahu dewan beliau tidak mempunyai kuasa untuk bertindak ke atas anggota Parlimen yang ingkar.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu pemberita di lobi Parlimen bahawa agama Islam melarang umatnya untuk bermegah-megah di dalam menunjukkan kekayaan.
“Dalam Islam ada hadis, yang mengatakan jika Tuhan berikan harta jangan heboh kepada orang ramai kerana pendengkinya ramai. Ia melibatkan soal keselamatan bila isytihar harta, individu dan keluarga.
“Apa asas isytihar harta, negara kita ada undang-undang, ada undang-undang cukup, lagipun semua hasil mesti dilaporkan ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Tidak ada keperluan ada akta ini,” kata Tuan Ibrahim sambil menambah yang kerajaan sepatutnya lebih cermat sebelum sebarang pembentangan di Parlimen dibuat.
Sementara itu, presiden Transparency International-Malaysia president Muhammad Mohan semasa dihubungi BeritaBenar berkata cadangan usul itu adalah satu usul yang perlu disokong oleh semua anggota parlimen.
"Dalam suasana politik kita hari ini, usul ini wajib disokong. Ini bukan era 90 atau 80an. Semua maklumat dihujung jari dan rakyat kini lebih bijak. Mereka mahukan pemimpin yang telus dan ‘accountable’.
"Jika ahli politik fikir ini satu bebanan mengapa masuk politik? Politik untuk membantu rakyat bukan untuk diri sendiri. Soal cemburu dan keselamatan itu kita serahkan pada pihak polis.
"Diluar sana ramai lagi ahli perniagaan yang kaya raya. Tidak perlu risau akan soal keselamatan," tegas Mohan.
Antara mereka yang telah mengistiharkan harta dan mempunyai nilai terbanyak adalah anggota parlimen Segamat, Johor, Santhara Kumar Ramanaidu yang mempunyai aset bernilai RM132.11 juta (AS$31.96 juta), diikuti Ngeh Koo Ham, penasihat DAP dan mewakili Beruas, Perak, dengan aset bernilai RM77 juta (AS$18.63 juta).
Ketiga tertinggi adalah Perdana Menteri, Mahathir Mohamad serta isteri Siti Hasmah Mohd Ali yang mengisytiharkan aset bernilai RM32.35 juta (AS$7.82juta).
Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir yang juga merupakan anak kepada Perdana Menteri telah mengisytiharkan asetnya yang bernilai RM25.17 juta (AS$6.09 juta).
Sejak mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan telah mendakwa beberapa bekas menteri dan ahli UMNO disyaki terlibat di dalam rasuah
Bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalan beliau Ahmad Zahid Hamidi adalah diantara mereka yang telah dihadapkan ke mahkamah berdepan dengan kes penyalahgunaan kuasa dan rasuah bernilai puluhan juta ringgit.
Selain itu, isteri Najib Rosmah Mansor turut didakwa berhubung kes salah guna kuasa. Bekas pengerusi Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim yang juga ahli UMNO adalah salah seorang ahli politik yang ditahan dan didakwa atas kesalahan rasuah.
Radzi Razak di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.