Shafie Apdal Ambil Alih Parti Politik Tempatan Sabah
2016.09.22
Putrajaya

Bekas Naib Presiden UMNO Mohd Shafie Apdal pada Khamis mengumumkan akan mengambil alih sebuah parti politik tempatan di Sabah dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang perlu diadakan dalam tempoh kurang dua tahun.
Ahli Parlimen Semporna itu enggan mendedahkan nama parti yang bakal diterajuinya itu, tetapi berkata parti yang terbuka untuk pelbagai kaum tersebut telah ditubuhkan pada tahun 2013 yang lalu.
Pada pagi Khamis, wakil media tempatan dan asing berkampung di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di Putrajaya apabila mendapat khabar yang Mohd Shafie bakal memfailkan permohonan untuk menubuhkan sebuah parti politik baru.
Mohd Shafie tiba di ibupejabat ROS sekitar jam 9.35 pagi dan kelihatan memasuki bangunan tersebut.
Sebaik keluar dari bangunan tersebut, Mohd Shafie memaklumkan kehadirannya bukan untuk menubuhkan parti baru tetapi hanya mengemaskini pendaftaran sebuah parti dari Sabah untuk ditubuhkan semula sebagai partinya.
“Hari ini, Alhamdullillah saya berkesempatan ke ROS… bukan pendaftaran parti baru sebenarnya kerana ia sudah didaftarkan… cuma ada perubahan dari segi nama dan beberapa kandungannya, sekarang ini parti itu sudah ada cuma hendak ambil alih parti dan kita telah serah kepada pihak RoS dan kita yakin kita mematuhi segala kehendak dan peraturan Jabatan itu.
"Saya yakin, ia tidak akan mengambil masa yang lama sebab proses (ambil alih) lebih mudah berbanding penubuhan parti baru," katanya kepada pihak media.
Mohd Shafie berkata, beliau hanya akan mengulas lanjut mengenai parti yang diperbaharui itu sehingga urusan dengan pihak ROS selesai.
“Nama parti ini nantilah saya umum," katanya ringkas.
Sementara itu, ketika ditanya mengapa tidak menubuhkan parti baru sahaja, Mohd Shafie berkata, “Parti baru ambil masa, jadi sekarang ini mudah sedikit,”
Pada 4 Julai lepas, Mohd Shafie mengumumkan keluar dari Umno susulan daripada tindakan kepimpinan parti menggantungnya dari jawatan Naib Presiden.
Mohd Shafie merupakan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum digugurkan daripada rombakan Kabinet pada 29 Julai tahun lalu, bersama-sama Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.
Beliau dan Muhyiddin adalah antara pemimpin Umno yang disingkirkan kerana lantang bersuara mengenai skandal syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang dibebani hutang berbilion ringgit.