Saksi Siasatan Awam Hak Asasi Manusia Dakwa Penculikan Menyerupai Operasi Polis
2017.10.19
Kuala Lumpur
Saksi pertama prosiding siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan empat individu, termasuk tiga penganut agama minoriti Kristian, berkata seorang inspektor memaklumkan beliau bahawa satu daripada penculikan itu menyerupai operasi polis.
Polis Malaysia telah mengesahkan bahawa Paderi Raymond Koh Keng Joo telah diculik pada Februari, namun mengklasifikasi individu lain sebagai “orang hilang”. Kes-Kes lain yang bertarikh sehingga November 2016 membabitkan pasangan suami isteri pengkhutbah Kristian dan seorang aktivis Islam.
Koh telah diculik di sebatang jalan di pinggir bandar Kuala Lumpur pada 13 Feb. Ia berlaku pada siang hari dan kamera CCTV merakam beberapa buah SUV dan motosikal mengelilingi kereta mangsa, memaksa beliau berhenti sebelum dia dilarikan. Keretanya masih belum dijumpai.
Satu-satunya saksi pada Khamis, hari pertama prosiding yang ditetapkan selama 10 hari, berkata seorang pegawai polis telah menyatakan bahawa cara penculikan yang dilihatnya adalah satu “operasi polis.”
Roeshan Celestine Gomez, yang mendakwa menyaksikan penculikan Koh, memaklumkan siasatan bahawa kenyataan itu dibuat oleh seorang pegawai penyiasat di Balai Polis Kelana Jaya di mana beliau membuat laporan. Beliau kemudian mengenal pasti pegawai itu sebagai Inspektor Ali Asra.
“Saya telah bertanya pegawai polis itu jika apa yang saya gambarkan kelihatan seperti satu penculikan tetapi beliau memberitahu saya jangan bimbang kerana ia kelihatan seperti modus operandi satu operasi polis,” kata Gomez, seorang pelajar ketika kejadian dan telah menamatkan pengajiannya daripada fakulti perundangan.
Gomez berkata pegawai itu memberitahunya bahawa insiden itu berlaku dengan pantas dan pada siang hari. Kehadiran seorang individu yang merakamkan insiden itu juga bertepatan dengan satu operasi polis.
Siasatan awam suruhanjaya itu berhubung kehilangan Koh, Paderi Joshua Hilmi dan isterinya, Ruth Sitepu serta aktivis social Amri Che Mat diadakan mengikut Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia.
Siasatan itu diketuai Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kai, yang bersidang bersama-sama Aishah Bidin dan Nik Salida Suhaila manakala peguam yang mewakili anggota keluarga keempat-empat mangsa bertindak sebagai pemerhati.
Siasatan itu bermula dengan Mah, pengerusi dan bekas hakim mahkamah kedua tertinggi di Malaysia, memaklumkan hadirin bahawa ini bukan satu perbicaraan mahkamah namun beliau berhasrat untuk mengeluarkan satu laporan selepas ia selesai.
“Ideanya ialah untuk mencari kebenaran dan keadilan,” katanya.
Panel pencarian fakta itu bertujuan memastikan sama ada kesemua kes adalah kehilangan tanpa kerelaan yang melanggar undang-undang jenayah dan sivil negara.
Ia akan turut mengenal pasti individu-individu atau agensi-agensi yang bertanggungjawab bagi pelanggaran itu dan memutuskan sama ada para pegawai polis telah mengambil langkah sewajarnya untuk menyiasat kes-kes itu, kata SUHAKAM dalam satu kenyataan.
Rakaman CCTV menyokong keterangan saksi
Rakaman CCTV daripada dua rumah berhampiran menunjukkan terdapat sekurang-kurangnya tiga SUV hitam terlibat dalam penculikan itu.
Gomez memaklumkan siasatan itu bahawa beliau sedang memandu dengan seorang rakan di belakang kereta Paderi Koh ketika penculikan itu berlaku.
“Rakan wanita saya mengangkat telefon bimbitnya untuk merakam insiden itu, namun seorang lelaki datang di depan kami dan memberi isyarat supaya kami tidak berbuat demikian,” katanya.
Gomez berkata beliau meninggalkan tempat itu selepas lelaki berkenaan memberikan isyarat tangan supaya beliau mengundurkan keretanya daripada SUV terbabit. Tiga penunggang motosikal turut berpusing-pusing di kawasan tersebut ketika itu, katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa rakaman CCTV itu merekodkan apa yang telah disaksikannya.
Badan bukan kerajaan Koh, Harapan Komuniti, telah disiasat oleh majlis agama Islam pada 2011 berhubung dakwaan ia telah menghoskan satu majlis yang dihadiri orang Islam di sebuah gereja, menurut laporan.
Paderi yang hilang itu menjadi sasaran dakwaan bahawa beliau cuba mengkristiankan belia Islam, yang dianggap sebagai satu jenayah di Malaysia.
Isteri Koh, Susanna Liew, berkata beliau dijadual memberi keterangan dalam prosiding siasatan itu pada Jumaat.
Aktivis sosial hilang
Amri, seorang aktivis sosial, yang juga pengasas sebuah NGO tempatan dan penduduk negeri Perlis, telah dilihat buat kali terakhir pada 24 Nov. Kehilangannya mungkin bermotifkan agama berdasarkan dakwaan bahawa beliau sedang menyebarkan ajaran Syiah, yang tidak disukai di negara yang majoriti penganut Islamnya berfahaman Sunnah, menurut laporan media tempatan.
Saksi-Saksi berkata mereka melihat lima buah kenderaan menghalang laluan jipnya, yang dijumpai kosong, cermin depan kereta dihancurkan dan diparkir berhampiran sebuah empangan tempatan.
Pada 30 Nov, Hilmi dan isterinya, Ruth, kedua-duanya pengkhutbah Kristian, telah dilihat kali terakhir di rumah mereka di negeri Selangor. Satu laporan orang hilang, bagaimanapun, tidak dibuat sehingga 6 Mac, kata para pegawai.
Beberapa posting di blog mendakwa pasangan itu adalah penganut Islam yang telah mengkristiankan orang lain.
Lebih 60 peratus daripada 19.5 juta rakyat Malaysia adalah beragama Islam.
Sekurang-kurangnya 15 orang, termasuk bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, telah disapina oleh siasatan awam itu manakala 35 lagi, termasuk anggota keluarga mangsa dan polis, telah disoal siasat.