Malaysia Tahan 2,000 Pendatang Tanpa Izin, Keluar Amaran Terakhir Serah Diri
2017.07.06

Pihak berkuasa Malaysia menahan lebih 2,000 pendatang tanpa izin di negara itu, dengan turut mengeluarkan amaran keras supaya menyerah diri selepas kempen permohonan kad sementara atau Enforcement Card (E-Kad) tamat minggu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Mustafar Ali memberi amaran keras itu berikutan operasi gempur pendatang tanpa izin bermula Sabtu lalu yang telah melihat lebih 2,000 pekerja asing dan 44 orang majikan di seluruh negara ditahan sejak tamat tempoh akhir pendaftaran pada 30 Jun lepas.
"Mereka (PATI) boleh menyerah diri dan akan dihantar pulang dengan segera, tetapi mereka akan disiasat terlebih dahulu sebelum diusir keluar dari negara,” katanya selepas merasmikan sebuah majlis taklimat di Kuala Lumpur pada Rabu.
Mustafar menambah pendatang asing tersebut yang telah menyerah diri hanya akan didenda RM400 [AS$93] berbanding kompaun sebanyak RM5,000 [AS$1,164] jika ditahan pihak berkuasa kerana tidak memiliki kad tersebut.
"Jika kes dibawa ke mahkamah, denda minima RM10,000 [AS$2,327] akan dikenakan. Di bawah program 3+1, mereka cuma perlu membayar denda sebanyak RM400 [AS$93] dan seterusnya membeli tiket kapal terbang dan pulang ke negara masing-masing,” kata Mustafar.
Jabatan Imigresen memberikan E-Kad secara percuma, dan boleh digunakan untuk pengesahan sementara bagi menggantikan dokumen perjalanan sah daripada kedutaan-kedutaan warga asing berkenaan.
Selepas pendaftaran diluluskan, majikan dan warga asing tersebut perlu memohon untuk pasport daripada kedutaan masing-masing.
Tarikh akhir bagi pendafataran E-Kad itu ialah 30 Jun 2017 dan jabatan itu enggan melanjutkan tempoh pendaftaran. Kad tersebut sah sehingga 15 Februari tahun depan untuk membolehkan majikan melengkapkan proses pendaftaran pekerja tanpa izin.
Puluhan ribu pendatang haram
Berpuluh ribu rakyat Bangladesh, Myanmar, Indonesia serta rakyat dari negara-negara Asia yang lain berhijrah ke Malaysia untuk mengambil peluang pekerjaan berisiko tinggi dan berbahaya demi membina kehidupan lebih baik, kerana pekerjaan sektor itu tidak mendapat sambutan daripada penduduk tempatan.
Lebih 2 juta pekerja asing bekerja secara sah di Malaysia, namun para pegawai menganggarkan terdapat lebih 1 juta pekerja tanpa izin yang membanjiri negara itu.
Sejak beberapa tahun lepas, Malaysia telah dicemari dengan dakwaan bahawa pekerja asing tidak dilayani dengan sewajarnya termasuk tidak dibayar gaji setimpal selain pergerakan mereka disekat majikan yang turut menyimpan pasport mereka.
Gaji minima di Malaysia berbeza mengikut negeri-negeri dengan kadar minima RM1,000 [AS$233] di Semenanjung Malaysia dan RM920 [AS$214] di Sabah dan Sarawak. Bayaran gaji minima itu berkuatkuasa pada 1 Julai tahun lepas untuk pekerja tempatan dan pekerja asing di negara ini.
Senarai hitam
Tambah Mustafar, pendatang asing itu juga akan diletakkan di dalam senarai hitam yang akan mengakibatkan mereka tidak dibenarkan masuk ke Malaysia untuk tempoh tertentu.
“Mereka akan disenarai hitamkan daripada memasuki Malaysia bagi satu tempoh tertentu sehingga lima tahun," kata Mustafar.
Katanya, jabatan itu menjangka kesesakan akan berlaku di depoh penahanan selepas bermulanya operasi gempur itu yang dilakukan hampir setiap hari oleh jabatan tersebut.
"Tetapi proses pembersihan yang dilakukan bagi mempercepatkan siasatan dan proses pendakwaan atau pengusiran mampu menangani masalah tersebut," katanya.
Sebelum ini, jabatan itu menyatakan warga Bangladesh mencatatkan kadar pendaftaran E-Kad tertinggi diikuti oleh Indonesia, Myanmar dan Nepal.
Sehingga 30 Jun lepas, seramai 155,680 pendatang tanpa izin yang melibatkan 26,957 majikan telah membuat permohonan dengan Jabatan Imigresen dan sebanyak 140,746 E-Kad telah dikeluarkan dengan jumlah yang jauh lebih rendah daripada sasaran asal sebanyak 600,000 pekerja tanpa izin.
Selain pendatang asing itu, majikan juga boleh dikenakan tindakan kerana melindungi dan menggaji pendatang tanpa izin atau warga asing mengikut Seksyen 56(1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963.
Kesalahan itu membawa denda minima RM10,000 [AS$2,327] atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J. Solomon ketika dihubungi berkata sehingga kini tidak ada angka yang tepat mengenai jumlah pendatang tanpa izin di Malaysia dan kerajaan perlu dipertanggungjawabkan dengan pembanjiran ini.
“Kerajaan perlu bertanggungjawab kerana dasar-dasar yang tidak sesuai itulah yang menjadi punca kepada pembanjiran pekerja asing yang tidak berdokumen,” katanya kepada BeritaBenar.
Ray Sherman menyumbang kepada laporan ini.