COVID-19: Kadar Pengangguran Ketua Keluarga Pendapatan Rendah Meningkat, Agensi PBB

Kenyataan dua agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu adalah melalui tinjauan terhadap 500 keluarga di Kuala Lumpur.
Noah Lee
2021.02.08
Kuala Lumpur
COVID-19: Kadar Pengangguran Ketua Keluarga Pendapatan Rendah Meningkat, Agensi PBB Peniaga buah-buahan sedang menyusun buah di tapak jualan Pasar Malam Taman Jasmin di Kajang, Selangor, 5 Februari, 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Agensi-agensi dibawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mengkaji 500 keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur dalam satu tinjauan berkata kadar pengangguran di kalangan ketua keluarga berpendapatan rendah di ibu negara Malaysia itu meningkat satu kali ganda di antara September dan Disember tahun lepas disebabkan pandemik COVID-19.

Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) dalam satu kenyataan pada Isnin yang memaklumkan bahawa kedua-dua agensi badan dunia itu telah menjalankan tinjauan untuk mengenalpasti kesan krisis pandemik COVID-19 terhadap wanita dan kanak-kanak dalam keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar yang bertajuk ‘Keluarga di Pinggiran’ bermula Mei tahun lalu.

Kajian dua agensi badan dunia itu mengambil masa enam bulan meliputi tiga kompenen utama iaitu sosio-ekonomi, wawancara, dokumentari video dan fotografi turut mendapati pengurangan pendapatan yang dialami sebilangan besar responden boleh mengakibatkan kemiskinan berterusan dalam kumpulan tersebut.

“Walaupun dengan langkah-langkah yang dibuat oleh kerajaan bagi mengurangkan impak, krisis disebabkan pandemik COVID-19 terus memberi impak negatif terhadap keluarga miskin bandar di Kuala Lumpur. Tinjauan UNICEF dan UNFPA semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan pada Disember mendapati keadaan sosio-ekonomi separuh daripada keluarga yang ditinjau menunjukkan kemerosotan.

"Kadar pengangguran di kalangan ketua isi rumah meningkat satu kali ganda kepada 15 peratus berbanding tiga bulan sebelum itu, dan satu daripada tiga orang dewasa di dalam keluarga yang ditinjau masih tiada pekerjaan.

“Kadar pendapatan di kalangan isi rumah yang diketuai wanita serta orang kurang upaya (OKU) pula kini berkurangan masing-masing sebanyak 24 peratus dan 36 peratus berbanding pada hujung 2019,” kata kenyataan media bersama UNICEF dan UNFPA pada Isnin.

Menurut kenyataan itu lagi, pengurangan pendapatan yang dialami oleh sebilangan besar responden mengakibatkan kemiskinan berterusan dalam kumpulan tersebut.

Kadar kemiskinan di antara sampel kajian, kekal pada 42 peratus pada bulan Disember dengan kadar yang lebih tinggi dalam kalangan isi rumah yang diketuai OKU (55 peratus) dan isi rumah yang diketuai wanita (61 peratus), tambah kenyataan bersama agensi PBB itu, yang turut berkata ramai isi rumah yang pendapatannya agak tinggi masih di garis kemiskinan dan mengakibatkan mereka mengalami kesukaran untuk memenuhi keperluan asas.

Terus alami kemerosotan

Dalam pada itu, Rashed Mustafa Sarwar, wakil UNICEF di Malaysia berkata data dikumpulkan melalui kajian itu juga mencadangkan bahawa walaupun terdapat segelintir keluarga yang sudah mula pulih (dari segi ekonomi), keluarga lainnya terus mengalami kemerosotan dan dengan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Pergerakan [PKP] 2.0 oleh Putrajaya bulan lalu, keluarga ini semakin hampir kepada titik keruntuhan.

"Kita perlu memikirkan semula isu perlindungan sosial bagi golongan yang paling rentan termasuk memberi bantuan sokongan pendapatan untuk keluarga berpendapatan rendah dan penyediaan bantuan sara hidup terutama kepada mereka yang bekerja sendiri.

“Kami telah memberikan sokongan kepada kerajaan dan berharap dapat bekerjasama untuk memperkukuhkan dasar dan program untuk keluarga yang memerlukan," katanya dalam kenyataan.

PKP 2.0 merujuk kepada perintah berkurung yang kini berkuatkuasa di hampir seluruh negara kecuali Sarawak bagi mengekang penularan wabak Koronavirus yang menyaksikan rakyat diarah untuk duduk di rumah, dengan hanya sektor ekonomi tertentu dibenarkan untuk terus beroperasi dengan syarat ketat termasuk pengurangan jumlah pekerja selain perniagaan dibenar beroperasi sehingga jam 10 malam.

Rakannya Najib Assiifi, wakil UNFPA di Malaysia pula berkata bahawa dinamik sosial keluarga yang terkesan dari segi ekonomi turut mendapat impak, apabila peningkatan pemikiran pesimis di kalangan mereka mula menjadikan keadaan hidup yang tidak sihat.

"Dengan peningkatan permikiran pesimistik, ia seterusnya memburukkan kesihatan mental, dan akan mula membentukan kehidupan tidak sihat, baik dari segi psikologi dan ada kalanya secara fizikal. Tiada yang lebih terkesan dengan ini berbanding kanak-kanak, mereka yang mempunyai sakit kronik, Orang Kurang Upaya [OKU] dan sudah semestinya penjaga mereka," tambah Najib.

Sejak negara dilanda COVID-19 yang memaksa kerajaan melaksanakan beberapa siri perintah berkurung, Putrajaya telah menganjurkan beberapa siri bantuan untuk mereka yang terjejas secara ekonomi, termasuklah bantuan wang tunai bersasar, moratorium kepada semua bentuk pinjaman individu dengan institusi kewangan, serta subsidi upah kepada syarikat-syarikat bagi menggalakkan mereka supaya terus memberikan peluang pekerjaan.

Pada 1 Februari, Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa mengumumkan bahawa lebih 30,000 keluarga daripada 1.8 juta penduduk di Kuala Lumpur memiliki pendapatan di bawah RM2,200(AS$538) sebulan, dan berada di bawah garis kemiskinan.

Annuar menurut laporan media tempatan berkata bahawa jumlah itu dikenalpasti di 178 lokaliti di sekitar bandar berkenaan, dan kesemua mereka memerlukan bantuan yang sewajarnya.

Selain itu, Kementerian Wilayah Persekutuan turut menggerakkan inisiatif bagi memberikan bantuan termasuk barangan dapur seperti beras selain daripada program bakul makanan untuk keluarga miskin bandar disamping menawarkan 3,000 peluang pekerjaan kepada penduduk bandar melalui program-program yang dijalankan termasuk kepada 10,000 murid sekolah dari golongan berpendapatan rendah melalui program bas sekolah.

Keluarga tercicir

Aktivis sosial Malaysia, Ku Noor Amarah Ku Amir yang aktif dalam badan bukan kerajaan ‘Anak Kami’ yang membantu keluarga miskin bandar berkata ramai kalangan keluarga telah tercicir dari mendapat pertolongan kerajaan walaupun mereka memerlukannya.

Ia disebabkan beberapa faktor, kata Ku Noor termasuk sebelum ini mempunyai pendapatan tetap, atau memiliki harta tanah, atau gerai kecil mereka tiada dalam senarai pendaftaran syarikat atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

"Jadi golongan seperti ini, di atas kertas, mereka kelihatan seperti tidak layak mendapat bantuan, tetapi realitinya mereka memerlukan bantuan. Contohnya, satu kumpulan yang sekarang kami cuba bantu adalah mereka yang berada di dalam industri perfileman dan mereka ini adalah krew filem yang dibayar gaji harian.

"Mereka tiada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan, mereka tiada daftar syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, dan mereka tidak layak mendapat bantuan zakat kerana penyata bank mereka sebelum ini mengatakan sebegitu.

“Sekarang ini industri filem telah terhenti sejak Mac 2020, dan ini bermakna mereka juga tiada pendapatan. Mereka juga ada keluarga untuk disara dan bil untuk dibayar," kata aktivis itu kepada BeritaBenar sambil menambah ada yang sampai ke tahap tidak membayar sewa rumah hampir setahun, dan berhadapan kemungkinan dihalau keluar.

Malaysia memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan di seluruh negara itu sejak 18 Mac tahun lepas yang dijalankan melalui fasa pelbagai peringkat.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.