Parlimen Malaysia Lulus Penalti Lebih Berat Terhadap Penderaan Seksual Kanak-kanak

Ray Sherman
2017.04.05
Kuala Lumpur
170405-MY-child-620.jpg Pendera seks kanak-kanak rakyat British, Richard Huckle berkeliaran di jalanan mengambil gambar kanak-kanak dalam komuniti yang sebahagian besarnya miskin di Kuala Lumpur, demikian menurut saksi sebelum menjatuhkan hukuman, 3 Jun, 2016.
[AFP]

Sepuluh bulan selepas kes pedofilia menggemparkan negara, Parlimen Malaysia meluluskan hukuman penjara yang lebih berat terhadap penagih seks kanak-kanak, satu langkah yang dibayangi dengan kemarahan terhadap kenyataan seorang ahli politik semasa perbahasan rang undang-undang tersebut yang menyatakan seorang gadis berusia 9 tahun boleh berkahwin.

Diluluskan pada Selasa, selepas dua hari perdebatan, rang undang-undang itu membolehkan kanak-kanak berwibawa untuk memberikan keterangan, termasuk memberi bukti sokongan kepada perbicaraan, jika dibenarkan oleh mahkamah. Rang undang-undang itu, bagaimanapun, tidak menangani isu pengantin kanak-kanak.

Komen oleh Shabudin Yahaya, anggota parlimen daripada parti gabungan Barisan Nasional, mengenai cadangan untuk memasukkan larangan perkahwinan melibatkan kanak-kanak, menimbulkan tindak balas bukan sahaja dari anggota parlimen pembangkang dan media sosial, tetapi juga daripada rakan-rakannya dalam gabungan itu.

Semasa perbahasan pada Selasa, Shabudin berkata, "mereka mencapai akil baligh pada usia 9 atau 12 tahun. Dan pada masa itu, badan mereka sudah serupa dengan mereka yang berumur 18 tahun. Jadi dari segi fizikal dan rohani, ia bukan satu halangan untuk gadis berkahwin, " menurut laporan agensi berita Reuters.

Beliau juga berkata, tiada apa yang salah dengan mangsa rogol berkahwin dengan perogol dan tidak menghadapi masa depan yang suram.

Walaupun terdapat bukti melalui rakaman video dari parlimen, Shabudin berkata, kenyataan beliau itu telah diambil di luar konteks.

Pada Jun 2016, berikutan sabitan di London terhadap Richard Huckle yang mengakui bersalah terhadap 71 tuduhan penderaan seks terhadap kanak-kanak seawal usia 6 bulan, pakar kanak-kanak Malaysia berkata tindakan undang-undang dan hukuman sahaja tidak mencukupi untuk menangani pendera.

Huckle dipercayai telah menyasarkan seramai 200 kanak-kanak, kebanyakannya di Malaysia, sepanjang tempoh sembilan tahun, menyamar sebagai seorang jurugambar, guru Bahasa Inggeris dan dermawan Barat untuk mendapat akses kepada keluarga miskin.

"Kita perlu langkah-langkah pencegahan dalam bentuk kemahiran keibubapaan mengenai keselamatan kanak-kanak, pendidikan seks di sekolah-sekolah, mendidik anak mereka untuk melindungi diri daripada potensi menjadi mangsa seksual," Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA) Presiden N. Thiyagar memberitahu BeritaBenar pada masa itu.

Hukuman lebih berat

Rang Undang-Undang yang telah diluluskan minggu ini menyediakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan enam kali sebatan bagi mereka yang didapati bersalah membuat, memiliki atau mengedarkan pornografi kanak-kanak.

Mereka yang disabitkan melakukan perbuatan seksual fizikal termasuk menyentuh sebahagian  badan kanak-kanak, membuat kanak-kanak menyentuh mana-mana bahagian badan orang lain atau menyentuh kanak-kanak itu atau badannya tanpa persetubuhan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat. Sebelum ini, sabitan penderaan kanak-kanak membawa hukuman penjara 10 tahun.

Mereka yang melakukan hubungan seksual terhadap kanak-kanak lelaki, seperti menyentuh dan berkawan dengan kanak-kanak sebagai permulaan kepada penderaan seksual, boleh dipenjarakan selama 10 tahun, didenda RM20,000 (AS$4,500), atau kedua-duanya sekali,  jika sabit kesalahan. Selain itu, sesiapa sahaja menyembunyikan maklumat mengenai kesalahan seksual kanak-kanak boleh dikenakan denda sebanyak RM5,000 (AS$1,128).

Mahkamah khas akan ditubuhkan untuk menangani jenayah seksual kanak-kanak dengan lebih cepat.

Azalina Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata kerajaan tidak boleh sepenuhnya memberi jaminan bahawa jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dibendung.

"(Tetapi rang undang-undang) adalah satu permulaan. Jangan bimbang, akan ada susulan kepada (peningkatan) rang undang-undang, "katanya kepada New Straits Times.

Pengantin kanak-kanak

Mengenai kekurangan perlindungan bagi perkahwinan kanak-kanak dalam rang undang-undang berkenaan, ahli parlimen pembangkang menegaskan ia boleh membenarkan perogol bebas kerana terdapat kes di mana mereka berkahwin dengan mangsa mereka, termasuk kanak-kanak yang lebih muda daripada umur 18 tahun, untuk mengelakkan berlakunya pendakwaan. Perkahwinan rogol bukan satu jenayah di Malaysia.

Azalina menolak tanggapan "Mana-mana kes yang melibatkan seorang individu yang mempunyai hubungan seks dengan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun, dengan atau tanpa kebenaran kanak-kanak, akan dikategorikan sebagai rogol," katanya.

Di bawah undang-undang sivil dan Islam, kanak-kanak perempuan dan lelaki dibawah umur 18 tahun boleh berkahwin. Walaupun undang-undang sivil menetapkan umur minima untuk berkahwin ialah 18 tahun, mereka yang berusia 16 tahun boleh berkahwin jika mereka mempunyai persetujuan ketua menteri.

Di bawah undang-undang Islam, kanak-kanak yang berusia dibawah 16 tahun boleh berkahwin jika mendapat kelulusan mahkamah Syariah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.