Pelajar Berusia 19 Tahun Mengaku Bersalah Miliki Bom Buatan Sendiri

Hata Wahari
2017.11.05
Kuala Lumpur
171105-MY-Beer_Fest_620.jpg Anggota pasukan anti-keganasan Malaysia membawa suspek berusia 19 tahun Muhammad Hafizi Mat Jusoh keluar dari Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki bahan letupan, 5 Nov 2017.
[Ihsan Polis Diraja Malaysia]

Seorang pelajar berusia 19 tahun mengaku bersalah pada Ahad atas pertuduhan memiliki bahan letupan, selepas pihak berkuasa mendakwa dia dan dua lelaki telah merancang untuk meletupkan sebutir bom buatan sendiri semasa satu pesta arak di Kuala Lumpur bulan lepas.

Penganjur telah membatalkan Festival Better Beer yang dijadual berlangsung dari 6 hingga 7 Okt di sebuah pusat membeli-belah di Kuala Lumpur susulan bantahan beberapa kumpulan penganut Islam yang mendakwa acara itu akan menggalakkan kelakuan tidak bermoral dan membawa ke arah aktiviti jenayah. Acara itu dijangka menarik kunjungan 6,000 orang, kata penganjur.

Muhammad Hafizi Mat Jusoh, sesorang pelajar Tingkatan Enam - tahap Sijil Persekolahan Tinggi Malaysia – mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki dua bahan letupan yang telah diubah suai (IED). Dia membuat pengakuan itu di depan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di negeri Kelantan.

Pelajar itu didakwa mengikut Akta Senjata Api 1971 selepas pihak berkuasa merampas dua butir bom dari sebuah rumah di Kampung Merkang dalam daerah Pasir Puteh pada 10 Okt. Para pegawai berkata pelajar itu telah mengaku menghasilkan IED terbabit selepas belajar cara untuk membuat bom dengan menonton video secara dalam talian.

Muhammad Hafizi berdepan hukuman maksimum penjara 14 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan, yang akan diputuskan pada 6 Dis.

Bulan lepas, pihak berkuasa Malaysia berkata sebutir daripada bom tersebut, seberat kira-kira 1.3 paun, mengandungi galas bebola mampat dalam sebatang paip PVC dan mampu mencederakan atau membunuh orang ramai dalam radius letupan 30 meter (98 kaki).

Muhammad Hafizi turut berdepan empat lagi pertuduhan, termasuk menyediakan latihan dan hadir di satu tapak latihan pengganas. Bagaimanapun, dia tidak membuat sebarang pengakuan atas kesemua pertuduhan yang masing-masing memperuntuk hukuman maksimum penjara 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Dua lelaki lain yang turut ditahan bersama pelajar itu ialah bekas tentera, Mahadi Brahim, 34, dan kontraktor pembinaan, Ahmad Azmi Ahmad Rosli, 24, yang berdepan pertuduhan serupa di mahkamah sama pada Ahad. Mereka juga tidak membuat sebarang pengakuan pada Ahad.   

Ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam manakala Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fadzlan Mohd Noor mengemukakan pertuduhan terhadap mereka pada Ahad.

Kaitan dengan kumpulan Gagak Hitam

Terdahulu, Ketua Polis Malaysia Mohammad Fuzi Harun berkata dua suspek mempunyai kaitan dengan kumpulan Gagak Hitam yang dipercayai bertanggungjawab terhadap serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor, berhampiran Kuala Lumpur, tahun lepas.

Beliau berkata ketiga-tiga lelaki turut menyasarkan beberapa lokasi lain di negara ini, termasuk ikon Malaysia iaitu Menara Berkembar, rumah-rumah ibadat bukan Islam dan pusat-pusat hiburan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia dan di negeri Selangor. Beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.

Penahanan ketiga-tiga lelaki menjadikan jumlah mereka yang ditangkap selepas satu plot pengeboman digagalkan setakat ini ialah sembilan orang sejak 2013, kata Mohammad Fuzi.

Para penyiasat berkata kontraktor pembinaan terbabit mempunyai kaitan dengan Muhammad Wanndy Mohamad Jedi, seorang perekrut terkemuka untuk Negara Islam (IS) di Asia Tenggara yang terbunuh dalam satu serangan dron di Syria pada 29 April, 10 bulan selepas dia didakwa menganjurkan satu serangan ke atas sebuah kelab malam yang telah meragut lapan nyawa di luar Kuala Lumpur.   

Dua lelaki telah disabitkan dan masing-masing dihukum penjara 25 tahun bagi kesalahan itu, yang merupakan kejayaan pertama serangan dikaitkan dengan IS di bumi Malaysia.

Malaysia dihuni kira-kira 19.5 juta orang Islam, iaitu lebih 60 peratus daripada jumah keseluruhan penduduknya. Bakinya ialah penganut agama Buddha, Hindu dan Kristian.

Pada 2014, polis Malaysia berkata mereka telah menggagalkan satu plot pengeboman yang dikaitkan dengan IS ke atas sebuah kilang arak Carlsberg di Shah Alam, Selangor, kira-kira 30 kilometer (19 batu) di tenggara ibu negara.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.