Remaja Malaysia Diugut Kerana Dedah Perbuatan Guru Persendakan Rogol
2021.05.06
Kuala Lumpur

Seorang pelajar perempuan sekolah menengah berusia 17 tahun, yang merungut dalam video TikTok mengenai perbuatan gurunya mempersendakan tentang rogol, mendedahkan bahawa dia telah menerima ugutan hingga menyebabkannya takut untuk kembali ke sekolah.
Remaja Malaysia itu memberitahu demikian kepada pemimpin pembangkang dan bekas menteri pendidikan Anwar Ibrahim semasa satu forum dalam talian pada Khamis.
Video yang dihasilkan Ain Husniza Saiful Nizam, yang menjadi tular, telah mencetuskan perdebatan di seluruh negara mengenai pendidikan seks dan misogini keinstitusian, dengan ramai remaja perempuan turut bersuara mengenai insiden serupa. Tetapi, tidak kurang juga yang mengkritik Ain Husniza.
“Saya takut untuk ke sekolah. Ini adalah sekolah yang pernah saya suka, dengan guru-guru yang saya sayangi,” kata Ain Husniza pada forum yang dianjurkan Anwar dan dikendalikan oleh kartunis politik, Zulkiflee Anwar Ul Haque atau lebih dikenali sebagai Zunar.
Walaupun menerima kecaman susulan penghasilan videonya yang tular itu, pelajar tersebut berkata dia pernah bertanya kepada dirinya sendiri: “Di manakah guru-guru yang saya sayangi? Tidakkah mereka mengambil berat tentang saya sebagai pelajar mereka? "
Ain Husniza menceritakan mengenai apa yang berlaku di sekolahnya dalam satu video TikTok yang dihasilkannya dan disiarkan pada 24 April. Menurutnya satu kelas mengenai pendidikan jasmani yang dikendalikan oleh seorang guru lelaki telah membincangkan tentang bagaimana remaja bawah umur mempunyai hak untuk menentang gangguan seksual.
"Dia (cikgu) mula buat beberapa lawak, ia kedengaran normal pada awalnya. Kemudian, kami bercakap mengenai adanya banyak undang-undang yang melindungi remaja daripada penderaan seksual atau gangguan seksual,“ kata Ain Husniza dalam video itu, menurut transkrip yang diperoleh agensi berita Reuters.
"Dan selepas itu, dia kata ‘nanti korang nak rogol, jangan rogol yang bawah 18, rogol yang atas 18'. Dia betul-betul kata macam tu. Pelajar perempuan semuanya diam tetapi pelajar lelaki ketawa seperti hal itu kelakar mengenai perbuatan merogol seseorang.”
Video itu ditonton secara meluas, dan, dalam masa semalaman, Ain Husniza menjadi nama yang dikenali ramai. Ramai gadis mula menghubunginya untuk bercakap mengenai insiden serupa, kata pelajar itu.
Ramai yang memberitahunya bahawa mereka takut dipinggirkan rakan sekolah sekiranya mereka mengadu, katanya. Ada yang telah melaporkan insiden berunsur seksis tetapi tidak ada tindakan yang diambil, kata Ain Husniza.
Selepas itu, Ain Husniza mula dipinggirkan oleh rakan-rakan sekolahnya setelah dia membuat laporan polis mengenai gurunya itu. Seorang pelajar pula mengugut untuk memperkosanya. Ain Husnina turut membuat laporan polis mengenai ugutan itu.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Harry Tan, menggambarkan apa yang berlaku kepada Ain Husniza hanyalah kejadian terpencil.
"Bagaimana ini jadi masalah besar? Mana datanya, berapa banyak sekolah yang kita katakan? "kata Tan semasa menjawab mengenai isu tersebut dalam rancangan bual bicara TV di Astro Awani pada Rabu.
Dan beberapa hari sebelum dilantik sebagai Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah - yang ketika itu merupakan timbalan ketua polis negara - berkata ancaman rogol terhadap Ain Husniza "mungkin gurauan rakan sekelasnya."
‘Perlu tindakan segera’
Menteri Pendidikan Radzi Jidin pada minggu lalu berkata bahawa kementerian itu tidak akan bertolak ansur dengan jenaka mengenai rogol dan perkara itu sedang ditangani dengan serius.
Tetapi Anwar, yang merupakan menteri pendidikan dari 1986 hingga 1991, berkata Radzi sepatutnya mengutuk perbuatan itu sejak awal lagi.
"Saya belum dengar mereka katakan bahawa tingkah laku seperti itu tidak boleh diterima. ... Saya belum dengar sebarang amaran keras dikeluarkan," kata Anwar.
"Apabila ada rasa takut untuk ke sekolah, tindakan segera perlulah diambil. Ia tidak boleh diabaikan, seolah-olah ia adalah masalah pelajar itu sendiri kerana tidak hadir hadir sekolah satu atau dua minggu. "
Anwar berkata beliau akan mula "membuat bising" jika dia tidak mendengar adanya tindakan diambil oleh kementerian atau polis pada minggu depan.
Beliau turut memuji Ain Husniza kerana tampil bersuara.
"Kita harus memuji keberanian Ain dalam meningkatkan kesedaran dan terus bersuara mengenai masalah ini. Pendidikan mesti mengajar moral dan nilai, ”katanya.
Semasa forum itu, yang disiarkan secara langsung di laman Facebook, ramai yang menulis komen yang mengkritik Ain Husniza kerana tampil bersama-sama dengan Anwar dan menuduhnya mempolitikkan isu tersebut. Pelajar itu menjawab bahawa seksisme merupakan masalah sejagat.
"Ini bukan soal politik, ini untuk kita semua seperti orang dewasa di luar sana, untuk bersama-sama membantu kami, anak-anak muda, kerana sekolah kini tidak lagi selamat," kata Ain Husniza.
"Sebagai orang dewasa, anda perlu mengambil tanggungjawab dan memastikan sekolah adalah lebih selamat bagi kami, itu sahaja."
Ain Husniza menerima sokongan ramai netizen, kumpulan memperjuangkan hak saksama, pertubuhan bukan kerajaan dan penggubal undang-undang.
"Kami, yang bertanda tangan di sini, merasa amat terganggu dan terkejut dengan komen dan ancaman mengerikan serta berbahaya yang dibuat oleh orang ramai terhadap Ain Husniza," menurut satu kenyataan yang ditandatangani oleh 50 NGO, 821 individu, 14 Ahli Parlimen dan dua parti politik pembangkang, yang dikongsi dalam talian pada 1 Mei.
Namun, bapa pelajar perempuan itu Saiful Nizam Ab Wahab berkata bahawa anak perempuannya mungkin terpaksa berpindah ke sekolah lain.
"Selepas apa yang telah berlaku, ada banyak perkara yang harus dipertimbangkan oleh Ain agar dia dapat terus belajar dalam persekitaran yang kondusif," kata Saiful Nizam kepada laman berita Malaysiakini pada Rabu.