Malaysia gesa Amerika Syarikat nilai semula penarafan Laporan Pemerdagangan Manusia

Menteri Dalam Negeri bentang laporan TIP di Parlimen pada hari sama kunjungan Pelosi ke ibunegara, yang menurut pembangkang tiada dalam aturan mesyuarat.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah
2022.08.02
Kuala Lumpur
Malaysia gesa Amerika Syarikat nilai semula penarafan Laporan Pemerdagangan Manusia Gambar edaran yang diambil dan dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia pada 2 Ogos 2022, menunjukkan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Nancy Pelosi melambai ketika meninggalkan Dewan Rakyat selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai Malaysia di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
[Foto AFP/Jabatan Penerangan Malaysia - Nazir Rapaai]

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Selasa telah meminta Amerika Syarikat untuk menilai semula penarafan Tahap 3 bagi Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia yang dikeluarkan negara itu bulan lalu, semasa menerima kunjung hormat, Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Nancy Pelosi pada Selasa.

Pemimpin Malaysia itu turut memberitahu Pelosi dan delegasinya bahawa Amerika Syarikat perlu memainkan peranan lebih penting untuk membantu menangani krisis di Myanmar dan menyelesaikan isu Rohingya.

“Saya telah meminta Amerika Syarikat supaya menilai semula penarafan Tier 3 kepada Malaysia dalam Laporan Pemerdagangan Manusia (TIP) yang dikeluarkan oleh negara itu,” kata Ismail dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman media sosial Facebooknya pada Selasa.

Beliau sebelum itu menerima kunjungan rasmi sulung Pelosi ke Kuala Lumpur, di mana Malaysia adalah negara kedua yang dilawat oleh Speaker Dewan Perwakilan AS yang dalam rangka lawatan ke beberapa negara Asia.

Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam TIP 2022 yang dikeluarkan lewat Julai lepas berkata Malaysia kekal pada Tahap 3 - iaitu tahap yang paling rendah - kerana Putrajaya tidak memenuhi piawaian minimum dalam menghapuskan aktiviti pemerdagangan manusia serta tidak melakukan usaha signifikan ke arah tersebut.

Perbentangan di Parlimen

Pada hari yang sama Pelosi berada di Kuala Lumpur, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin membentangkan laporan TIP di Parlimen, membuatkan kebanyakkan Ahli Parlimen terpingga setelah usul untuk membahasakan isu berkenaan yang difailkan pihak pembangkang telah ditolak berulang kali oleh Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dengan alasan kononnya mereka gagal menunjukkan perkara itu adalah kepentingan awam yang mendesak.

Pembentangan secara tiba-tiba mengenai isu berkenaan oleh Hamzah telah dipersoal oleh Ahli Parlimen pembangkang kerana tidak berada dalam aturan Dewan Rakyat dan akan dibentangkan pada Selasa.

Hamzah membuat penjelasan panjang lebar mengenai usaha Malaysia berhubung isu pemerdagangan manusia dalam laporan oleh Jabatan Negara Amerika itu dengan berkata laporan tersebut bukan berdasarkan maklumat diperolehi daripada Kerajaan Malaysia, sebaliknya membabitkan badan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan masyarakat madani (CSO).

Beliau turut menyifatkan penilaian oleh Washington mengenai pemerdagangan manusia yang meletakkan Malaysia pada Tahap 3, sebagai subjektif dan berpandukan perundangan AS bagi jenayah pemerdagangan orang iaitu Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan dan Keganasan 2000 (TVPA).

“TVPA itu ada kalanya terdapat perbezaan dengan undang-undang dan amalan diguna pakai di Malaysia dalam konteks tiga elemen penilaian, iaitu pendakwaan dan penguatkuasaan, perlindungan mangsa serta pencegahan yang berpandukan kepada pematuhan instrumen antarabangsa seperti Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Jenayah Terancang (UNTOC) dan Protokol PBB mengenai Pemerdagangan Orang (Protokol TIP),”

Dalam penerangan panjang lebarnya itu, Hamzah turut menyenaraikan pendekatan yang diambil Putrajaya dalam menangani masalah tersebut yang antara lain termasuk pindaan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) serta Seksyen 90B Akta Kerja 1955 (Akta 265) dalam menwujudkan kesalahan buruh paksa dan Seksyen 60K, (penggajian pekerja asing) yang telah diluluskan pada Mac lalu.

Katanya pindaan itu adalah bertujua menangani isu buruh paksa serta peningkatan sabitan dan penguatkuasaan ke atas pelaku jenayah pemerdagangan orang.

Pelosi gembira

Dalam pada itu, semasa bertemu Perdana Menteri, Pelosi, pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti Presiden AS dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan AS melahirkan rasa besar hati dengan sambutan yang diberikan Ismail Sabri terhadap beliau dan delegasinya.

“Kami terlibat dalam perbincangan mengenai memajukan matlamat bersama bagi mewujudkan Indo-Pasifik yang bebas dan selamat,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya di Washington.

Pertemuan dengan Ismail Sabri hadir selepas Pelosi mengadakan perjumpaan dengan Azhar, di mana perbincangan mereka merangkumi cabaran keselamatan, peluang ekonomi dan keutamaan tadbir urus.

Pelosi berkata dalam setiap pertemuan yang diadakan itu Amerika telah menyampaikan penghargaan kepada Malaysia atas undi yang diberikan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berhubung pencerobohan Rusia dan kepimpinannya di ASEAN untuk menolak Burma kerana kekerasan yang dilakukan.

Katanya perbincangan mengenai tadbir urus kami tertumpu pada integriti dalam kerajaan, menangani krisis iklim dan memerangi COVID.

Ismail Sabri juga memaklumkan semasa pertemuan dengan Pelosi, Malaysia dan Amerika yang telah menjalinkan hubungan dua hala sejak 60 tahun lalu dan menjadi rakan kongsi penting dalam semua bidang termasuk sebagai pelabur utama di Malaysia, mahu Washington memainkan peranan lebih penting membantu menangani krisis di Myanmar dan isu melibatkan etnik Rohingya.

Mengakhiri lawatannya ke Malaysia, Speaker Dewan Perwakilan AS itu terbang ke Taiwan dan mendarat di pulau berkenaan pada lewat Selasa di tengah-tengah ancaman ketenteraan yang memuncak dari China.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Taipei Songshan pada 10.45 malam waktu tempatan dan menjadikannya ahli politik berpangkat tinggi pertama dari AS yang melawat Taiwan untuk tempoh 25 tahun.

Washington tidak mempunyai hubungan rasmi dengan Taipei dan mengiktiraf Beijing secara diplomatik berbanding Taiwan sebagai sebahagian daripada “dasar Satu China”, dengan China pulak menganggap Taiwan sebagai sebahagaian ‘wilayah yang terpisah’.

Beijing bagaimanapun telah mengulangi amarannya yang kunjungan Pelosi ke pulau demokratik itu akan membawa kepada “perkembangan dan kesan yang amat serius.”

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.