Pemandu Pelancong Didakwa Kendali Harta Pengganas Abu Sayyaf
2016.06.14
Pulau Pinang

Seorang pemandu pelancong telah didakwa di Mahkamah Majistret Balik Pulau, Pulau Pinang, atas kesalahan mengurus dana keganasan bagi pihak anggota kumpulan Abu Sayyaf di selatan Filipina selama enam bulan.
Tertuduh, Lisoffuan Abdullah, 37, didakwa mengendalikan harta pengganas Muhammad Joraimee Awang Raimee, 41, seorang rakyat Malaysia yang juga anggota kumpulan Abu Sayyaf yang bersembunyi di selatan Filipina.
Menurut kertas pertuduhan, Lisoffuan didakwa memberikan perkhidmatan kewangan iaitu membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang dari akaun bank tempatan di Bayan Lepas yang memanfaatkan aktiviti keganasan Muhammad Joraimee antara Oktober dan April tahun ini.
Muhammad Joraimee, yang merupakan bekas pekerja majlis perbandaran tempatan di Pulau Pinang, bersembunyi di selatan Filipina dan menyertai kumpulan militan Abu Sayyaf. Nama beliau bersama empat lagi individu berada dalam senarai dikehendaki Polis DiRaja Malaysia [PDRM] sejak April 2014.
Menurut laporan, Muhammad Joraimee memainkan peranan utama di dalam membentuk militan IS secara "rasmi" di Asia Tenggara, dengan membawa semua anggota di Malaysia, Indonesia dan Filipina berada di bawah satu kawalan.
Dalam pada itu, Lisoffuan yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 130Q (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau dilucutkan hak mana-mana hartanah berkaitan.
Majistret Nur Azzuin Abd Moati menetapkan 14 Julai ini untuk sebutan semula kes dan tidak membenarkan ikat jamin. Pendakwaan kes dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Syafiq Mahadi, manakala tiada sebarang pengakuan direkodkan.
Kementerian Dalam Negeri, memetik sumber perisikan, mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba untuk menyertai IS di Iraq atau Syria. Sekurang-kurangnya 19 rakyat Malaysia terbunuh semasa berlawan untuk IS di Timur Tengah, menurut Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay.
Sejak tahun 2013, Polis Malaysia telah menahan 193 suspek keganasan IS dengan 59 (termasuk hari ini) daripada mereka didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.