Malaysia Mahu Perketatkan Undang-undang Terhadap Pemburu Hidupan Liar di Sabah

Colin Forsythe
2017.10.06
Kota Kinabalu, Sabah
171006-my-wildlife620.jpg Pihak berkuasa hidupan liar Malaysia sedang mempertimbangkan undang-undang yang lebih ketat selepas penduduk kampung menemui rangka kira-kira 100 ekor penyu hijau di pulau-pulau kecil berhampiran Pulau Bum Bum di Sabah.
[Ihsan Jabatan Hidupan Liar Sabah]

Pegawai-pegawai di negeri Sabah pada Jumaat berikrar untuk memperketatkan lagi undang-undang hidupan liar bagi  memerangi pemburu haram bersenjata selepas gambar-gambar memaparkan rangka dan bangkai penyu hijau serta dua ekor gajah Pygmy Borneo dimuat naik dalam talian dan menarik perhatian aktivis pemuliharaan.

Sabah,  satu daripada dua negeri di Malaysia Timur dalam kepulauan  Borneo, terletak bersempadan dengan negeri Sarawak dan Kalimantan di Indonesia. Ia juga mempunyai banyak hidupan liar endemik seperti orang utan dan badak sumbu.

Penduduk-penduduk kampung pada bulan lalu berkata, mereka telah menemui rangka dan bangkai kira-kira 100 ekor penyu hijau yang terdampar di pantai-pantai berhampiran Pulau Bum-Bum dekat Semporna, sebuah bandar kecil di bahagian paling timur negeri itu. Penduduk juga menemui bangkai dua ekor gajah Borneo Pygmy dewasa di dua lokasi berbeza.

Masidi Manjun, Menteri Alam Sekitar dan Pelancongan Sabah, berkata, jabatannya sedang menimbangkan pindaan kepada Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997, satu undang-undang negeri yang bertujuan melindungi spesies terancam di Sabah dengan mengenakan hukuman berat terhadap pemburu haram.

Pindaan itu akan memperketatkan lagi undang-undang hidupan liar  dengan mengubah cara ia dibentangkan di mahkamah dan mengemukakan bahan bukti terhadap tertuduh.

"Dengan pindaan itu, tertuduh perlu membuktikan bahawa dia tidak membunuhnya (hidupan liar yang diancam kepupusan) kerana pada masa ini, pendakwa perlu mengemukakan bahan bukti untuk membuktikan seseorang itu bersalah dan ini bukanlah mudah," katanya kepada pemberita.

Jabatan Perhutanan Sabah berkata, pemburuan haram di negeri itu "telah mencapai tahap pandemik" dan pemburu haram bersenjata yang ditemui di pusat-pusat pemeriksaan sering memakai topeng "dan sanggup serta mampu mencederakan" para pengawal perhutanan.

"Walaupun kakitangan Jabatan Perhutanan bersenjata, ia adalah semata-mata untuk perlindungan diri dan mereka keberatan untuk menggunakan senjata api berlesen mereka terhadap pemburu haram," kata jabatan itu dalam kenyataan yang disiarkan di halaman depan laman webnya. "Selain itu, ia adalah untuk mengelakkan pertempuran dengan pemburu haram yang boleh mengakibatkan kesan buruk."

"Keseriusan ancaman ini memerlukan usaha bersepadu semua pihak, yang bermula dengan pendakwaan terhadap pelaku yang dikenali itu," kata kenyataan itu.

Pihak berkuasa telah menangkap dan menahan sekurang-kurangnya tiga orang kerana disyaki terlibat dalam penyembelihan pelbagai penyu yang dilindungi. Pegawai-pegawai berkata, pemburu haram sering mengeluarkan daging, telur dan isi lembut di bawah cengkerang penyu sebelum meninggalkan tulang dan cengkerangnya.

Dua lelaki Indonesia juga ditahan untuk membantu pihak berkuasa berhubung pembunuhan dua ekor gajah tersebut, kata pegawai.

Terancam dan dilindungi

Penyu hijau dan gajah Pygmy adalah terancam dan dilindungi, menurut WWF Malaysia, sebuah organisasi pemuliharaan alam sekitar.

Gajah Pygmy adalah setinggi kira-kira 2.5 meter (8.2 kaki)  dengan mempunyai gading yang lebih pendek. Ia kebanyakannya dijumpai di bahagian timur laut Sabah.

Seorang pemulihara hidupan liar memberitahu BeritaBenar bahawa dalam tempoh tiga tahun yang lalu, sebanyak 41 ekor gajah Pygmy Borneo mati di Sabah.

"Daripada jumlah ini, hanya sembilan yang mati akibat punca semula jadi," kata sumber itu. "Yang lain telah dibunuh secara haram - sama ada ditembak atau diracun."

Populasi gajah Pygmy merosot kepada kira-kira 1,300 hingga 1,500 ekor yang berkurangan daripada lebih 2,000 ekor pada lima tahun lalu, menurut Nurzafarina Othman, seorang pegawai pemuliharaan di sebuah fasiliti penyelidikan dan latihan, Pusat Danau Girang.

"Menyusutnya kawasan perlindungan hutan dan pencerobohan besar-besaran dalam koridor gajah adalah faktor utama di sebalik masalah ini," katanya kepada BeritaBenar.

Selain itu, harga gading yang semakin meningkat mungkin menjadi penyebab masalah itu, katanya.

"Harga gading di pasaran gelap telah melonjak daripada $300 kepada $1,500 sekilogram dalam tempoh lima tahun," kata seorang pakar harga semasa, yang enggan memberitahu namanya, kepada BeritaBenar.

Sabah, yang mempunyai lebih daripada 3.5 juta penduduk, mempunyai kawasan tanah seluas 72,500 km persegi (28,000 batu persegi). Dibelenggui dengan isu hidupan liar dan perlindungan alam sekitar, ahli-ahli dewan undangan negeri itu telah menyokong sebulat suara untuk membenarkan beberapa pindaan dibuat terhadap undang-undang hidupan liar 1997.

Pindaan baru itu, yang berkuat kuasa pada Julai 2016, mengenakan denda dua kali ganda daripada RM50,000 kepada RM100,000 (US$12,000 hingga $24,000) dan penjara mandatori enam bulan hingga lima tahun bagi kesalahan pemburuan haram.

Spesies paling banyak

Penyu hijau yang terancam (dikenali sebagai Penyu Agar dalam kalangan penduduk tempatan) adalah spesies yang paling banyak di Malaysia. Penyu itu berwarna sama ada kuning hitam atau coklat kehijauan, tetapi dikenali dengan nama sedemikian berikutan warna kehijauan pada tulang rawan dan lemaknya.

Pada Ogos tahun ini, empat nelayan Filipina dihukum penjara dua bulan dan denda AS$23,500 (RM100,000) setiap seorang.

Pada bulan sama juga, pegawai Kastam Malaysia di Sabah merampas dua kontena yang mengandungi gading gajah dan sisik tenggiling yang dalam penghantaran ke China. Para pegawai menemui 1,148 gading gajah serta lima tan sisik tenggiling yang disembunyikan di dalam karung kacang tanah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.