Komander Abu Sayaf Maut Dalam Pertempuran Di Filipina

Staf BeritaBenar
2017.04.29
Cotabato, Filipina
170429_PH_ASG_1000.jpg Anggota Tentera Filipina menembak meriam ke arah kubu militan Abu Sayyaf di Jolo, wilayah Sulu, 30 Ogos, 2016.
AFP

Tentera Filipina pada Sabtu berkata ia telah membunuh komander kejam Abu Sayyaf  yang dikehendaki bagi beberapa penculikan yang menyasarkan rakyat Malaysia dan Indonesia serta serangan bom yang menyebabkan seorang askar AS mati pada 2002.
Alhabsy Misaya dibunuh pada Jumaat oleh pasukan tentera yang mencarinya dalam hutan tebal Jolo, di hujung selatan Filipina, namun butiran kejadian tidak boleh dikeluarkan kerana tindakan serangan masih diteruskan, kata tentera.

Seorang ahli Pasukan Petugas Bersama Tentera di Jolo mengesahkan kematiannya, dan berkata, serangan itu adalah sebahagian daripada peningkatan operasi pasukan Tentera untuk menghancurkan kumpulan Abu Sayyaf menjelang 30 Jun.

Ketua Tentera Filipina Jeneral Eduardo Año dalam satu kenyataan ringkas berkata, Misaya telah dibunuh dalam satu operasi di bandar Indanan, Jolo, tetapi beliau tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana tidak mahu menjejaskan operasi yang sedang dijalankan.

"Pasukan yang ditugaskan dari unit Marin Filipina telah membunuh komander ekstremis Abu Sayyaf, yang dianggap sebagai seorang daripada penculik yang kejam di selatan Filipina," katanya.

Tebusan

Kumpulan Misaya dipercayai menahan sebahagian daripada 27 tebusan Abu Sayyaf, termasuk 12 rakyat Vietnam, tujuh warganegara Indonesia dan seorang rakyat Belanda pada 2012.

Pada Mac 2016, kumpulan Misaya menahan 10 anak kapal Indonesia dari kapal tunda Brahma 12 manakala lima rakyat Malaysia pula ditahan pada Julai tahun lepas.

Semua anak kapal Indonesia itu dibebaskan selepas wang tebusan dilaporkan dibayar, manakala orang tebusan Malaysia dibebaskan selepas pertempuran berlaku pada tahun sama.

Misaya terkenal sebagai pembuat bom Abu Sayyaf, dan tentera telah menamakannya sebagai suspek utama dalam serangan 2002 yang mengorbankan anggota tentera AS, Sarjan Mark Jackson, dan mencederakan rakan sepasukan beliau serta 23 warga Filipina.

Pasukan Petugas Bersama berkata, pertempuran terbaru itu adalah sebahagian daripada operasi untuk memusnahkan Abu Sayyaf, yang telah menggunakan satu kumpulan militan untuk meninjau mangsa baru di pulau tengah Bohol bulan ini.

Gabungan anggota tentera dan polis bagaimanapun telah diberikan maklumat, yang mencetuskan siri pertempuran hingga membunuh sembilan militan Abu Sayyaf, termasuk Abu Rami, seorang lagi militan Abu Sayyaf yang mengetuai kumpulan yang menculik dan memancung rakyat asing.

Pihak tentera berkata, Abu Sayyaf atau Pembawa Pedang, pernah bergabung dengan al-Qaeda tetapi telah mengisytiharkan kesetiaannya kepada Negara Islam.

Dilihat sebagai satu daripada kumpulan militan paling ganas di Asia Tenggara sejak lebih dua dekad, Abu Sayyaf telah dipersalahkan bagi pengeboman sebuah feri penumpang di Manila Bay di mana lebih 100 terbunuh pada 2004, insiden yang dianggap sebagai serangan pengganas paling buruk di negara ini.

Pada Februari lalu, kumpulan militan itu memancung Jürgen Kantner, 70, seorang pelayar Jerman yang ditahan mereka pada Disember. Tahun lepas, mereka juga memancung dua tebusan Kanada yang dilarikan dari sebuah resort pantai yang juga terletak di selatan.

Di Manila, jurucakap Presiden Ernesto Abella mengesahkan laporan itu, dan berkata kematian Misaya itu merupakan satu "tamparan hebat" kepada Abu Sayyaf.

Tetapi, walaupun pemimpin Abu Sayyaf itu telah dibunuh, beliau menyeru orang ramai supaya berjaga-jaga dan bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara dalam menangani ancaman yang ditimbulkan oleh kumpulan militan itu.

"Kami menyeru semua rakyat supaya sentiasa berhati-hati, berwaspada dan berjaga-jaga serta memberi kerjasama kepada pasukan keselamatan untuk menamatkan ancaman kumpulan penjahat ini yang kerajaan anggap sebagai  bertanggungjawab melakukan jenayah kejam dan tidak masuk akal," kata Abella dalam satu kenyataan.

"Marilah kita saling bekerjasama demi mempunyai masyarakat yang lebih selamat dan lebih terjamin. Ini adalah tanggungjawab kita bersama, "katanya.


Mark Navales di Mindanao dan Felipe Villamor di Manila turut menyumbang kepada laporan ini


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.