Militan Malaysia Masih Hidup di Marawi: Tentera Filipina

Jeoffrey Maitem
2017.10.12
Marawi, Filipina
171012-PH-marawi-620.jpg Sukarelawan kemanusiaan dan pekerja kesihatan menurunkan jenazah individu, yang tidak dituntut selepas terbunuh dalam pertempuran di Marawi, ke dalam liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Maqbarah di bandar selatan Filipina, 5 Okt, 2017.
[Richel V. Umel/BeritaBenar]

Seorang rakyat Malaysia, yang merupakan antara perancang utama tindakan pengepungan maut oleh anggota militan yang mendapat inspirasi daripada IS di selatan bandar Marawi, dipercayai masih hidup dan sedang berjuang bersama-sama pasukan musuh yang semakin mengecil, kata tentera Filipina hari Khamis.

Dr Mahmud Ahmad,  profesor universiti beralih menjadi militant dari Malaysia, dapat meloloskan diri daripada tentera kerajaan dan bersembunyi dengan rakyat Filipina, Isnilon Hapilon dan Omarkhayyam Maute, kata ketua tentera wilayah Lt. Jen. Carlito Galvez.

Hapilon diakui sebagai pemimpin Abu Sayyaf dan sayap kumpulan ekstremis Negara Islam di Filipina, manakala Maute adalah yang terakhir daripada beberapa beradik lelaki yang didakwa mengetuai rancangan untuk melakukan pengepungan itu.

"Dr. Mahmud masih hidup bersama-sama dengan Hapilon dan Omar. Tetapi pasukan kami bertekad untuk menangkap mereka ketuka kami memperkuatkan lagi usaha terakhir kami, "kata Galvez sambil memberitahu bahawa usaha menangkap Mahmud adalah "satu keutamaan."

Mahmud adalah "lelaki berduit" yang membiayai serangan Marawi, dan dia dilatih di kem al-Qaeda di Afghanistan pada 1990-an ketika belajar di Islamabad Islamic University, kata tentera Filipina itu. Dia merupakan bekas pensyarah pengajian Islam di Universiti Malaya di Kuala Lumpur, satu daripada universiti terkemuka di Malaysia.

Selain Mahmud, enam hingga lapan militan asing masih berada di barisan hadapan, kata Galvez.

Awal minggu ini, pihak tentera melaporkan bahawa orang kanan Mahmud iaitu Muhammad Joraimee Awang Raimee telah terbunuh bersama-sama dengan 15 militan dalam pengeboman udara di Marawi.

Kol. Romeo Brawner Jr., Timbalan Komandan Kumpulan Pasukan Khas Bersama Ranao memberitahu BeritaBenar bahawa pasukan kerajaan sedang menghampiri lokasi musuh dan cuba menyelamatkan 40 orang awam yang dijadikan tebusan oleh lelaki-lelaki bersenjata itu.

Brawner berkata, jumlah kematian di pihak kerajaan telah mencapai 160 orang manakala 811 pejuang musuh terbunuh dalam pertempuran yang berlangsung selama hampir lima bulan.

"Antara mayat yang dijumpai ialah suspek pengganas asing," kata Brawner.

Beliau berkata, pasukan kerajaan telah menemui terowong bawah tanah dan laluan untuk melarikan diri yang digali oleh mereka yang bersenjata, dan pihak tentera pula telah membersihkannya daripada periuk api.


Richel V. Umel di Iligan City, Filipina turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.