Autonomi Boleh Usir Pejuang Asing Dari Kawasan Berlindung Di Selatan Filipina: Ketua MILF

Jeoffrey Maitem
2018.07.25
Cotabato, Filipina
180725-PH-muslim-620.jpg Murad Ebrahim, ketua Barisan Pembebasan Islam Moro berucap pada satu majlis bersama-sama anggota Persatuan Wartawan Asing Filipina di Manila, 24 Julai 2018.
[Felipe Villamor/BeritaBenar]

Perjanjian damai muktamad, yang dijangka ditandatangani sebagai satu undang-undang oleh Presiden Filipina Rodrigo Duterte tidak lama lagi, dapat membantu menghentikan penyusupan masuk militan asing ke kawasan selatan yang bergolak, kata pemimpin kumpulan pemberontak Muslim terbesar di negara itu.

Murad Ebrahim, pengerusi Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), menyatakan keyakinannya bahawa pejuang asing, termasuk rakyat Malaysia dan Indonesia, mungkin terpaksa keluar dari tempat-tempat mereka berlindung apabila Undang-undang Organik Bangsamoro (BOL) berkuat kuasa. Ia bertujuan untuk mengakhiri konflik yang berdekad-dekad lamanya di selatan Filipina melalui pemberian autonomi kepada wilayah yang mempunyai ramai penduduk Islam.

"Kami mengesahkan bahawa adanya elemen asing yang menyertai kumpulan-kumpulan kecil ini," kata Murad kepada Persatuan Wartawan Asing Filipina (FOCAP) minggu ini.

"Apabila kumpulan-kumpulan kecil ini tidak boleh menerima unsur-unsur asing ini, mereka pasti tidak lagi boleh bertempur," katanya. Murad merujuk kepada kumpulan ekstremis Kumpulan Abu Sayyaf  (ASG) dan Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF).

Pada Selasa, Dewan Rakyat mengesahkan BOL selepas Dewan Senat meluluskan rang undang-undang tersebut sehari sebelum itu. Duterte dijangka menandatangani rang undang-undang berkenaan dalam masa beberapa hari lagi, kata para pegawai.

Puak-puak dalam dua kumpulan militan selatan Filipina itu telah menyatakan ikrar taat setia kepada kumpulan ekstremis Negara Islam (IS) dan terlibat dalam pertempuran dengan pihak tentera sejak beberapa minggu lalu.

Tahun lepas, komander Abu Sayyaf Isnilon Hapilon, yang juga ketua IS di Filipina, telah mengetuai tindakan menawan bandar Marawi, Mindanao selama lima bulan.

Pasukan keselamatan Filipina dapat menewaskan militan berkenaan selepas melakukan serangan udara. Mahmud Ahmad, seorang rakyat Malaysia yang dianggap sebagai perekrut kanan IS di Asia Tenggara, adalah antara pejuang asing yang terbunuh dalam pertempuran di Marawi, kata Duterte dalam satu pengumuman pada Oktober lalu. Isnilon dan anggota militan tempatan yang lain juga terbunuh dalam pertempuran itu.

Murad berkata, kegagalan  kerajaan masa lalu untuk menandatangani perjanjian damai berkekalan di selatan telah membantu mewujudkan beberapa kumpulan serpihahan yang kecewa termasuk puak yang diketuai oleh adik beradik Maute dari Marawi, yang turut membantu mengetuai tindakan menawan bandar itu tahun lepas.

"Anda akan dapati bahawa sebahagian besar kumpulan-kumpulan kecil ini, yang merupakan kumpulan-kumpulan serpihan, diwujudkan selepas kegagalan proses damai," kata Murad.

Beliau berkata, anggota-anggota kumpulan Maute itu sebelum ini menganggotai MILF tetapi mereka menjadi lebih radikal ekoran kegagalan kerajaan untuk mempercepatkan pelaksanaan undang-undang autonomi.

"Mereka dapat memanfaatkan (kegagalan ini) untuk merekrut lebih ramai pengikut mereka," kata Murad.

Pada 2014, kerajaan Presiden Benigno Aquino III melancarkan perjanjian damai dengan MILF, di mana ia bersetuju untuk meluluskan Undang-Undang Asas Bangsamoro (BBL) yang menetapkan sempadan bagi pemerintahan autonomi Islam di selatan.

Sebagai pertukarannya, MILF bersetuju untuk melakukan gencatan senjata demi mendapatkan kemerdekaan.

Tetapi, semasa dua tahun terakhir pemerintahan Aquino, BBL tidak pernah dibentangkan dalam Kongres Filipina yang didominasi oleh pemimpin Kristian.

Serangan ' langgar lari '

BIFF, puak serpihan MILF, telah berikrar taat setia kepada IS tetapi tidak menghantar pejuangnya bertempur di Marawi.

Sebaliknya, ia terlibat dalam serangan ‘langgar lari’ dengan pihak tentera di Mindanao tengah. Perisikan tentera menyatakan bahawa beberapa pejuang asing juga mendapatkan perlindungan di kawasan yang dikuasai BIFF.

Murad mengesahkan bahawa pejuang-pejuang Malaysia dan Indonesia kelihatan berada di beberapa kawasan di selatan dengan dilindungi oleh kumpulan militan seperti BIFF. Kumpulan itu telah melancarkan serangan terhadap tentera di beberapa kawasan komuniti berhampiran paya di Mindanao.

Murad enggan memberikan anggaran bilangan pejuang asing yang ada di kawasan itu.

Dalam pada itu, Kumpulan Abu Sayyaf dipercayai mempunyai kurang daripada 500 pejuang, dan kebanyakannya terlibat dalam kegiatan jenayah termasuk pengeboman, penculikan dan pemenggalan kepala di kawasan selatan. Dalam dua tahun yang lalu, kumpulan itu telah memancung seorang tebusan Jerman dan dua orang rakyat Kanada.

Murad berkata, kumpulan-kumpulan serpihan itu adalah "hasil kekecawaan terhadap proses damai" pada masa lalu.

"Oleh itu, kami yakin bahawa jika adanya penyelesaian politik yang boleh diterima oleh majoriti rakyat Bangsamoro, kumpulan-kumpulan serpihan ini dapat dibawa masuk ke dalam arus perdana secara beransur-ansur," katanya.

"Sangat sukar bagi mereka untuk terus wujud tanpa sokongan sesetengah penduduk di kawasan itu," kata Murad.

Para penggubal undang-undang mengambil masa  empat tahun untuk meluluskan undang-undang itu, sebahagian besarnya kerana ahli-ahli politik di Filipina, yang kebanyakannya beragama Katolik, bimbang dengan kwujudan wilayah autonomi Islam di bawah pimpinan bekas kumpulan pemberontak.

Tetapi, dengan Duterte yang mengawal majoriti kedua-dua dewan dalam Kongres, rang undang-undang BOL dapat diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Senat selepas perbincangan yang amat sengit.

Perjanjian autonomi itu dijangka dapat menyelesaikan konflik berdekad-dekad lamanya yang telah menyebabkan lebih daripada 120,000 orang terbunuh di beberapa kawasan di wilayah termiskin negara itu.

Felipe Villamor di Manila menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.