Penganalisis Malaysia: Kongres PKR Dedah Pertelingkahan Pemimpin

Lex Radz & Ali Nufael
2019.12.09
Melaka & Kuala Lumpur
191209-MY-pkr-620.jpg Presiden PKR, Anwar Ibrahim (tengah), dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail (di kanan beliau) menyertai para pemimpin parti menyanyi semasa majlis penutupan kongres tahunan parti itu di negeri Melaka, Malaysia, 7 Disember 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pertelingkahan secara terbuka dua pemimpin utama Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung kuasa dan pengaruh boleh melemahkan cengkaman parti itu terhadap gabungan parti pemerintah Malaysia, kata pemerhati politik.

Perbalahan antara presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalan ketuanya, Azmin Ali didedahkan dengan jelas pada kongres tahunan parti itu yang menutup tirainya pada Ahad, walaupun mereka kelihatan sudah berdamai pada malam menjelang perhimpunan itu.

Ketika Azmin dan para penyokongnya meninggalkan kongres itu secara beramai-ramai selepas selesai makan tengah hari pada Sabtu, Anwar dan para penyokongnya menggesa supaya ketua parti itu menggantikan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada tahun depan.

Mahathir dan Anwar bersetuju dengan rancangan penggantian bagi jawatan itu apabila Pakatan Harapan yang diterajui PKR mengambil alih tampuk pemeritahan negara susulan kemenangan besar dalam pilihan raya umum pada Mei 2018. Parti itu, yang diasaskan oleh Anwar, 72, mempunyai sekurang-kurangnya 50 daripada 129 kerusi Parlimen yang dimenangi parti pemerintah.

"Jelas sekali bahawa persaingan ini bukanlah tentang idea atau prinsip sebaliknya ia berkaitan dengan kuasa dan pengaruh, bukan sahaja dalam parti malah di peringkat nasional berhubung dengan siapa yang bakal menjadi perdana menteri," kata profesor Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi kepada BeritaBenar. "Orang buta pun boleh nampak mereka bertelingkah."

"Terdapat dua pilihan - sama ada Azmin meninggalkan parti atau akur dengan keadaan. Tidak perlu memanjangkan pertelingkahan ini kerana ada banyak lagi isu yang perlu ditangani," katanya.

Profesor Universiti Utara Malaysia Ahmad Murtadha Mohamed pula berkata perselisihan sesama pemimpin parti itu tidak membantu gabungan parti-parti Pakatan Harapan, yang ahli-ahlinya tidak mahu turut campur tangan.

"Azmin jelas menolak Anwar kerana mahukan Mahathir mentadbir sehingga habis penggalnya," kata beliau kepada BeritaBenar. "Kerana perkara inilah, Anwar dan Azmin bertelingkah.

"Ia berbeza dengan ahli Amanah [Parti Amanaha Negara] dan DAP [Parti Tindakan Demokratik] yang bersetuju supaya dilakukan peralihan kepimpinan," katanya.

Ahmad Murtadha berkata kurangnya usaha untuk berdamai akan membuka ruang kepada pengukuhan DAP, parti yang sebahagian besarnya dianggotai oleh  etnik minoriti Cina.

"DAP adalah parti kedua terbesar selepas PKR. Nampaknya, parti itu yang akan mempunyai kelebihan," katanya sambil memberitahu bahawa parti itu tidak boleh menamakan pengganti Mahathir berikutan statusnya sebagai parti minoriti.

Pada Sabtu, selepas Azmin dan penyokongnya meninggalkan kongres parti, Anwar menyampaikan ucapannya dengan merujuk kepada pengkhianat yang tidak dinamakan. Ini menyebabkan lebih ramai ahli  parti meninggalkan dewan kongres itu.

Kira-kira 100 perwakilan dan berpuluh-puluh pemerhati lain dari kem Azmin mula  beredar keluar sambil melaungkan "Balik! Balik!"  sebelum merungut bahawa ucapan itu banyak menyindir dan menyerang Azmin, yang kemudiannya menuduh Anwar melanggar perjanjian mereka supaya mengelak daripada membuat ulasan negatif.

Anwar berkata beliau tidak dapat berbuat apa-apa sekiranya timbalannya itu tersinggung dengan ucapannya.

"Jika dia terasa, itu bukan masalah saya. Itu fakta sejarah, " katanya kepada pemberita.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali, berucap pada majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Kuala Lumpur, 8 Dis, 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pada malam Ahad, Azmin menganjurkan apa yang beliau nyatakan sebagai majlis makan malam Wawasan Kemakmuran Bersama di Hotel Renaissance, tempat di mana lahirnya PKR pada 1999, yang sebelum ini dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional.

Beratus-ratus orang berkumpul untuk melihat Azmin dan para penyokong utamanya menghentam puak Anwar.

"Pada 4 April 1999, saya hadir di dewan ini sebagai seorang daripada mereka yang diminta untuk menubuhkan Parti Keadilan Nasional pada masa itu," kata Azmin, 55, kepada hadirin. "Namun, selepas 20 tahun berjuang, saya dipanggil pengkhianat…dan mereka yang memanggil saya pengkhianat tidak ada pun  di dalam dewan ini pada masa itu."

Mahathir berkata perselisihan dalaman PKR tidak akan menjejaskan keupayaan Pakatan Harapan untuk mentadbir Malaysia.

"Memanglah perselisihan faham berlaku dalam mana-mana kepimpinan, tetapi saya yakin ia tidak akan menjejaskan [Pakatan Harapan] sebagai kerajaan," katanya kepada agensi berita Bernama pada Isnin.

"Parti lawan pun mempunyai banyak masalah tetapi sebab mereka bukan kerajaan, rakyat tidak begitu pedulilah. Tetapi apabila kita menjadi kerajaan, kadang-kadang ada selisih faham sedikit, itu perkara biasa."

Selain itu, katanya, beliau tidak mahu campur tangan dalam pertelingkahan Azmin dan Anwar.

"Itu  masalah dalaman PKR," katanya.

Perhimpunan parti lain

Parti gabungan PH,  Amanah, yang mengadakan pemilihan parti pada hujung minggu di Shah Alam, mengekalkan barisan kepimpinannya. Mohamad Sabu mengekalkan jawatannya sebagai presiden parti walaupun berada di tangga ketujuh dalam kalangan 27 anggota jawatankuasa kepimpinan nasionalnya.

Sementara itu, parti utama pembangkang, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, yang turut mengadakan perhimpunan agung tahunannya pada hujung minggu lalu, membuktikan hubungan eratnya dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) apabila ia bertindak meminda perlembagaannya untuk menegakkan syiar Islam sebagai sebahagian daripada matlamat parti.

Perlembagaan parti itu sebelum ini menggariskan "UMNO adalah sebuah parti politik yang berjuang mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat bangsa, agama dan negara," tetapi telah dipinda dengan "... demi mengekalkan maruah dan martabat Islam, bangsa, dan negara. "

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.