PM Dikritik Lantik Timbalan Menteri Pelancongan Semasa Negara Bergelut Dengan COVID-19

Pelantikan Guan Dee Koh Hoi, seorang pemimpin Sabah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, kata Pejabat Perdana Menteri.
Noah Lee
2021.04.16
Kuala Lumpur
PM Dikritik Lantik Timbalan Menteri Pelancongan Semasa Negara Bergelut Dengan COVID-19 Majlis angkat sumpah menteri kabinet di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Melawati di Putrajaya, 10 Mac 2020.
[AFP/Jabatan Penerangan Malaysia]

Gabungan parti pemerintah Malaysia pada Jumaat mengumumkan pelantikan seorang lagi timbalan menteri persekutuan menjadikan 38 kesemuanya, dengan tindakan itu mendapat kritikan daripada pemimpin pembangkang serta di media sosial, yang dilihat sebagai cubaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan tidak dipilih secara sah oleh rakyat.

Para pengkritik juga mempersoalkan mengenai keperluan kerajaan melantik seorang timbalan menteri pelancongan semasa negara masih bergelut dengan COVID-19, terutamanya selepas Muhyiddin mengumumkan yang kerajaan kini sudah kekurangan dana disebabkan pengeluaran wang yang banyak bagi menghadapi pandemik baru-baru ini.

Dalam satu kenyataan media, Pejabat Perdana Menteri menamakan Guan Dee Koh Hoi sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang baharu dan istiadat pelantikan serta angkat sumpah jawatan telah dilaksanakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, pada Jumaat.

"Adalah dimaklumkan bahawa selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Guan Dee Bin Koh Hoi sebagai Timbalan Menteri Persekutuan.

"Guan Dee Koh Hoi dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya bagi menggantikan Jeffrey G. Kitingan yang telah meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah pada 29 September 2020," kata kenyataan Pejabat Perdana Menteri yang dikeluarkan di Putrajaya itu.

Guan Dee adalah Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) dan telah dilantik sebagai seorang senator pada Disember tahun lalu.

Untuk rekod, STAR adalah sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), satu gabungan parti politik diketuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Muhyiddin yang memenangi Pilihan Raya Negeri Sabah pada September 2020. Kitingan adalah presiden Parti STAR.

Menurut laporan agensi berita nasional Bernama, Guan Dee menyatakan rasa terima kasih beliau kepada Muhyiddin kerana memberikan peluang kepada STAR menyertai kerajaan persekutuan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti STAR untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan,” beliau dilaporkan berkata selepas istiadat angkat sumpah.

Walaubagaimanapun, pelantikan Guan Dee menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang mempersoalkan rasional kerajaan PN selepas Muhyiddin menyatakan bahawa kerajaan sedang mengalami kekurangan kewangan.

Perdana Menteri itu dilaporkan berkata dalam ucapan beliau semasa satu majlis pada 12 April bahawa kerajaan sudah tidak mempunyai banyak dana kerana sudah membelanjakan sebanyak RM600 bilion dalam Belanjawan 2021 dan juga beberapa pakej rangsangan ekonomi bagi membantu rakyat yang terkesan oleh pandemik.

"Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik," kata beliau seperti dilaporkan portal Malaysiakini.

Sehari selepas itu, Muhyiddin dilaporkan oleh Bernama berkata bahawa satu inisatif perlu dirangka bagi menggalakkan kakitangan awam berwakaf melalui potongan gaji, dengan tujuan meningkatkan tabungan dana dan aset wakaf negara.

Kritikan pemimpin pembangkang

Bekas Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pelantikan Guan Dee itu hanyalah untuk kelangsungan politik kerajaan Perikatan Nasional, dan tidak memikirkan nasib rakyat.

Dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau mempertikaikan bagaimana pelantikan seorang timbalan menteri semasa pandemik dapat membantu rakyat yang sedang menghadapi kesukaran ekonomi.

"Kerajaan ada wang untuk lantik seorang lagi timbalan menteri. Untuk hal-hal politik, memang banyak cara dan daya. Nak buat mesyuarat di negeri lain, boleh. Nak buat jelajah politik, boleh. Nak tutup Parlimen pun boleh.

"Kali ini, kerajaan hendak melantik seorang lagi timbalan menteri untuk Kementerian Pelancongan. Bukan sahaja sekarang rakyat tidak dibenarkan melancong, tapi saya hairan bagaimana kerajaan boleh melihat perlantikan seorang timbalan menteri pelancongan ini akan membantu rakyat mengisi perut yang kosong," kata Syed Saddiq.

Salahuddin Ayub, timbalan presiden Parti Amanah Negara turut menyuarakan perkara yang sama, dan mempertikaikan keperluan melantik seorang lagi anggota ke dalam pentadbiran kerajaan.

"Kerajaan tidak ada duit tapi masih nak timbalan Menteri? Ini merupakan saiz kabinet paling besar dalam sejarah. Jadi, apa niat buat darurat ini?," kata beliau dalam satu hantaran di Facebook.

Salahuddin merujuk kepada bilangan menteri dan timbalan menteri persekutuan yang besar dalam kerajaan Muhyiddin. Berdasarkan paparan di laman web kerajaan persekutuan, kabinet Muhyiddin mempunyai seramai 32 menteri penuh, manakala dengan pelantikan Guan Dee pula kerajaan kini mempunyai seramai 38 timbalan menteri.

Sementara itu, seorang penganalisis politik memberitahu BenarNews bahawa lantikan timbalan Menteri Pelancongan yang baru dari parti STAR ternyata dilihat sebagai langkah untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional.

"Hal ini kerana apabila Jeffrey Kitingan meletak jawatan untuk menjadi timbalan ketua menteri sabah. Bermakna ini ialah daripada kuota parti STAR untuk mengelakkan parti STAR tidak berpuas hati dan elak STAR keluar dari Perikatan Nasional setelah sekian lama kuota STAR untuk jawatan timbalan menteri itu tidak diisikan," kata Awang Azman Awang Pawi.

Beliau menambah bahawa pelantikan itu bukanlah satu keperluan, berbanding usaha untuk berjimat cermat oleh kerajaan.

"Kalau dilihat situasi ini ternyata pelantikan ini bukanlah keperluan berbanding usaha untuk jimat cermat. Selama kekosongan tak timbul desakan Menteri sendiri mengenai bebanan kerja yang disandang. Tambahan pula ketika ini tempoh darurat.

"Namun untuk pastikan Perikatan Nasional tak tumbang PM perlu jaga sensitiviti rakan komponen lebih-lebih lagi hubungan dengan Umno agak dingin,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.