Malaysia Sahkan Bayi Tiga Bulan Dijangkiti Virus Polio Selepas 27 Tahun

Shuyang Ana & Nisha David
2019.12.09
Kota Kinabalu & Kuala Lumpur
191209-MY-Polio-1000.jpg Seorang bayi Filipina sedang diberikan vaksin anti-polio di pinggir bandar Quezon, timur laut Manila, Filipina, 20 September 2019.
[AP]

Malaysia mengesahkan seorang bayi berusia tiga bulan dari Sabah telah dijangkiti virus polio, selepas 27 tahun negara itu bebas daripadanya, dengan Menteri Kesihatan berkata punca jangkitan disyaki datang dari luar negara.

Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad pada Isnin berkata, kes jangkitan polio melibatkan bayi di Sabah itu sama dengan yang dikesan berlaku di Filipina sambil memaklumkan dua kemungkinan virus yang berjaya dihapuskan hampir tiga dekad lepas muncul semula di Malaysia.

Katanya, dua kemungkinan berlaku jangkitan tersebut iaitu samada virus berkenaan masuk melalui warga asing yang datang ke Malaysia atau perjalanan keluarga kanak-kanak itu ke luar negara.

“Virus itu boleh dijangkiti sama ada dari luar atau melalui pergerakan keluarga tapi siasatan awal mendapati yang keluarga bayi berkenaan tidak pernah ke luar negara,

“Jadi setakat ini yang paling munasabah ialah datang dari luar Sabah kerana mereka tidak mempunyai sejarah ke luar negara, dan berkemungkinan virus dibawa orang luar yang datang ke Sabah,” kata Menteri Kesihatan di Putrajaya.

Terdahulu itu, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Ahad berkata bayi lelaki berusia tiga bulan dari Tuaran, Sabah pada mulanya hanya demam dan seterusnya mengalami lemah anggota badan.

“Bayi itu telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi di hospital, sebelum disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1) dan boleh menyebabkan poliomyelitis, pada Jumaat lepas. Bayi tersebut masih dirawat di wad isolasi dan berada dalam keadaan stabil," katanya dalam satu kenyataan media.

Baru-baru ini, menurut Organisasi Kesihatan Dunia, terdapat dua kes berlaku di Filipina, dengan kes pertama disahkan pada 14 September melibat seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dari Lanao del Sur di Selatan Filipina dan kes dua pada 19 September, di mana kanak-anak lelaki lima tahun dari Daerah Laguna yang terletak kira-kira 100 kilometer dari Metro Manila disahkan dijangkiti virus polio.

Sebelum ini, Sabah tidak pernah dilaporkan dijangkiti virus polio yang menjejaskan sistem saraf pusat dan boleh menyebabkan lumpuh sementara atau kekal.

Kes terakhir jangkitan polio berlaku di Malaysia adalah pada 1992 dan pada tahun 2000, negara itu telah diisytiharkan sebagai negara bebas polio.

Luas kempen imunisasi

Sementara itu, pihak berkuasa kesihatan Malaysia akan memperluaskan kempen imunisasi ke lapan daerah di Sabah, susulan kes polio yang dikesan di Tuaran itu, dengan semua rakyat tidak kira warganegara Malaysia atau bukan, layak menerima imunisasi tersebut.

Pengarah Kesihatan Sabah, Christina Rundi berkata lapan daerah itu adalah empat di pantai barat dan empat lagi di pantai timur negeri yang terletak di Kepulauan Borneo itu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Sabah, Frankie Poon pula berkata sehingga 5 Disember, sejumlah 646 orang di Tuaran telah diperiksa.

“Pemeriksaan dan siasatan yang dibuat adalah untuk mengenalpasti punca jangkitan, dan ianya masih berjalan termasuk pengambilan sampel najis dari individu yang terdekat dengan kanak-kanak itu selain menjalankan ujian serta mengambil sampel persekitaran untuk mengesan kehadiran virus.

“Imuninasi tambahan turut disediakan di sekitar kawasan kes dikesan dan proses yang sama dilanjutkan ke kawasan berisiko tinggi yang dikenalpasti bagi mengelak virus daripada merebak,” kata Poon.

Hanya tiga negara polio-endemik (negara-negara yang mengalami gangguan akibat transmisi poliovirus liar) iaitu - Afghanistan, Nigeria, dan Pakistan.

Pakar perubatan Pusat Pakar Kasih Cyberjaya, Mohd Zaqrul Razmal Mohd Podzi berkata, kemunculan semula kes polio hanya menanti masa untuk berlaku terutamanya dengan kesan kumpulan anti-vaksinasi yang melampau.

“Sehingga kini, vaksin polio yang diminum adalah kaedah yang berkesan untuk membendung penyakit ini. Tidak seperti jangkitan bakteria yang lain, polio disebabkan oleh virus polio dan dengan itu ia sangat bergantung kepada program vaksinasi.

“Penyakit itu bukan sahaja berbahaya kepada kanak-kanak, tetapi lebih kepada komuniti kerana ia dapat merebak dengan cepat. Virus ini juga mudah merebak melalui bahan buangan dan melalui tangan yang tercemar dengan cepat,” katanya.

Beliau berkata seorang kanak-kanak yang menderita akibat penyakit ini akan membawa hingga ke dewasa.

"Tidak lama lagi kita akan melihat golongan muda dan tua dengan kecacatan anggota badan. Lebih buruk lagi, jika respirasi itu terjejas, kita akan melihat kebangkitan keradangan paru-paru.

"Jika anda merasa sedih melihat kanak-kanak itu sekarang, cuba anda bayangkan bagaimana penyakit itu memberi kesan kepada populasi apabila kanak-kanak itu membesar sehingga cacat seumur hidup," katanya.

Menurut beliau, vaksinasi adalah satu-satunya cara untuk mencegah merebaknya virus itu selain tindakan tegas oleh Kementerian Kesihatan untuk menjadikannya satu perkara wajib dan juga Menteri Pendidikan mestilah mempunyai pendirian kukuh untuk memastikan hanya kanak-kanak yang divaksin sepenuhnya dibenarkan didaftar masuk ke sekolah di Malaysia.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.