Malaysia Mulakan Siasatan Berkaitan Pelanggaran Kapal Perang AS

Hadi Azmi
2017.08.29
Kuala Lumpur
170829-my-ussjohn620.jpg Seorang anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sedang membuat pemerhatian dari kapalnya semasa operasi mencari dan menyelamat anak kapal USS John S. McCain di perairan Johor, Malaysia, 24 Ogos, 2017.
AFP

Kerajaan Malaysia memulakan siasatan insiden kapal perang Amerika Syarikat bertembung dengan kapal tangki minyak di perairan antara Malaysia dan Singapura, melalui jawatankuasa khas yang dibentuk dengan laporan mengenainya akan diperolehi dalam jangka masa sebulan, demikian kata Menteri Pengangkutannya pada Selasa.

Liow Tiong Lai, menteri yang bertanggungjawab berkata, jawatankuasa khas itu ditugaskan untuk menyiasat punca pertembungan antara kedua-dua kapal yang berlaku pada 21 Ogos lepas sehingga menyebabkan 10 anak kapal Tentera Laut Amerika Syarikat terbunuh.

"Buat masa ini, kita tidak boleh mengesahkan insiden itu berpunca sama ada akibat kecuaian manusia atau kerosakan sistem selagi siasatan belum selesai. Kita kena cari dan kenal pasti fakta terlebih dahulu.

"Apa pun, kita akan menyiasat perkara ini secara terperinci kerana insiden berlaku dalam perairan negara," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita nasional negara itu, Bernama.

Kapal perang dan kapal tangki minyak berkenaan bertembung di perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Singapura, berhampiran Pulau Pedra Branca, di perairan yang dituntut oleh kedua-dua negara berkenaan.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa memutuskan bahawa Pedra Branca adalah milik Singapura dan wilayah berdekatan yang disebut Middle Rocks milik Malaysia, demikian menurut laporan agensi berita Reuters. Malaysia meminta kajian semula mengenai keputusan berkenaan pada tahun ini.

Dalam kejadian itu, lima anak kapal juga dilaporkan cedera dan menerima rawatan di hospital Singapura.

Pada Isnin, Tentera Laut AS dalam satu kenyataan memberitahu penyelam telah menemui kesemua 10 mayat anak kapal tersebut di ruang-ruang kapal tersebut yang dipenuhi air.

Kapal USS John S. McCain, sebuah kapal pemusnah peluru berpandu Amerika terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kapal dagang MV Alnic MC yang berdaftar di Liberia, pada 21 Ogos lepas.

"Penyelam Tentera Laut Amerika dan Marin Corps telah menemui mayat kesemua sepuluh anak kapal USS John S. McCain yang dilaporkan hilang, " kata Armada Ke-7 Tentera Laut AS dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kerja-kerja mencari dan menyelamat itu, turut melibatkan Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Armada Ke-7 adalah armada terbesar Tentera Laut AS, yang boleh membawa seekitar 50 hingga 70 kapal dan kapal selam, 140 pesawat dan kira-kira 20,000 pelayar, menurut Tentera Laut itu.

Ketika kemalangan berlaku, kapal John S. McCain sedang belayar menuju ke Singapura untuk berlabuh. Malaysia dan Singapura menuntut kawalan ke atas perairan di mana berlakunya  perlanggaran kapal berkenaan, dan kedua-dua negara telah mengumumkan mereka memimpin usaha mencari dan menyelamat itu.

Tentera Laut AS telah menggantung operasi mencari dan menyelamat pada Khamis lepas apabila para penyelam yang menjalankan usaha menyelamat itu menemui mayat di dalam ruang-ruang di dalam kapal berkenaan yang telah dibanjiri air laut.

Malaysia pula telah menghantar kapal Tentera Laut DiRaja Malaysia - KD Handalan untuk memimpin usaha pencarian bersama dua buah lagi kapal dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia [APMM] untuk bekerjasama membantu dengan menggunakan pesawat dan penyelam. Zulkifli berkata kru pencarian bekerja lebih 83 jam, dengan meliputi sekitar 2,660 batu persegi nautika dalam usaha berkenaan.

"APMM menghargai serta mengucapkan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat selama empat hari," kata Zulkifli dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ini merupakan perlanggaran kedua yang melibatkan kapal perang Amerika Syarikat di rantau itu dalam tempoh tiga bulan. Pada 17 Jun lepas, tujuh anak kapal mati selepas sebuah lagi kapal pemusnah, USS Fitzgerald, bertembung dengan sebuah kapal kontena di Laut Jepun.

Naib Panglima Joseph Aucoin telah digantung tugasnya sebagai komander Armada Ke-7 kerana "hilang keyakinan terhadap keupayaannya untuk memimpin," kata Tentera Laut AS.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.