Parti-parti Malaysia Namakan Beribu Calon Untuk Pilihan Raya Umum 9 Mei
2018.04.28
Kuala Lumpur, Malaysia

Kempen rasmi bagi pilihan raya umum Malaysia bulan depan bermula pada Sabtu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya meluluskan pencalonan bagi beribu-ribu calon, yang membuka laluan kepada apa yang diramalkan pakar sebagai pertempuran sengit dan getir antara gabungan parti pemerintah dan pakatan pembangkang.
Gabungan parti pemerintah Barisan Nasional mengemukakan bilangan calon paling ramai di seluruh negara iaitu seramai 642 orang termasuk 197 bagi kerusi Parlimen, manakala pakatan pembangkang Pakatan Harapan menamakan 634 calon termasuk 194 yang akan bertanding kerusi Parlimen, kata pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Perdana Menteri Najib Razak dan Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri yang berusia 92 tahun dan pemimpin utama pakatan pembangkang, adalah antara calon Parlimen yang hadir di 222 pusat penamaan calon di seluruh negara bagi mengemukakan kertas pencalonan masing-masing untuk diluluskan oleh SPR.
Suasananya umpama suatu perayaan. Penyokong dari semua parti mengibarkan bendera dan warna parti masing-masing pada Hari Penamaan Calon itu yang menyusuli 11 hari berkempen sebelum kemuncak pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei.
Najib dan Mahathir pada Sabtu dibenarkan menyertai perebutan kerusi Parlimen di kawasan masing-masing iaitu di Pekan di negeri Pahang, dan Langkawi di Kedah.
"Saya rasa baik-baik saja, saya okay," kata Mahathir, yang memakai baju Melayu berwarna merah kepada Straits Times of Singapore. "Ya, sudah tentu kami yakin."
Najib, 64, yang dibelenggui tuduhan rasuah yang berpunca daripada skandal kewangan yang melibatkan penyelewengan berbilion ringgit daripada dana pelaburan negara, 1MDB, tidak bercakap kepada pemberita di luar pusat penamaan calon di Pekan. Perdana Menteri menafikan dakwaan salah laku yang berkaitan deposit hampir A$700 juta yang dikaitkan dengan 1MDB ke dalam akaun bank peribadinya, dan menyatakan bahawa wang tunai tersebut disumbangkan oleh ahli kerabat diraja Arab Saudi.
Pada Sabtu, Najib dan pengikutnya memakai baju Melayu berwarna biru yang sepadan dengan warna Barisan Nasional. Mahathir menerajui Malaysia sebagai perdana menteri paling lama iaitu selama 22 tahun dan menjadi pemimpin utama Barisan Nasional dan parti tonggaknya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, tetapi beliau meninggalkannya pada 2016 dan menyertai pembangkang selepas merasa berang dengan skandal 1MDB.
Mahathir telah dipilih untuk menjadi perdana menteri sekali lagi sekiranya Pakatan Harapan memenangi majoriti daripada 222 kerusi Parlimen Malaysia. Sebanyak 505 kerusi di 12 dewan undangan negeri juga dipertandingkan pada 9 Mei.
Empat parti pembangkang yang diketuai Mahathir akan bertanding pilihan raya umum itu dengan menggunakan logo Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana Pendaftar Pertubuhan Malaysia menolak permohonan pendaftaran Pakatan Harapan.
Semasa Parlimen ke-13 dibubarkan pada 6 April lalu, Barisan Nasional mempunyai 130 kerusi berbanding 72 kerusi yang disandang oleh ahli-ahli Pakatan Harapan. Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang bukan anggota Barisan Nasional atau Pakatan PAS, pula mempunyai 13 kerusi.
Najib bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan bagi penggal ke-10 tetapi beliau akan ditentang dalam pertandingan empat penjuru oleh calon-calon PKR, PAS serta Bebas.
Dalam pertandingan di Langkawi, Mahathir, yang bersara daripada kerajaan pada 2003, akan terlibat dalam pertembungan tiga penjuru dengan calon dari Barisan Nasional dan PAS.
Sementara itu, Lim Kit Siang, ketua Parti Tindakan Demokratik (DAP), satu daripada parti yang menganggotai Pakatan Harapan, akan mempertahankan kerusi Parlimen Iskandar Puteri yang sebelum ini dikenali sebagai Gelang Patah, dan berdepan cabaran Jason Teoh Sew Hock, calon Persatuan Cina Malaysia (MCA), yang merupakan parti rakan Barisan Nasional.
Ini merupakan penggal ke-13 bagi Lim, 77, dalam pilihan raya umum itu.
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang (dua dari kanan) tiba di pusat penamaan calon Iskandar Puteri untuk mengemukakan borang pencalonannya sebagai penyandang kerusi Parlimen itu di Johor, 28 April 2018. S. Mahfuz / BeritaBenar.
Sesetengah calon ditolak
Walaupun tidak ada laporan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya menyekat mana-mana calon Barisan Nasional, namun, lima calon Pakatan Harapan terpaksa berputih mata apabila kertas pencalonan mereka ditolak.
Barisan Nasional juga memenangi tanpa bertanding satu kerusi DUN di Negeri Sembilan, berhampiran Kuala Lumpur, apabila calon PKR, Streram Sinnasamy, tidak dibenarkan masuk ke pusat penamaan calon di Rantau kerana gagal mengemukakan pas masuk yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, kata pegawai SPR pada sidang berita di ibu negara Malaysia.
Kesalahan sama hampir diulangi oleh calon PKR yang lain, Tan Yee Kew, yang bertanding kerusi Parlimen Wangsa Maju, apabila beliau lupa membawa kad pengenalannya ke pusat penamaan calon. Bagaimanapun, pihak berkuasa kemudian membenarkannya masuk ke pusat berkenaan selepas beliau mengemukakan salinan kad pegenalannya.
Di tempat lain, Chua Tian Chang atau Tian Chua, calon PKR bagi kerusi Parlimen Batu, gagal mengemukakan kertas pencalonannya bagi mempertahankan kerusi itu kerana gagal membayar denda sebanyak RM2,000 (US $ 510), yang diperintahkan oleh mahkamah setelah dia disabitkan dengan pertuduhan menggunakan bahasa kasar terhadap seorang pegawai polis pada 2014, kata SPR.
Eric See-To, timbalan pengarah komunikasi strategik BN berkata, Tian Chua sepatutnya dibenarkan bertanding kerusi itu .
"BN tidak takut untuk bertanding dengan Tian Chua. Bagaimanapun, saya bukan peguam, mahupun hakim, saya hanya mempunyai pandangan saya sendiri, " katanya.
'Ia pasti menarik'
Barisan Nasional yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan negara pada 1957, gagal mengekalkan kemenangan besar-besaran bagi kerusi Parlimen pada dua pilihan raya umum terdahulu, dan terpaksa berusaha gigih untuk menghadapi pilihan raya umum pada 9 Mei ini, kata para pakar.
Pada pilihan raya umum 2013, pakatan pembangkang memenangi undi popular tetapi Barisan Nasional dapat terus berkuasa kerana mengekalkan majoriti kerusi di Parlimen.
Menurut pemerhati dan penganalisis politik Mohd Azizuddin Mohd Sani, corak pencalonan untuk pilihan raya umum tahun ini tidak banyak berbeza daripada yang sebelum ini.
"Berdasarkan corak itu, kita dapat melihat pertembungan yang lebih sengit, terutamanya pertandingan tiga penjuru," katanya kepada BeritaBenar, merujuk kepada gabungan parti Barisan Nasional dan Pakatan Harapan serta parti berasaskan agama, PAS.
"Ia pastinya menarik. Bilangan calon wanita juga bertambah sedikit, "kata Mohd Azizuddin.
Beliau juga meramalkan bahawa Barisan Nasional mempunyai kemungkinan besar untuk memenangi lebih daripada 70 peratus undi daripada majoriti etnik Melayu, tetapi pembangkang mungkin dapat memenangi undi bukan Melayu dengan jumlah yang lebih besar.
"Orang bukan Melayu bakal menjadi penentunya," kata beliau.
Pada 26 April, badan bebas Malaysia, Merdeka Centre, mengeluarkan hasil tinjauan baru-baru ini yang menunjukkan bahawa Barisan Nasional akan kehilangan hampir 9 peratus undi Melayu kepada pembangkang. Tetapi kesan peralihan undi itu tidak cukup untuk menolak kerajaan Barisan Nasional daripada terus berkuasa, kata Merdeka Centre.
Hampir 15 juta rakyat Malaysia telah mendaftar sebagai pemilih pada pilihan raya umum kali ini.