Malaysia Dan Qatar Sumbang RM231 Juta Untuk Warga Rohingya

Fadzil Aziz
2017.03.16
Kuala Lumpur
170316-my-qatar-rohingya-620.jpg Minoriti Islam Rohingya berkumpul di kem Thet Kal Pyin di Sittwe, di negeri Rakhine, Myanmar yang terlibat dalam keganasan antara penganut Buddha dan Islam di negeri berkenaan sejak tahun 2012, 7 September 2016.
AFP

Malaysia dan Qatar memperuntukan kira-kira RM231 juta [AS$52.3 juta] kepada warga Islam Rohingya dalam usaha menaikkan taraf kehidupan dan menangani penderitaan etnik minoriti yang tertindas di negara sendiri.

Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berkata, Malaysia memperuntukkan dana sejumlah RM10 juta [AS$2.25 juta] bagi bantuan kemanusiaan dan pemulihan sosial di negeri Rakhine, di Myanmar.

“Ketika lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ke Qatar baru-baru ini, Kerajaan Qatar melalui Tabung Pembangunan Qatar [QDF] berjanji untuk memberi RM221 juta [AS$50 juta] secara berperingkat kepada Majlis Keselamatan Negara [NSC],” kata Anifah pada persidangan antarabangsa mengenai Rohingya di Kuala Lumpur pada lewat Rabu.

Majlis Keselamatan Negara adalah agensi yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam mengurus dan menyelaras perlaksanaan dasar-dasar berkaitan keselamatan Malaysia.

Anifah menambah, peruntukan dana dari kedua-dua negara itu akan disalurkan dalam  pelbagai projek seperti pemulihan sosial, pendidikan, latihan dan kesihatan di Rakhine dan juga warga Rohingya yang berdaftar dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian [UNHCR] di Kuala Lumpur.

Tambah beliau, sumbangan tersebut akan disalurkan menerusi program kemahiran separa mahir dan mahir yang melibatkan pendidikan, kesihatan dan kemudahan perubatan untuk warga Rohingya di Malaysia.

“Malaysia, sebagai negara yang bertanggungjawab di kalangan komuniti antarabangsa akan terus memainkan peranan dalam menyumbang kepada usaha menangani isu tersebut,” kata Anifah tanpa memaklumkan bagaimana sumbangan itu bakal disalurkan.

Tambahnya, Malaysia akan terus menggalakkan anggota komuniti antarabangsa untuk menyumbang kepakaran dan wang ringgit bagi mengurangkan penderitaan yang ditanggung etnik Rohingya tersebut.

Sambut baik

Presiden Persatuan Rohingya Malaysia (RSM), Faisal Islam Muhammad Kassim ketika dihubungi menyambut baik usaha berkenaan dan berharap ia akan dapat dilaksanakan dengan secepat mungkin.

“Kami berharap usaha murni yang dilakukan oleh komuniti antarabangsa khususnya Malaysia dan Qatar ini sedikit sebanyak dapat memulihkan masa depan pelarian Rohingya.

“Kami juga merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Malaysia kerana sanggup memikul tanggungjawab kewangan dan sosial dengan menyediakan tempat perlindungan dan keperluan asas kepada etnik Rohingya,” katanya kepada BeritaBenar pada Khamis.

Setakat Februari lalu, seramai 55,000 warga etnik Rohingya yang berada di Malaysia adalah pemegang kad UNHCR.

Selain sumbangan RM10 juta untuk usaha kemanusiaan, Malaysia turut menganjurkan misi menghantar Flotila bantuan kemanusiaan untuk masyarakat Rohingya di Myanmar pada Februari lalu.

Malaysia sebelum ini telah memulakan projek perintis yang membenarkan 300 pelarian Rohingya yang memegang kad UNHCR bekerja secara sah mulai Mac di dua sektor, perladangan dan perkilangan.

Anifah dalam persidangan itu juga memberitahu hasil desakan komuniti antarabangsa telah mengurangkan penderitaan masyarakat Rohingya di Myanmar.

Desak hentikan tindakan


"Dilaporkan tentera Myanmar telahpun menghentikan operasi keselamatan mereka di Rakhine dan telah menghentikan tindakan keras empat bulan mereka ke atas golongan Muslim Rohingya,” katanya.

Malaysia pada Khamis terus mendesak Myanmar untuk segera menghentikan penindasan terhadap etnik Rohingya dan membuktikan kepada ASEAN bahawa mereka boleh menerima golongan minoriti itu sebagai rakyat negara Myanmar.

"Mereka meminta negara ASEAN tidak mencampuri urusan politik dalaman mereka tetapi ini bukan untuk mencampuri, ini adalah keprihatinan kepada saudara kita di Myanmar," Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan oleh agensi berita nasional Bernama.

Menurut laporan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Myanmar juga tidak mempedulikan mesej diplomatik daripada Malaysia yang meminta mereka menghentikan keganasan itu.

"Saya percaya tindakan membakar, membunuh hidup-hidup dan keganasan terhadap manusia ini tidak tertulis dalam mana-mana agama.

Sebelum ini, Ahmad Zahid dilaporkan memberitahu dana dari Qatar itu akan diagihkan untuk latihan dalam bidang perladangan, perkilangan dan terutamanya dalam sektor pembuatan perabot.

Tambahnya, dari segi pendidikan, bantuan pra sekolah dan sekolah rendah akan diberikan kepada anak-anak Rohingya yang akan dipantau Kementerian Pendidikan.

“Ia akan mengikut silibus sistem pendidikan Myanmar dengan tujuan apabila konflik yang berlaku di negara itu tamat, anak-anak etnik Rohingya akan dapat melanjutkan pelajaran menggunakan silibus yang sama di tanah air mereka,” katanya dalam satu laporan Bernama ketika lawatannya ke Qatar.

Dari sudut kesihatan pelarian Rohingya pula, Zahdi berkata satu skim insurans premium akan diwujudkan dengan rawatan dan perkhidmatan perubatan pada kos minima kepada pelarian berkenaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.