Anggota Parlimen Pembangkang Hadapi Hukum Penjara Dedah Laporan Audit 1MDB
2016.11.14
Kuala Lumpur

Mahkamah Malaysia pada Isnin telah menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan terhadap seorang pemimpin pembangkang kerana membocorkan sebahagian daripada laporan audit sulit mengenai dana pelaburan negara yang dicemari skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selepas mendapati Mohd Rafizi Ramli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersalah terhadap dua pertuduhan, iaitu pemilikan tanpa kebenaran laporan berkenaan, dan mendedahkannya kepada media, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur membenarkan penangguhan hukuman sementara menunggu rayuan.
Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara masing-masing 18 bulan bagi pertuduhan pertama dan kedua terhadap Rafizi.
Rafizi, seorang Anggota Parlimen yang berkhidmat sebagai Naib Presiden dan Setiausaha Agung parti PKR, mengaku tidak bersalah pada 8 April berikutan penahanannya di luar Parlimen tiga hari lebih awal.
Parti PKR diasaskan oleh pemimpin pembangkang de-facto Anwar Ibrahim yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri yang kini dipenjarakan.
"Hari sedih bagi demokrasi Malaysia - mereka yang mempertahankan kepentingan rakyat dan kebaikan awam dilayan dengan cara ini," kata jurucakap PKR Fahmi Fadzil yang menulis di laman Twitter.
Pada Oktober, Human Rights Watch (HRW) menerbitkan laporan mengenai penahanan Rafizi, yang mendakwa bahawa anggota parlimen itu sedang menyiasat mengenai dakwaan kegagalan kerajaan dalam membuat bayaran pencen kepada veteran yang telah bersara. Beliau juga mencabar kerajaan supaya mengesahkan bahawa pelaburan dana tentera dalam 1MDB tidak menjejaskan keupayaan dalam membuat pembayaran itu.
Rafizi mendakwa beliau menerima dokumen daripada laporan Audit Negara yang menyokong kebimbangan beliau bahawa 1MDB berhutang kepada dana berkenaan, menurut HRW.
Rafizi memaparkan dokumen berkenaan pada satu sidang media yang diadakan pada 28 Mac, tetapi tidak memberikan salinan kepada pemberita. Seminggu kemudian, polis menahan Rafizi dan menuduhnya melanggar Akta Rahsia Rasmi.
Laporan Ketua Audit Negara mengenai 1MDB diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi Malaysia.
Abdul Rahman Dahlan, Pengarah Komunikasi bagi Barisan Nasional berkata, Rafizi cuba "mencari publisiti murahan untuk kepentingan politik peribadi, tetapi dia secara sedar melakukan jenayah yang serius dengan berbuat demikian. Oleh itu adalah wajar beliau menanggung akibatnya dan patut menyalahkan diri sendiri. "
Pada Isnin, HRW yang berpangkalan di New York menggesa sabitan kesalahan Rafizi ditarik balik.
"Hukuman penjara bagi seorang Anggota Parlimen pembangkang di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) tidak pernah berlaku sebelum ini. Salah guna akta ini hanya mempunyai satu tujuan: untuk menakut-nakutkan orang yang memberi maklumat mengenai skandal rasuah 1MDB," Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia HRW berkata dalam satu kenyataan.
"Jangan sesiapa melupai bahawa ini semua adalah mengenai laporan tahunan Ketua Audit Negara, yang bertahun-tahun sebelum ini telah diambil kira sebagai dokumen awam selepas dikemukakan kepada Parlimen."
1MDB kini berada di tengah-tengah skandal rasuah yang melanda Perdana Menteri Najib Razak sejak Julai tahun lepas, apabila muncul laporan berita bahawa hampir AS $ 700 juta yang dikaitkan dengan dana itu telah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi beliau pada tahun 2013. Siasatan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan penyelewengan telah dan sedang berjalan di Malaysia dan juga di beberapa negara lain.
Pada Januari lepas, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku walaupun terdapat gesaan supaya perdana menteri meletakkan jawatan. Najib telah menafikan salah laku atau mengambil apa-apa wang 1MDB berkaitan untuk kepentingan peribadi.
Tiada penyesalan
Rafizi, 39, berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu, tetapi meminta penyokongnya supaya bertenang – sambil menambah "(saya) tidak akan buat cara lain.
"Jangan berputus asa. Saya tidak mempunyai sebarang penyesalan dan perkara yang paling aman dalam hidup adalah mengetahui anda melakukan perkara yang betul," katanya.
Di ruang mahkamah, Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar berkata, "Undang-undang hendaklah dihormati. Jika seorang Anggota Parlimen seperti [Rafizi] telah bertindak dengan cara itu, maka bagaimana anda mengharapkan reaksi daripada orang ramai? "
Walaupun disabit kesalahan, Rafizi tidak akan kehilangan kerusi parlimen kawasan Pandan di Kuala Lumpur, kerana beliau masih berpeluang merayu, kata peguamnya, Gobind Singh Deo.
Di bawah Perlembagaan Persekutuan, seorang Anggota Parlimen akan hilang kelayakannya jika dikenakan hukuman penjara selama setahun atau lebih atau didenda sekurang-kurangnya RM2,000 (AS$460) dan tidak menerima pengampunan.
Kesan
Lawyers for Liberty, sebuah kumpulan hak asasi manusia dan pembaharuan undang-undang, menggelar hukuman itu sebagai "kejam dan berlebihan" kerana Rafizi bertindak untuk menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.
Sabitan kesalahan dan hukuman tersebut akan menggugatkan kebebasan bersuara sehingga boleh menyebabkan penindasan dan ketidaktelusan kerajaan, menurut pengarah eksekutif Eric Paulsen dalam satu kenyataan
Paulsen turut mempersoalkan mengapa laporan itu secara tiba-tibanya diklasifikasikan sebagai "rahsia rasmi" sedangkan kebiasaannya ia dikemukakan di Parlimen dan juga boleh dilihat oleh orang ramai.
"Walaupun dunia sedang bergerak ke arah lebih keterbukaan, ketelusan dan akauntabiliti dalam menjalankan urusan pemerintahan, agak dikesali bagaimana pihak berkuasa Malaysia terlalu cepat untuk menghukum pemberi maklumat seperti Rafizi, tetapi tiada tindakan diambil terhadap rasuah besar-besaran dan penyalahgunaan kuasa dalam skandal 1MDB, katanya lagi.