Keluarga Tebusan: RM12 Juta Untuk Bebaskan Empat Rakyat Malaysia
2016.06.15
Kuala Lumpur

Keluarga empat rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf dan dibebaskan minggu lepas mendakwa sejumlah RM12 juta [AS$2.94 juta] telah diserahkan kepada pihak berkuasa Malaysia untuk pembayaran wang tebusan, yang sekaligus menyangkal dakwaan tiada transaksi pembayaran wang tebusan dibuat terhadap kumpulan militan berkenaan.
Menurut seorang jurucakap keluarga keempat-empat mangsa, Lau Cheng Kiong, yang juga bapa saudara kepada seorang tebusan, Johnny Lau Jung Hien, wang tebusan sejumlah itu telah diserahkan kepada pasukan yang mengendalikan kes berkenaan iaitu polis Cawangan Khas di Sandakan, Sabah pada Mei 24 lepas.
“Kami telah menyerahkan kira-kira 12 keping cek Bank Hong Leong yang setiap satunya bernilai RM1 juta yang disimpan di dalam beg ke Cawangan Khas di Sandakan antara pukul 4 petang dan 6 petang pada 24 Mei lalu.
“Saya ingin menegaskan, kami tidak menyimpan satu sen pun wang yang dikumpul. Itu adalah sumbangan orang ramai, kami tidak berhak ke atasnya," katanya pada sidang media di Sibu, Sarawak pada Rabu.
Beliau berkata, daripada jumlah RM12 juta itu, RM9 juta merupakan sumbangan orang ramai yang datang dari dalam dan luar negara termasuk Papua New Guinea, Taiwan, China, Solomon Island and Malaysia.
“Manakala RM1 juta dari gadai janji dua kediaman keluarga tersebut dan baki RM2 juta daripada sumbangan syarikat perkapalan,” tambah Cheng Kiong.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menegaskan tiada wang tebusan dibayar kepada kumpulan militan tersebut apabila empat anak kapal berkenaan dibebaskan pada Jun 8 lalu.
Khalid bagaimanpun gagal dihubungi oleh BeritaBenar untuk mengesahkan dakwaan keluarga berkenaan manakala Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Mohamad Fuzi Harun ketika dihubungi BeritaBenar juga tidak mahu memberikan sebarang komen.
Sementara itu, akhbar tempatan Utusan Malaysia melaporkan, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan bahawa pihak berkuasa Malaysia membayar wang tebusan bagi pembebasan keempat-empat mangsa culik kumpulan Abu Sayyaf itu.
Ahmad Zahid berkata, tiada rundingan berkaitan pembayaran dipersetujui di antara pihak polis kedua-dua negara dengan penculik.
"Jika ada tuduhan bayaran tertentu telah dibuat untuk membebaskan kesemua tebusan, ia bukan dalam bidang pihak berwajib seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mewakili kerajaan Malaysia," katanya.
Wong Teck Kang, 31, dan saudaranya Wong Teck Chii, 29, sepupu mereka, Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34, tidak mempunyai talian saudara, kesemuanya dari Sibu Sarawak diculik pada April 1.
Laporan sebelum ini mendakwa Abu Sayyaf menuntut RM18 juta [AS$ 4.46 juta] untuk pembebasan mereka.
Sumbangan orang ramai
Cheng Kiong menambah anggota keluarga mangsa terpaksa menjelaskan perkara itu kerana orang ramai yang telah menyumbang ingin mengetahui ke mana wang terbabit telah disalurkan.
"Mereka yang mahu mendapatkan keterangan terperinci mengenainya boleh menghubungi Cawangan Khas dan Hong Leong Bank di Sandakan," katanya seperti dilaporkan media tempatan.
Beliau berkata, susulan kejadian penculikan itu, keluarga mangsa mewujudkan laman Facebook merayu bantuan orang ramai dan mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan dari dalam dan luar negara.
"Saya mewakili keluarga mengucapkan terima kasih atas bantuan semua pihak. Kami terhutang budi,” katanya.
‘Nasib sendiri’
Sementara itu, salah seorang mangsa culik Teck Kang memberitahu media bahawa mereka tidak akan keluar selamat dari kawasan selatan Filipina itu selepas ditunjuk video rakaman kejadian pemenggalan kepala salah seorang mangsa culik.
"Kami benar-benar takut. Kami tidak fikir boleh balik. Hari-hari kami berdoa supaya kami selamat. Ada satu ketika kami ditunjukkan rakaman kejadian pemenggalan kepala seorang mangsa culik berkulit putih.
“Saya tidak tahu apa sebabnya (ditunjukkan rakaman itu), hingga kami benar-benar takut," katanya kepada media tempatan di rumah keluarganya di Pulau Li Hua, Sibu.
Katanya lagi, kaki mereka sentiasa dirantai kecuali ketika hendak dipindahkan ke tempat lain ataupun sekiranya mereka mahu membuang air.
Namun, katanya kumpulan tersebut membenarkan mereka berhubung dengan keluarga mereka beberapa kali.
Keempat-empat mereka diculik dari kapal tunda ‘Masfive 6’ yang dalam perjalanan pulang ke Sarawak selepas selesai membawa kayu balak ke Manila, Filipina. Lima anak kapal lain yang berada di atas kapal yang membawa kayu balak berdaftar di Malaysia - tiga pelayar dari Myanmar dan dua dari Indonesia tidak diculik kumpulan itu.
Penculikan itu berlaku seminggu selepas kumpulan Abu Sayyaf menculik 10 kelasi Indonesia di wilayah paling selatan Filipina yang bersempadan dengan negeri Sabah di Malaysia.
Kesemua rakyat Indonesia yang diculik itu bagaimanapun dibebaskan pada 1 Mei lepas, tetapi para pegawai tidak mahu mengulas sama ada wang tebusan telah dibayar.
Beberapa hari selepas pembebasan rakyat Malaysia itu, kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina, memenggal kepala Robert Hall, 50, seorang lagi warga Kanada selepas tarikh akhir pembayaran wang tebusan pada pukul 3 petang Isnin tamat.
Pemenggalan kepala itu, dilaporkan berlaku tujuh minggu selepas Abu Sayyaf memancung kepala seorang lagi tebusan warga Kanada John Ridsdel, 68, bekas eksekutif perlombongan, pada 25 April lepas.
Beliau dibunuh lima jam selepas tempoh akhir pembayaran wang tebusan berlalu. Ridsdel, Hall, Sekkingstad dan Flor diculik dari sebuah resort di Samal Island, di wilayah Davao, Filipina, pada September lepas.
Pada November lalu, kumpulan militan Islam itu juga memancung kepala Bernard Then, seorang rakyat Malaysia yang diculik dari sebuah restoran tepi laut di Sabah pada Mei 2015, selepas rundingan pembayaran tebusan gagal.