Malaysia Perbaiki Reputasi, Lompat Sepuluh Tangga Indeks Persepsi Rasuah
2020.01.23
Kuala Lumpur, Malaysia

Malaysia berjaya memperbaiki reputasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 apabila melonjak naik 10 tangga kepada kedudukan lebih baik, kesan usaha berterusan Putrajaya dalam memerangi rasuah menurut laporan CPI yang dikeluarkan Khamis.
Mengumumkan perkembangan positif itu, Presiden Transparency International Malaysia Muhammad Mohan berkata ‘pemulihan’ imej Malaysia adalah hasil tindakan agresif pentadbiran Putrajaya untuk merungkai skandal seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd (SRC), FELDA dan Tabung Haji, pasca keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
"Kita sedang meningkat baik dari tahun 2012 hingga 2014, dan skandal 1MDB yang dibongkarkan pada 2014 di mana media mula melaporkan dan orang ramai mula mengetahui, dengan pelbagai persoalan timbul.. dan itu adalah antara sebab kenapa CPI Malaysia merosot selepas itu. Pada tahun 2018, selepas kerajaan baru mengambil alih, skor bertambah baik kerana komitmen yang ditunjukkan dalam menjadikan Malaysia bebas daripada rasuah," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur pada Khamis.
Dengan skor 53 mata, Malaysia kini menduduki tempat ke-51 daripada 180 negara yang diselidik oleh badan pemerhati rasuah antarabangsa itu, berbanding berada pada kedudukan ke-61 dan 62 pada 2018 dan 2017.
Sebelum ini Malaysia merekodkan skor pada 47 bagi dua tahun berturut-turut iaitu pada 2017 dan 2018.
Skor CPI ditentukan mengikut 13 tinjauan dan penilaian daripada pakar bersandarkan tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara, dengan mengikut skala antara sifar yang dianggap paling rasuah dan paling bersih, 100.
Bagaimanapun, skor ini masih rendah berbanding sebelum ini, iaitu 53.20 mata pada 1996. Rekod Malaysia yang paling rendah adalah 43 mata pada 2011.
CPI diterbitkan setiap tahun sejak 1995 dan memberi penarafan mengikut tahap persepsi rasuah dalam sektor awam negara yang ditentukan oleh penilaian ahli dan tinjauan pendapat.
Muhammad Mohan berkata pencapaian yang positif kali ini turut disumbangkan atas usaha berterusan kerajaan untuk mengembalikan keyakinan terhadap urus tadbirnya, dan momentum berterusan menerusi siri penahanan beberapa pemimpin politik yang kemudiannya didakwa berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram.
"Faktor lain yang mempengaruhi peningkatan CPI Malaysia ialah kebebasan media dalam membongkar dan melaporkan skandal mega demi kepentingan awam sekali gus membantu memperbaiki persepsi dalam kalangan masyarakat dan pelabur.
"Usul supaya anggota kerajaan mengisytiharkan aset masing-masing, termasuk pemimpin politik dan ahli Parlimen turut membantu memperbaiki reputasi Malaysia," tambah Muhammad Mohan.
Menurut beliau, keputusan kerajaan untuk mengekalkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk terus diterajui anggota pembangkang juga membantu memulihkan indeks tersebut.
"Selain itu, tekad Putrajaya menggubal dan mewartakan Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 adalah antara pendorong utama kejayaan ini," katanya.
Kedudukan pertama dalam CPI 2019 diraih dua negara yang masing-masing mencatatkan skor 87, iaitu New Zealand dan Denmark, disusuli Finland (86), manakala tempat ketiga dikongsi Singapura, Sweden serta Switzerland.
Negara yang dibelenggu pertelagahan, peperangan dan konflik, iaitu Somalia, Sudan Selatan, Syria, Yaman serta Venezuela pula berada di kedudukan lima terbawah dalam CPI 2019.
Dalam kalangan negara Asean, Malaysia berada di belakang Singapura dan Brunei, yang masing-masing menduduki tempat keempat dan ke-35.
Bagaimanapun, Malaysia mendahului negara Asean yang lain, dengan yang paling hampir, Indonesia di kedudukan 85.
Momentum harus diteruskan
Kerajaan perlu lebih terbuka dan telus jika mahu terus melonjak naik dalam indeks persepi rasuah menurut Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel kerana cabaran sebenar masih belum ditangani.
"Cabaran sebenar masih ada .. menangani struktur sistemik dan terikat yang membolehkan rasuah wujud tetap nyata berlaku secara bebas dengan pengaruh politik dan bisnes dalam kerajaan serta proses perolehan yang masih mengandungi unsur rasuah," katanya kepada BeritaBenar.
Sementara itu ahli politik veteran Lim Kit Siang daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) pula berkata peningkatan Malaysia dalam CPI 2019 hanyalah permulaan, dan perjuangan menentang rasuah mesti diteruskan untuk mencapai keputusan lebih baik.
“Usaha antirasuah, walaupun luar biasa sejak perubahan kerajaan persekutuan pada 9 Mei 2018, harus dianggap sebagai permulaan. Malaysia tidak sepatutnya berpuas hati sehingga kita menjadi antara 30 negara teratas dalam integriti awam. Ini bermakna kita mesti mencapai skor dalam julat 60 mata,” katanya dalam satu kenyataan di blognya, pada Khamis.
Penubuhan Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), pengenalan dan pelaksanaan Rancangan Anti Rasuah Negara (NACP) dan pembentukan Pusat Jenayah Anti-Kewangan Negara (NFCC) menunjukkan komitmen dan keteguhan kerajaan dalam memastikan ketelusan, pemerintahan yang baik dan usaha yang dilakukan dan dikuatkuasakan dengan berkesan dan cekap menurut Ketua Eksekutif Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Mustafar Ali.
Beliau yang berperanan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional 2019 itu berkata, cadangan RUU berkenaan adalah inisiatif di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional (NACP) 2019-2023 bagi menubuhkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) sebagai agensi berwibawa dalam pengurusan aset yang dirampas dan dilucut hak dalam operasi penguaktkuasaan bersepadu.
"Negara kehilangan berbilion ringgit akibat perbuatan jenayah kewangan.. justeru, pendekatan baharu yang holistik melalui penubuhan NFCC wajar dilakukan. NFCC akan memberi impak positif kepada kerajaan untuk meningkatkan hasil negara dan mengekang ketirisan melalui operasi bersepadu," katanya kepada BeritaBenar.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Latheefa Koya pula berkata kerajaan sudah bergerak dalam landasan yang betul.
"SPRM komited untuk meneruskan usaha menghapuskan rasuah negara dengan mengambil langkah proaktif terutamanya dalam aspek pencegahan, menjadi lebih telus dan memperkenalkan mekanisma dalam pengurusan perlindungan terhadap pemberi maklumat,” kata beliau dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Bagaimanapun, kata Muhammad Mohan untuk bergerak kehadapan, Malaysia dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan perlu mempercepat pembaharuan institusi seperti menjadi SPRM lebih bebas, mempercepatkan rang undang-undang IPCMC, dan rang undang-undang pembiayaan politik untuk menghentikan politik wang selain mengemaskini perkembangan pembaharuan dan mendapatkan maklum balas daripada orang ramai,” katanya.