SRC: Mahkamah Rayuan Mula Pendengaran Kes Najib Razak

Panel tiga hakim tolak permohonan tangguh pendengaran kes Najib berhubung hukuman penjara dan denda oleh Mahkamah Tinggi.
Noah Lee
2021.04.05
Kuala Lumpur
SRC: Mahkamah Rayuan Mula Pendengaran Kes Najib Razak Bekas Perdana Menteri Najib Razak (tengah) hadir bagi mendengar rayuan sabitan dan hukuman penjara berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, 5 April 2021.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Mahkamah Malaysia pada Isnin yang mula mendengar rayuan kes melibatkan bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang memohon mengenepikan sabitan jenayah, penjara dan denda jutaan ringgit berhubung kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International, dengan barisan tiga hakim yang bersidang menolak permohonan untuk menangguhkan pendengaran tersebut.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil membuat keputusan sebulat suara bersama dua lagi hakim, Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak permohonan Najib itu selepas peguamnya Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mengenai bukti tambahan yang mahu dimasukkan dalam rayuan mereka.

Pada sidang mahkamah itu juga peguam tersebut memberitahu panel hakim terdapat salah laksana keadilan dalam kes Najib, dengan hakim Mahkamah Tinggi yang ditugaskan bagi perbicaraan berkenaan tidak mempunyai pengalaman mengendalikan kes jenayah.

"Kami sebulat suara dalam hal ini, Tiada alasan yang munasabah untuk menangguhkan pendengaran. Kami tidak membenarkan permohonan untuk penangguhan," kata Abdul Karim ketika menyampaikan keputusan itu seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia – Bernama.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib serta denda sebanyak RM210 juta ($49.3 juta) selepas mendapati beliau bersalah bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dakwaan bahawa beliau telah menerima secara haram RM42 juta (AS$9.67 juta) daripada SRC International Sdn Bhd, anak syarikat dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Hukuman tersebut bagaimanapun telah ditangguhkan oleh Mahkamah Tinggi, bagi memberi peluang kepada Najib untuk merayu kes di mahkamah yang lebih tinggi. Malaysia mengamalkan sistem kehakiman 'two-tier', di mana sesuatu kes mahkamah boleh dibawa ke dua peringkat tinggi untuk rayuan.

Berdasarkan dokumen yang difailkan oleh pihak pembelaan, kandungan rayuan Najib antara lainnya mendakwa bahawa pihak pendakwaan tidak berjaya membuktikan kes-kes terhadap beliau melampaui keraguan yang munasabah.

Shafee turut membangkitkan di Mahkamah Rayuan mengenai bukti-bukti baharu yang dikatakan boleh membantu pembelaan kes anak guamannya dengan memohon supaya mahkamah membenarkan kes ditangguhkan selama satu bulan.

Peguam itu juga memaklumkan bahawa pasukannya mempunyai bukti tambahan untuk dimasukkan dalam rayuan antaranya keterangan berkaitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Zeti Akhtar Aziz, dan beberapa bukti lain dari luar negara seperti dari New York dan Singapura.

Menurut Shafee, satu permohonan telah difailkan oleh Najib di mahkamah Amerika Syarikat bagi mendapatkan dokumen berkaitan kes Goldman Sachs bagi kegunaan pembelaan, walaupun hakim telah membenarkan supaya dokumen diberi kepada mahkamah, namun Jabatan Keadilan Amerika Syarikat telah memohon perintah supaya arahan tersebut dihentikan sementara (stay order).

"Jadi kami (pihak pembelaan) telah memberitahu mahkamah bahawa bukti ini akan datang. Saya menjangka dalam sebulan atau sebulan setengah dari sekarang akan memperolehinya. Bila dokumen ini tiba, saya boleh memfailkannya sebagai bukti tambahan dan saya telah cuba mendapatkannya sejak Nov lepas," tambah Shafee.

Tambah Shafee, dokumen-dokumen di New York itu bagaimanapun tidak diketahui pihak pembelaan semasa perbicaraan kes Najib berjalan di Mahkamah Tinggi sebelum ini, sambil mendakwa yang maklumat berkenaan telah dirahsiakan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan kerajaan negara itu.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram semasa prosiding tersebut membantah permohonan berkenaan dengan berkata pemohon seharusnya mengemukakan permohonan lebih awal sebelum pendengaran rayuan itu bermula.

“Tiada alasan yang sah untuk mereka meminta penangguhan. Kami berharap tiada lagi penangguhan dan memohon mahkamah untuk meneruskan kes,” katanya.

Najib telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya tentang mengapa beliau harus dibebaskan daripada kesemua pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram, menyalahgunakan kedudukan dan dijatuhi hukuman penjara dan di denda oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan pada 28 Julai tahun lepas.

Kes mahkamah melibatkan Najib, yang juga anak sulung Perdana Menteri kedua Malaysia itu adalah yang pertama kali bagi seorang Perdana Menteri dan Menteri Kewangan didakwa, disabitkan dan yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah, beliau pada masa ini masih bebas selepas membayar ikat jamin RM2 juta berserta dua penjamin sementara menunggu kes rayuannya selesai.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.