Rafizi Mengaku Tidak Bersalah Terhadap Tiga Pertuduhan
2016.04.08
Kuala Lumpur

Anggota Parlimen Pandan Rafizi Ramli mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di Kuala Lumpur pada Jumaat atas tiga tuduhan termasuk memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia berhubung Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) serta memfitnah Lembaga Tabung Haji.
Rafizi, 39 yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini ditahan reman untuk siasatan polis selama tiga hari selepas ditahan di luar bangunan Parlimen dibawah Akta Rahsia Rasmi pada Selasa lalu.
Beliau yang juga Setiausha Agung PKR mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Zulqarnain Hassan dan Majistret Mohd Rehan Mohd Aris secara berasingan.
Di Mahkamah Sesyen, Rafizi didakwa memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 Laporan Pengauditan 1MDB, yang diklasifikasikan sebagai rahsia oleh Kerajaan Malaysia, sekaligus menyekat penggubal undang-undang daripada mengambil keluar salinan laporan itu daripada Parlimen.
Beliau didakwa melakukan kesalahan tersebut di lobi Bangunan Parlimen pada 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan kedua ialah kerana mendedahkan kandungan laporan tersebut kepada pihak media di tempat yang sama pada 28 Mac lalu, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abbas memaklumkan kepada Hakim Zulqarnian, bahawa pihak pembelaan yang diketuai peguam R. Sivarasa, masing-masing bersetuju, dengan seorang penjamin, membayar wang jaminan bagi tertuduh sebanyak RM3,000.
Hakim itu kemudiannya menetapkan 29 April ini untuk pengurusan kes.
Sementara itu di Mahkamah Majistret pula, Rafizi didakwa menyiarkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji di laman webnya www.rafiziramli.com mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rafizi yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan di tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, pada 18 Feb.
Majistret Mohd Rehan membenarkan Rafizi diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan turut menetapkan 29 April untuk sebutan semula.
Beliau membayar kedua-dua wang jaminan itu.
Pada 7 Mac, Rafizi dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung memberi kenyataan palsu dan memfitnah dalam beberapa siri pendedahan skandal berkaitan Lembaga Tabung Haji.
‘Saman’
Rafizi melalui laman Twitter peribadinya @rafiziramli berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas sokongan dan doa yang diberikan.
Beliau dalam lamannya itu bercadang untuk menyaman Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar, yang menuduh Rafizi berlakon seperti sedang digari ketika ditahan reman.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Human Rights Watch Bahagian Asia Phil Robertson mengkritik penahanan Rafizi dan berkata laporan audit itu yang mengandungi maklumat prestasi kerajaan perlu didedahkan kepada umum dan dibahaskan di Parlimen.
“Malaysia perlu menyemak semula Akta Rahsia Rasmi supaya selari dengan piawaan hak asasi manusia antarabangsa dan berhenti menggunakan undang-undang OSA untuk menakutkan dan menganiaya pihak yang cuba menuntut kerajaan untuk bertanggungjawab terhadap tindakannya,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.