Malaysia: Anak Tiri Najib Setuju Pulangkan Jutaan Ringgit Wang Dana 1MDB

Hadi Azmi
2020.05.14
Kuala Lumpur, Malaysia
200514-MY-Court1000.jpg Riza Aziz, anak tiri bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak, tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di mana beliau bersetuju memulangkan jutaan ringgit wang daripada dana 1MDB, 14 Mei 2020.
(S.Mahfuz/BeritaBenar)

Pihak pendakwaan Malaysia pada Khamis menggugurkan pertuduhan pengubahan wang haram terhadap anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak dan pihak berkuasa agensi antirasuah berkata mereka telah mencapai persetujuan dengan defendan untuk mendapatkan kembali lebih seratus juta dolar yang digelapkan dalam skandal dana negara 1MDB.

Riza Aziz, 43, anak lelaki isteri Najib, Rosmah Mansor, hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di mana beliau bersetuju dengan jumlah penyelesaian yang dianggarkan sebanyak AS$107.3 juta (RM464.8 juta), menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Pihak pendakwaan dengan persetujuan tertuduh kini dengan hormatnnya memohon mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan tertuduh,” kata Ketua Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram kepada Mahkamah Sesyen, demikian menurut salinan kenyataan beliau di mahkamah yang kemudian dikongsikannya dengan pemberita.

Sekiranya terdapat pelaksanaan yang memuaskan daripada Riza bagi memenuhi perjanjian itu, maka langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya, kata beliau.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa teruduh mengikut undang-undang,” kata Gopal.

Mengikut terma-terma perjanjian itu, Riza akan memulangkan kepada kerajaan “sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit,” katanya kepada mahkamah. “Jumlah wang itu merujuk secara langsung kepada perkara utama dalam pertuduhan yang dikenakan dalam kes ini.”

Susulan perjanjian dengan defendan itu, “kerajaan Malaysia dijangka memperoleh semula aset-aset di luar negara yang terlibat dalam kesalahan ini,” menurut SPRM dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas perbicaraan kes itu. Aset terbabit dianggarkan bernilai RM$107 juta, kata suruhanjaya tersebut.

Bekas Peguam Negara Tommy Thomas, yang mengemukakan pertuduhan terhadap Riza berhubung kecurian wang berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mencabar suruhanjaya itu kerana menyatakan bahawa beliau telah bersetuju terhadap penyelesaian tersebut dengan defendan.

“Saya telah meletak jawatan 2½ bulan lepas dan sehingga tarikh itu, tiada persetujuan untuk menggugurkan pertuduhan terhadap Riza. Jadi, adalah tidak benar dan rekaan semata-mata untuk menyatakan bahawa saya telah bersetuju dengan keputusan itu,” kata Thomas kepada The Malaysian Insight. “Saya amat kecewa kerana SPRM telah mengeluarkan kenyataan yang palsu ini.”

Pada Julai 2019, Jabatan Peguam Negara yang diketuai Thomas telah mendakwa Riza dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan kira-kira AS$248.7 juta (RM1 bilion) daripada 1MDB. Riza yang dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1 juta (AS$230,000), telah mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang masing-masing membawa hukuman penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

Pada Khamis, peguam Hariharan Tara Singh berkata anak guamnya sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan.

“Kami amat berterima kasih kepada Jabatan Peguam Negara dan SPRM. Encik Riza amat berbesar hati untuk menunaikan kewajipannya kepada pihak berkuasa terbabit dan berharap untuk memulakan episod baharu dalam hidupnya,” kata peguam itu kepada BeritaBenar.

Penyelesaian di AS

Di Washington pada Khamis, Jabatan Kehakiman AS (DOJ) enggan mengulas cara Malaysia menyelesaikan kes itu.

Pada 2018, DOJ mengumumkan bahawa Red Granite Pictures, sebuah syarikat produksi yang diasaskan bersama oleh Riza, telah bersetuju membayar sejumlah AS$60 juta (RM260.4 juta) kepada kerajaan Amerika Syarikat bagi menyelesaikan satu kes saman yang mendakwa bahawa filem-filemnya, termasuk “The Wolf of Wall Street,” telah dihasilkan dengan menggunakan dana yang diseleweng daripada 1MDB.

Perjanjian pada Khamis berlaku seminggu selepas para pegawai kehakiman AS mengumumkan bahawa mereka telah mencapai satu persetujuan untuk mendapatkan kembali lebih AS$49 juta (RM212.6 juta) yang dikaitkan dengan dana 1MDB daripada Khadem al Qubaisi, bekas pengarah urusan International Petroleum Investment Co.

Penyelesaian itu, menurut DOJ, adalah tambahan kepada jumlah lebih AS$1 bilion (RM4.3 bilion) daripada aset 1MDB yang AS peroleh semula atau bantu untuk peroleh semula.

Najib telah menubuhkan 1MDB pada 2009 untuk mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dananya dihasratkan untuk digunakan bagi tujuan meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

1MDB sebaliknya telah menanggung hutang berbilion-bilion. Pada 2016, DOJ telah menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutunya menyeleweng dan melakukan pengubahan wang haram lebih AS$4.5 bilion (RM19.5 bilion) yang membabitkan dana 1MDB antara 2009 dan 2014.

Najib, yang berdepan sejumlah 42 pertuduhan jenayah, kini dibicarakan bagi kes membabitkan kesalahan menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB serta pertuduhan berkaitan skandal anak syarikat 1MDB iaitu SRC International. Beliau mungkin berdepan perbicaraan tambahan.

Ditangguhkan susulan pandemik COVID-19, perbicaraan kes 1MDB Najib dijadualkan disambung semula pada 19 Mei – 188 hari selepas tarikh perbicaraaan terakhir. Mahkamah dijangka terus mendengar keterangan daripada saksi utama, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, yang merupakan bekas pengerusi dan pengarah urusan 1MDB. Beliau mula memberi keterangan pada 23 Sept 2019.

Najib, yang turut berdepan perbicaraan membabitkan tujuh pertuduhan bagi kes penyelewengan RM42 juta ringgit (AS$9.67 juta) anak syarikat 1MDB iaitu SRC International, dijadualkan untuk hadir di hadapan Hakim Nazlan Ghazali pada 1 Jun yang ditetapkan oleh mahkamah bagi mendengar hujahan lisan.

Pada 11 Nov 2019, Nazlan telah mengarahkan Najib untuk membela diri selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan satu kes prima facie terhadapnya.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.