1MDB: Bekas Pegawai Bank Malaysia Dibebaskan Dengan Jaminan AS$1 Juta
2019.05.06
Washington & Kuala Lumpur

KEMASKINI pada 10.30 pagi waktu tempatan - 2019-05-07
Pihak berkuasa Amerika Syarikat [AS] pada Isnin meletakkan bekas pegawai bank Goldman Sachs di bawah tahanan rumah selepas beliau dibebaskan dengan jaminan wang tunai sebanyak AS$1 juta selepas diekstradisi dari Malaysia untuk berdepan pertuduhan berkaitan kes penyelewengan wang berbilion dolar daripada dana pelaburan negara 1MDB, kata seorang pegawai Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).
Rakyat Malaysia Roger Ng mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan selepas beliau hadir di sebuah mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York, kata Nicole Navas, seorang jurucakap DOJ, kepada BeritaBenar.
“Ng telah dibawa ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan itu petang ini di hadapan seorang hakim majistret di Daerah Timur New York,” kata Navas.
“Hakim majistret itu telah mensyaratkan ikat jamin terhadap Ng seperti berikut: bon berjumlah A$20 juta, dengan A$1 juta dalam bentuk deposit wang tunai,” katanya sambil menambah bahawa antara syarat jaminan Ng termasuk “tahanan di rumah dengan pemantauan elektronik.”
Sebagai syarat bagi pembebasan sementaranya, Ng, atau nama sebenar beliau Ng Chong Hwa, akan diletak di bawah pemantauan elektronik, kata Navas sambil menambah bahawa perjalanan rakyat Malaysia itu akan dihadkan kepada daerah timur dan selatan persekutuan New York.
Ng dijadualkan hadir di mahkamah pada pukul 10 pagi 23 Mei, katanya.
Persetujuan Khas Malaysia-AS
Ng tiba di New York pada awal Isnin selepas para pegawai DOJ dan Malaysia mengumunkan ekstradisinya secara berasingan.
Di Kuala Lumpur, Peguam Negara Malaysia Tommy Thomas sebelum itu memberitahu pemberita bahawa rundingan telah diadakan antara kedua-dua negara sebelum mencapai satu persetujuan agar Ng dihantar ke Amerika Syarikat selama 10 bulan, dalam satu langkah yang jarang dilakukan bagi membolehkan beliau berdepan pertuduhan jenayah di Amerika terlebih dahulu.
“Ini bagi membolehkan beliau didakwa di AS terlebih dahulu,” kata Thomas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.
Ng, yang diterbangkan dari Kuala Lumpur pada hujung minggu, akan turut berdepan pertuduhan bersubahat mencabul Akta Amalan Rasuah Asing AS (FCPA) dengan memberikan suapan kepada pelbagai pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi, serta berkomplot untuk mengelak kawalan perakaunan dalaman Goldman Sachs, menurut DOJ AS dalam satu kenyataan.
Peguam Ng, Marc Agnifilo, menyangkal laporan pada Isnin bahawa beliau telah berunding dengan pihak pendakwaan bagi tawaran membuat pengakuan salah untuk mendapatkan hukuman ringan.
“Kami tidak melakukan rundingan seperti itu,” katanya kepada Bloomberg pada Isnin meskipun mengakui bahawa anak guamnya akan “menimbangkan semua pilihan yang ada untuk setiap defendan.”
Dalam tiga pertuduhan yang didedahkan tahun lepas, Ng didakwa melakukan jenayah itu semasa bertugas sebagai seorang pengarah urusan di Goldman Sachs, yang mengatur penjualan tiga bon untuk mendapatkan dana lebih AS$6 bilion dalam bentuk bon bagi 1MDB pada 2012 dan 2013. Beliau bertugas di institusi kewangan yang beribu pejabat di New York itu sehingga tahun 2014.
Para pendakwa AS mendakwa bahawa pegawai atasan 1MDB serta sekutu mereka telah menyeleweng sejumlah AS $4.5 bilion daripada dana negara Malaysia dalam tempoh lima tahun bermula 2009, dan menggunakan wang itu untuk membeli hartanah di California dan New York, karya seni Picasso dan Monet, sebuah kapal layar mewah serta barangan kemas.
Skandal itu telah menyebabkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak tumbang dalam pilihan raya umum Malaysia tahun lepas. Najib, yang mengasaskan 1MDB, turut berdepan 42 pertuduhan jenayah berkaitan penyelewengan dana 1MDB. Beliau telah mengaku tidak bersalah.
“Sebagai sebahagian daripada skim itu, Ng serta yang lain telah berkomplot untuk memberi suapan kepada para pegawai kerajaan di Malaysia dan Abu Dhabi untuk memperoleh serta mengekalkan perniagaan yang menguntungkan,” menurut DOJ pada Isnin. “Mereka juga berkomplot untuk mengubah hasil aktiviti jenayah mereka menerusi sistem kewangan AS.”
Ng telah ditahan di Malaysia pada 1 Nov 2018, atas permintaan AS, dan kemudian dikecualikan daripada diekstradisi ke Amerika Syarikat, menurut kenyataan DOJ yang menambah bahawa beliau dijadual membuat penampilan sulung pada Isnin di hadapan Hakim Majsitret AS Peggy Kuo di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.
Ng adalah antara dua bekas pegawai bank Goldman yang didakwa oleh pihak pendakwaan AS. Jika didapati bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan, beliau berdepan hukuman maksimum penjara 30, menurut para pegawai DOJ.
Pada 7 Jun 2018, DOJ turut mengemukakan pertuduhan bersubahat terhadap Tim Leissner, bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, dan mendakwa bahawa beliau telah melanggar undang-undang anti-rasuah dan anti pencegahan pengubahan wang haram. Pada tarikh yang sama, Leissner mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan dan didenda sebanyak AS $43.7 juta.
Leissner, yang berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun, kini bebas dengan jaminan dan dijadual dijatuhkan hukuman pada 28 Jun, menurut para pendakwa AS.
Menteri Malaysia tandatangan waran penyerahan
Dalam satu keputusan yang berbeza pada 25 April, Menteri Dalam Negeri Malaysia Muhyiddin Yassin telah menandatangani “waran penyerahan sementara” Ng,” kata Thomas.
“Roger Ng telah diserahkan buat sementara waktu kepada AS pada 3 Mei 2019 dan hendaklah dihantar pulang ke Malaysia untuk berdepan pertuduhan yang akan kami kemukakan sebaik sahaja prosiding di AS selesai,” kata pendakwa raya Malaysia itu dalam satu kenyataan.
Ekstradisi sementara itu mungkin dilanjutkan atas persetujuan bersama kedua-dua negara, kata Thomas tanpa mengulas lanjut.
Prosiding perundangan terhadap Ng di Amerika Syarikat telah ditangguh kerana Muhyiddin berkata bekas pegawai bank itu perlu berdepan peruduhan jenayah di Malaysia terlebih dahulu, di mana beliau berdepan empat pertuduhan membantu bank tersebut menyediakan maklumat yang salah semasa penjualan bon 1MDB. Beliau telah mengaku tidak bersalah.
Dalam pertuduhannya yang diumumkan pada November 2018, DOJ AS telah mendakwa bahawa Ng dan rakyat Malaysia yang kini menjadi pelarian, Low Taek Jho, telah menyeleweng berbilion dolar dana agensi pelaburan Malaysia, 1MDB, yang ditubuhkan pada 2009 untuk membiayai program pembangunan negara. Para pendakwa berkata kedua-duanya bersama orang lain yang turut bersubahat telah mengubah wang itu menerusi transaksi kewangan yang kompleks.
Di Sydney, sebuah firma perhubungan awam Australia yang mewakili Jho Low telah mengeluarkan satu kenyataan pada lewat Isnin berkaitan ekstradisi Ng. Wells Haslem Mayhew Strategic Public Affairs telah menuduh kerajaan Malaysia “cuba menjalin kerjasama dengan AS kerana ia tidak berkongsi hak asas asasi manusia dan perundangan.”
“Meskipun Malaysia bersetuju dengan permohonan untuk mengecualikan estradisi terhadap Encik Ng pada Februari, pemimpin rejim pemerintahan ketika ini telah menarik balik keputusan itu dan mereka-reka konsep perbicaraan pantas,’ kata Benjamin Haslem, CEO bersama firma itu dalam kenyataan yang die-mel kepada BeritaBenar.
“Adalah tidak memeranjatkan perkara ini gagal apabila kerajaaan yang mempunyai motif politik memfokus semua usahanya untuk menganiaya pemerintah terdahulu dengan perbicaraan yang sengaja diada-adakan dan menyalah guna waran tangkap. Baguslah Encik Ng terselamat daripada keadaan penjara Malaysia yang tidak berperikemanusiaan dan satu proses yang dikawal oleh seorang pemimpin yang mempunyai sejarah sering menyalahgunakan sistem kehakiman untuk memusnahkan musuh politik,” kata Haslem.
Beliau merujuk kepada kerajaan berusia setahun pimpinan Perdana Menteri Mahathir Mohamad, yang sebelum ini pernah menjadi PM selama 22 tahun.
Para pendakwa berkata Goldman Sachs menerima kira-kira AS $600 juta sebagai bayaran selepas ia mengumpul lebih AS$6 bilion dalam penawaran bon bagi pihak 1MDB. Pihak berkuasa Malaysia sebelum itu berkata kerajaan berusaha mendapatkan ganti rugi sehingga AS$7.7 bilion daripada Goldman Sachs berkaitan skandal 1MDB.
“Kami terus bekerjasama dengan semua pihak berkuasa yang relevan ketika proses itu mencapai kemajuan,” kata Michael DuVally, seorang jurucakap Goldman, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.