Kanak-kanak Rohingya Saksikan Perlakuan Kejam

Jesmin Papri
2017.01.24
Cox's Bazar, Bangladesh
170123-BD-rohingya-620.jpg Kelihatan kanak-kanak Rohingya di Kem Kutupalong yang menempatkan pelarian tidak berdaftar di daerah Cox’s Bazar di tenggara Bangladesh, 18 Jan., 2017.
[Jesmin Papri/BeritaBenar]

Budak lelaki dan perempuan Rohingya yang berusia 11 dan 12 tahun menceritakan tentang kekejaman yang disaksikan mereka sehingga memaksa mereka untuk melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar sejak beberapa minggu lalu, dengan ada di antara mereka memberitahu BeritaBenar bahawa mereka melihat anggota keselamatan Burma membakar adik-beradik mereka hidup-hidup.

Seorang wartawan BeritaBenar menemuramah sekurang-kurangnya 19 orang budak semasa mengunjungi kem-kem pelarian di Cox’s Bazar, sebuah daerah di tenggara Bangladesh di mana kira-kira 65,000 umat Islam Rohingya telah melarikan diri ke situ dari negeri Rakhine sejak awal Oktober, menurut anggaran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Pihak tentera melibas abang saya sehingga mati, membakar rumah kami, dan menyeksa wanita," kata Tasmin Khatun, 11, dengan menggunakan istilah yang merujuk kepada merogol wanita.

"Kami bersembunyi di dalam hutan berdekatan. Saya masih merasa takut apabila saya memikirkan tentang hal itu. Saya tidak boleh tidur pada waktu malam, " kata budak perempuan Rohingya itu kepada BeritaBenar di Kem Kutupalong yang menempatkan pelarian tidak berdaftar di daerah kecil Ukhiya.

Pasukan keselamatan Myanmar telah dituduh melakukan kekejaman terhadap penduduk Rohingya, seperti pembunuhan disasarkan, rogol dan pembakaran rumah sambil menjalankan tindakan keras selepas pembunuhan sembilan pengawal sempadan Burma oleh suspek militan pada Oktober lalu.

Kerajaan Myanmar telah mempertahankan dirinya daripada kritikan meluas antarabangsa, dengan menafikan tenteranya melakukan penyalahgunaan kuasa sedemikian terhadap ahli-ahli minoriti Rohingya Islam yang tidak mempunyai negara.

Minggu lalu, BeritaBenar melaporkan bahawa 17 daripada 54 wanita Rohingya yang ditemui di kem-kem pelarian di Cox’s Bazar mendakwa anggota pasukan keselamatan Myanmar telah memperkosa mereka.

Dilempar ke dalam api

Seorang lagi budak Rohingya, Abdul Malek, yang ditempatkan di kem pelarian Leda di daerah kecil Teknaf berkata, beliau menyaksikan anggota keselamatan Myanmar melempar saudaranya ke dalam rumah keluarganya yang sedang terbakar.

"Tentera melemparkan kembar saya ke dalam api.... Mereka telah membunuh semua orang dengan melakukan kebakaran, " kata Abdul kepada BeritaBenar.

Beliau dan seluruh ahli keluarganya dapat melarikan diri dengan melompat masuk ke dalam sungai apabila pasukan keselamatan melepaskan tembakan terhadap mereka, dakwa Abdul.

Zohur Ali, 12, seorang pelarian di Kem Kutupalong, menceritakan kejadian yang sama dengan menyatakan bahawa anggota keselamatan merampas dua adik kecilnya dari pangkuan ibunya dan melemparkan mereka ke dalam rumah mereka yang dibakar.

Ibu Zohur, Rahima Khatun, 35, memberitahu BeritaBenar: "Zohur menangis walaupun ketika tidur. Saya tidak tahu bila dia akan pulih daripada keadaan ini.”

Nazim Uddin, 12, yang ibunya meninggal dunia semasa melahirkan anak beberapa bulan lalu, berkata, dia melihat bapanya dipukul dan ditangkap oleh anggota keselamatan Myanmar ‘beberapa hari yang lalu’ sebelum beliau, empat adik beradik dan seorang bapa saudaranya  melarikan diri dengan merentasi sempadan.

Dua daripada adiknya, Md Yeasin yang berusia 2 tahun dan Umme Salma yang berumur 4 tahun, yang sedang dibuainya, masih lagi trauma, kata Nazim kepada BeritaBenar.

Pengiraan akan dilakukan

Seorang pegawai agensi untuk pelarian PBB (UNCHR) di  Dhaka berkata, ia sedang berusaha untuk mengesahkan bahawa kira-kira 65,000 Rohingya telah tiba di tenggara Bangladesh sejak Oktober lalu.

Bilangan ini tidak termasuk sekurang-kurangnya 300,000 pelarian Rohingya yang tinggal di kem-kem di Cox’s Bazar tetapi membabitkan mereka yang melarikan diri daripada keganasan di negeri Rakhine tahun lalu.

"Bagi menentukan bilangan Rohingya yang baru tiba, kami telah menjalankan kaji selidik. Setakat ini, kami telah mendaftar seramai 12,000 pendatang baru termasuk 5,000 kanak-kanak, "kata pegawai UNHCR itu kepada BeritaBenar dengan syarat namanya tidak disiarkan.

Ali Hossain, Timbalan Pesuruhjaya daerah Cox’s Bazar, memberitahu BeritaBenar  bahawa kerajaan masih belum mengira bilangan Rohingya "yang baru memasuki Bangladesh." Kerajaan, bagaimanapun, sedang memberi  imunisasi kepada kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah di kem-kem itu dan memberikan mereka dos Vitamin A, katanya.

Md Alam, seorang pemimpin Block B di kem-kem Leda, berkata, pegawai mendapati sukar untuk memberi makan kepada semua kanak-kanak di kem-kem itu.

"Bilakah masanya masalah mental dapat ditangani," katanya kepada BeritaBenar.

"Kanak-kanak ini mengalami tekanan mental yang teruk apabila mereka berdepan dengan realiti yang dahsyat; kaunseling adalah satu kemestian untuk pemulihan mental mereka. Tetapi, manakah peluang itu? Ramai daripada mereka tidak mendapat makanan pun untuk terus hidup, "kata C.R. Abrar, seorang pakar dalam isu-isu pelarian dan profesor di Universiti Dhaka, kepada BeritaBenar.



Seorang bayi Rohingya sedang diberi vaksin di Kem Kutupalong, 18 Jan, 2017. [Jesmin Papri/BeritaBenar]

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.