Malaysia Beri Peluang Mangsa Pemerdagangan Manusia Bekerja
2015.06.16

Malaysia mengambil langkah untuk membolehkan semua mangsa pemerdagangan manusia bebas untuk bekerja di negara itu, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
“Kerajaan melihat mangsa pemerdagangan ini, perlu diberi peluang untuk membina dan menampung kehidupan mereka di Malaysia, katanya ketika menggulung perbahasan rang Undang-undang di Parlimen pada Selasa.
“Ini adalah satu langkah berani yang diambil kerajaan….. Sebelum ini, mangsa pemerdagangan manusia ditahan di kem-kem pelarian selama bertahun-tahun,” tambah beliau.
Katanya, sebelum ini, mereka tidak mempunyai hak untuk bekerja sebelum mendapat kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Kerajaan berharap mereka akan dapat perlindungan setimpal dengan apa yang dilalui,” katanya.
Pada 11 Mei lepas, pihak berkuasa Malaysia menahan seramai 1,018 orang mangsa pemerdagangan manusia terdiri daripada warga Islam Myanmar dan Bangladesh yang cuba mendarat dengan bot di Pulau Langkawi, di pantai barat laut Malaysia.
Peningkatan bilangan kemasukan mangsa pemerdagangan manusia melalui jalan air berlaku, apabila kerajaan Thailand mengambil tindakan tegas terhadap sindiket penyeludupan manusia, beberapa hari selepas penemuan mengerikan di mana puluhan kubur dijumpai di selatan Thailand.
Kesemua mangsa pemerdagangan manusia yang terdiri daripada warga Islam Rohingya dan Bangladesh, ditahan di Pulau Langkawi pada Mei lepas itu, kini ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik, Kedah.
Kebenaran selepas pinda akta
"Di depot tahanan, mereka diberi makan empat kali sehari dan sebanyak RM6.50 diperuntukkan untuk setiap seorang. Kita yakin mereka yang sakit akan pulih segera selepas diberi makanan dan rawatan yang diperlukan,” kata Wan Junaidi selepas melawat depot Belantik, pada 28 Mei lepas.
Beliau berkata keputusan membenarkan mangsa pemerdagangan manusia itu bekerja, diambil selepas persidangan Dewan Rakyat yang meluluskan pindaan Akta Permerdagangan Orang dan Anti-penyeludupan Migran (Pindaan) 2015, pada Selasa.
Katanya, langkah ini merupakan tindakan proaktif kerajaan dalam memenuhi tanggungjawab sosial terhadap mangsa pemerdagangan manusia.
Bagaimanapun beliau tidak menyatakan bilakah kebenaraan untuk bekerja itu akan berkuatkuasa.