Malaysia: Pelancaran Rondaan Laut Bersama Indonesia, Filipina Ditangguhkan

Ismira Lutfia Tisnadibrata & Colin Forsythe
2017.04.10
Jakarta & Kota Kinabalu
170410-ID-MY-patrols-620.jpg Pengawal pantai Filipina berlari kearah kapal baru yang ditauliahkan sebagai ‘Multi-Role Response Vessel BRP Malapascua’ yang akan dikerahkan ke wilayah Sulu bagi operasi menjejaki kumpulan Abu Sayyaf, 7 Mac, 2017.
AFP

Pelancaran Rondaan Maritim Bersama pada Selasa yang dirancang dalam usaha untuk membendung penculikan oleh militan Abu Sayyaf (ASG) di Laut Sulu dan Sulawesi telah ditangguhkan disebabkan Ketua Pertahanan Filipina tidak dapat menyertai rakan sejawatan dari Indonesia dan Malaysia pada majlis itu, kata pegawai.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein berkata, pelancaran itu telah dipindahkan ke satu tarikh yang akan ditentukan kemudian, kerana ketiga-tiga Menteri Pertahanan diperlukan untuk menandatangani perjanjian keselamatan tiga hala "dalam semangat persahabatan dan perpaduan."

Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana "telah diarahkan untuk mengiringi Presiden Filipina Rodrigo Duterte pada lawatan rasmi ke Timur Tengah dari 10 April hingga 16," kata Hishammuddin yang menjelaskan mengenai sebab penanguhan berkenaan.

Pegawai Malaysia dan Indonesia telah mengumumkan pada minggu lepas yang pelancaran akan diadakan di Pangkalan Tentera Laut Sandakan, Sabah. Jemputan turut telah dihantar kepada pemberita untuk membuat liputan dan pegawai Indonesia berkata, lima wartawan dari negara itu akan mengunjungi Malaysia.

Pelancaran berkenaan dilihat bakal mengakhiri perancangan hampir satu tahun untuk mengadakan rondaan bersama itu. Pada Mei 2016, menteri luar dari ketiga-tiga negara telah bersetuju untuk melancarkan rondaan bersama itu, diikuti sebulan kemudian dengan mesyuarat menteri pertahanan yang membincangkan rancangan tersebut. Menjelang November, seorang jurucakap Indonesia berkata satu siri halangan telah menyebabkan kepada kelewatan terhadap itu.

Menyeret kaki


Indonesia sebelum ini telah melewatkan pengesahan kehadirannya di Sandakan, sambil mencadangkan pelancaran rondaan bersama itu sepatutnya dibuat di Indonesia.

Jurucakap Tentera Indonesia Mej. Jen. Wuryanto telah mencadangkan rondaan bersama bermula di Tarakan, di wilayah Kalimantan Utara pada 20 April, kerana ramai daripada mangsa penculikan ASG adalah rakyat Indonesia.

"Kami akan menyesuaikan diri dengan plan perancangan setiap kementerian pertahanan," Wuryanto memberitahu BeritaBenar pada Isnin mengenai kelewatan itu. Indonesia masih boleh menjadi tuan rumah pelancaran berkenaan, katanya.

"Kami akan cuba jika ia tidak mustahil. Tetapi pada dasarnya ia boleh dibuat di mana sahaja, "kata Wuryanto.

ASG telah bertahun-tahun lamanya menculik dan menahan mangsa untuk wang tebusan, dan membunuh sebahagian daripada mereka. Pada Februari lepas, kumpulan militan berkenaan telah mengeluarkan satu video yang menunjukkan pemenggalan  kepala tebusan Jerman, Jurgen Kantner, selepas tarikh akhir untuk mendapatkan wang tebusan AS$ 600,000 (RM2.6 juta) berlalu.

Tahun lalu, militan ASG menyerang kapal-kapal di perairan antara pulau Borneo dan selatan Filipina yang mengakibatkan penculikan puluhan pelayar Indonesia dan Malaysia. Kesemua mereka telah dibebaskan, tetapi tujuh warga Indonesia masih dipercayai berada dalam tawanan ASG. Tebusan lain termasuk 13 warga Vietnam, seorang rakyat Belanda, Jepun dan tujuh rakyat Filipina.

Pada 2016, ASG mengaut sekurang-kurangnya $354.1 juta peso (AS$7.3 juta) wang tebusan yang dibayar untuk tebusan, laman web berita yang berpangkalan di Filipina Rappler.com melaporkan.

Pegawai Kementerian Luar Negeri Indonesia memberitahu BeritaBenar pada minggu lalu bahawa rancangan sementara bagi pelancaran rondaan bersama akan melibatkan kapal dari ketiga-tiga   negara untuk berkumpul di Tarakan, Indonesia, kemudian belayar ke Sandakan, Malaysia, dan seterusnya ke Bongao di Filipina.

"Ketiga-tiga lokasi adalah pangkalan tentera laut di setiap negara yang telah dikenal pasti sebagai pusat untuk memberi arahan dan diberi kuasa untuk mengeluarkan notis kepada pelaut jika terdapat serangan," Bebeb Djundjunan memberitahu BeritaBenar minggu lepas.

Lorenzana hanya menyentuh sedikit tentang rondaan bersama itu sejak tarikh pelancaran  dicadangkan dan diumumkan minggu lepas. Beliau memberitahu Financial Times bahawa rondaan akan "menjaga keselamatan pelayar yang menyusuri perairan itu selamat selain untuk menghalang pergerakan pengganas dari satu tempat ke tempat lain."


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.