Rosmah Sekali Lagi Didakwa, Najib Gagal Dalam Rayuan Kesnya

Radzi Razak & Hadi Azmi
2019.04.10
Kuala Lumpur, Malaysia
190410-MY-Rosmah1000.jpg Isteri bekas Perdana Menteri Rosmah Mansor meninggalkan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, selepas didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan baharu menerima rasuah 5 juta ringgit, 10 April 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Isteri bekas perdana menteri Rosmah Mansor berdepan satu lagi dakwaan baharu menerima rasuah 5 juta ringgit daripada pengarah urusan Syarikat Jepak Holdings Sdn. Bhd berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah pendalaman di Sarawak yang bernilai 1.25 bilion ringgit.

Beliau didakwa menerima suapan itu daripada Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya Rizal Mansor, sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan kontrak bagi Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Pertuduhan terbaru pada Rabu adalah yang ketiga bagi Rosmah, yang sekaligus menjadikan keseluruhan berjumlah 20 kesemuanya - 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram, lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah projek sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah yang nampak tenang di kandang tertuduh di Mahkamah Sesyen Jenayah 9, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Saya mengaku tidak bersalah dan minta dibicara,” kata beliau setelah pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Azura Alwi.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perenggan 16(a)(A) Akta Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta yang sama.

Jika didapati bersalah Rosmah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan, atau 10 ribu ringgit bergantung kepada mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar meminta mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak 1 juta ringgit terhadap Rosmah, kerana percaya pertuduhan baru itu merupakan kesalahan serius kerana dilakukan ketika Rosmah menjadi isteri perdana menteri.

Bagaiamanapun, Akberdin Abdul Kadir yang mengetuai pasukan peguambela Rosmah membantah jumlah tawaran wang jaminan yang dicadangkan kepada mahkamah oleh Mohd Dusuki, sebaliknya memohon kepada Hakim untuk membenarkan penggunaan pakai jaminan terdahulu iaitu 1 juta ringgit yang dikenakan ke atas Rosmah dalam dua pertuduhan sebelum ini.

Pada 4 Okt lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas 12 pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah lebih 7 juta ringgit dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada LHDN.

Bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatan, dia didakwa mengikut Seksyen 77(1) Akta Cukai Pendapatan 1967 untuk mengemukakan hasil pendapatan beliau bagi tahun taksiran 2013 hingga 2017 kepada Ketua Pengarah LHDN pada atau sebelum 30 April 2014, 2015, 2016, 2017 dan 2018 tanpa alasan munasabah mengikut Seksyen 112 undang-undang berkenaan.

Pada 15 Nov 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta 187.5 juta ringgit dan menerima 1.5 juta ringgit berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

“Anak guam saya seorang suri rumah jadi wang jaminan 1 juta ringgit itu terlalu tinggi. Wang jaminan tidak seharusnya menjadi hukuman terhadap tertuduh.

“Ia hanya untuk memastikan tertuduh hadir ke Mahkamah. Anak guam saya telah terbukti memberi kerjasama yang baik sejak awal prosiding kes lagi,” tambah Akberdin.

Hakim Azura bagaimanapun tidak meminta jaminan baru kerana jaminan 1 juta ringgit yang dibayar terdahulu sudah memadai.

Beliau juga menetapkan 10 Mei depan sebagai sebutan semula kes dan membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

‘Kebenaran telah terbukti’


Dalam pada itu, Rosmah yang selalunya mengelak petugas media pada Rabu turut memberi kenyataan akhbar kepada wartawan mengenai isu pembelian berlian merah jambu bernilai AS$27 juta yang didakwa daripada dana 1MDB yang menjadi kontroversi sebelum ini.

Menurut Rosmah, beliau gembira kerana kebenaran telahpun terbukti dan fitnah berkenaan hanyalah kerana suaminya merupakan pemimpin negara.

“Oleh kerana mereka percayakan fitnah yang disebarkan kepada saya, ini baru salah satunya (perkara), saya redha, saya faham suami saya merupakan seorang pemimpin negara.

“Jadi kalau apa yang beliau alami, saya pun terpaksa mengalami kerana saya isteri dia.

“Jadi saya sabar demi untuk kesejahteraan rakyat, demi untuk kesejahteraan negara, saya sabar saya akan hadapi apa juga dugaan yang Allah bagi pada saya,” kata Rosmah di lobi mahkamah sebelum berlepas pulang dengan sebuah kereta.

Semasa wawancara Program 101 East bagi stesen televisyen antarabangsa Al Jazeera, Oktober lepas, Najib Razak telah membuat pendedahan bahawa loket rantai berlian 22 karat berwarna merah jambu yang turut dikaitkan dalam siasatan skandal 1MDB, dibelikan oleh putera raja dari negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk Rosmah.

Najib menamakan putera berkenaan sebagai Sheikh Mansour Zayed, yang merupakan timbalan perdana menteri UAE dan naib pengerusi UAE's International Petroleum Investment Company.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak semasa hadir di Mahkamah Persekutuan di Putrajaya bagi mendengar keputusan permohonan tiga rayuan interlokutorinya berhubung kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi pemimpin tersebut, 10 April 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Rayuan Najib ditolak

Sementara itu, di Putrajaya, bekas Perdana Menteri Najib sekali lagi gagal dalam tiga rayuan interlokutori yang dipohonnya berhubung perbicaraan kes SRC International yang sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu.

Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Richard Malanjum membuat penghakiman dengan sebulat suara menolak rayuan itu yang sebelum ini turut ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Najib membuat rayuan terhadap perintah larangan media; perintah mendapatkan beberapa dokumen tambahan serta rayuan mengenai tindakan pendakwaan menarik balik sijil pindahan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah turut menolak keputusan Mahkamah Rayuan yang memerintah pendakwaan supaya mengemukakan surat pelantikan pendakwa ad hoc Sulaiman Abdullah kepada pihak pembelaan.

Ketika membacakan pengadilan tentang permohonan Najib untuk melarang media melaporkan kesnya, Ketua Hakim Negara berkata kes itu didengari oleh seorang hakim dan bukannya didengari oleh juri.

“Walaupun permohonan larangan media ini ditolak, perayu masih boleh mengambil tindakan undang-undang melalui undang-undang fitnah dan penghinaan,” kata Malanjum.

Hakim itu juga berkata, Najib tidak berhak untuk mendapatkan sebarang dokumen tambahan pada peringkat sekarang, sambil menambah, jika permohonan (Najib) dibenarkan, ia sama seperti menyerahkan keseluruhan kertas siasatan terhadap bekas perdana menteri itu.

Selain Malanjum, rayuan Najib itu turut didengari oleh Hakim Besar Malaya, Zaharah Ibrahim, Hakim Besar Sabah & Sarawak David Wong Dak Wah, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Ramly Ali, Tengku Maimun Tuan Mat, Idrus Harun and Nallini Pathmanathan.

Perbicaraan kes SRC International itu dijadualkan bersambung pada 15 April sehingga 10 Mei secara berterusan.

Sejak Julai tahun lepas, Najib telah beberapa kali dihadapkan di mahkamah dengan 42 pertuduhan jenayah dan Anggota Parlimen Pekan, Pahang itu mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.