Pengubahan Wang Haram: Isteri Bekas Perdana Menteri ditahan SPRM
2018.10.03
Putrajaya, Malaysia

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia, Rosmah Mansor, ditahan pada Rabu dan akan didakwa pada Khamis dengan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, demikian menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM Azam Baki mengesahkan penahanan Rosmah.
Rosmah, 66, ditahan pada pukul 3.20 petang ketika memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya. Beliau sebelum itu tiba di pejabat berkenaan pada 10.42 pagi dengan memakai baju kurung hijau dan selendang warna sama untuk memberi keterangan buat kali ketiga dalam tempoh tiga bulan berhubung kes yang mempunyai kaitan dengan pengubahan wang haram.
Pada 5 Jun lepas, beliau disoal siasat selama kira-kira lima jam berkaitan SRC International Sdn Bhd, anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pada 26 Sept pula, penyiasat SPRM mengambil keterangan hampir 13 jam sebelum Rosmah dibenarkan pulang.
Ini merupakan kali ketiga Rosmah dipanggil memberi keterangan kepada SPRM tahun ini.
Menurut kenyataan SPRM, Rosmah akan didakwa dengan beberapa pertuduhan pengubahan wang haram di bawah Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Aktiviti Keganasan 2001 (AMLA).
Isteri bekas perdana menteri itu ditemani peguam K. Kumaraendran dan Geethan Ram Vincent.
Kumaraendran, ketika ditemui pada 6.48 petang sebelum meninggalkan ibu pejabat SPRM, memberitahu media bahawa Rosmah dijangka dibawa ke mahkamah pada pukul 8 pagi Khamis.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa jumlah pertuduhan yang akan dihadapi Rosmah belum diketahui.
“Kami tidak diberitahu tentang kesemua pertuduhan, jadi kami tidak boleh memberitahu anda. Kami juga tidak pasti di mana beliau ditahan… Kita jumpa esok,” kata seorang peguam Rosmah kepada media.
Bagaimanapun, difahamkan Rosmah akan bermalam di lokap SPRM di Putrajaya iaitu di bangunan yang sama isteri bekas perdana menteri itu memberi keterangan kepada pihak berkuasa pada awal pagi.
Anak perempuan Rosmah, Nooryana Najwa, dalam laman istagram peribadi beliau meluahkan rasa kesal terhadap tindakan yang diambil oleh SPRM terhadap ibunya.
“Saya boleh menerima tindakan yang dikenakan kepada seorang lelaki yang pernah ada kuasa suatu ketika dahulu, tapi meletakkan wanita dalam hidupnya di dalam keadaan terancam, adalah melampau,” kata beliau merujuk kepada penahanan Rosmah dan tindakan menggeledah rumah neneknya dua minggu lepas.
Disoal siasat sama hari
Pada hari yang sama, suami Rosmah, Najib Razak turut disoal siasat selama tiga jam oleh unit pencegahan wang haram di bawah Jabatan Siasatan Komersial Polis Diraja Malaysia di Jalan Tun Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu tiba pada pukul 9.40 pagi dan berjaya mengelak lebih 50 pengamal media yang menunggu sejak awal pagi dengan mengakses bangunan melalui pintu masuk kedua.
Difahamkan, penyiasat unit pengubahan wang haram telah menyoal siasat Najib berkaitan skandal 1MDB dan transaksi kewangan sejak 2011.
Najib meninggalkan bangunan itu pada pukul 1 petang menggunakan pintu masuk kedua bagi mengelak media.
Dalam laporan terdahulu, Jabatan Siasatan Komersial dikatakan akan memanggil Najib dan Rosmah untuk memberi keterangan.
Pada 22 Mei, Najib dipanggil buat pertama kali untuk memberi keterangan oleh SPRM.
Dia telah disoal siasat selama 4 jam berkaitan siasatan terhadap transaksi kewangan melibatkan SRC International Sdn Bhd.
Dua hari kemudian, beliau diminta hadir sekali lagi untuk disoal siasat. Rakaman percakapan berlangsung selama tujuh jam.
Selepas itu, Najib telah didakwa dengan 32 pertuduhan di bawah AMLA serta Akta SPRM, dan buat masa ini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM4.5 juta.
Pihak berkuasa juga berkata Najib bakal berdepan lebih banyak pertuduhan pada masa akan datang.
Kes Shafee pindah ke Mahkamah Tinggi
Sementara itu, pada Rabu Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azman Abdullah telah membenarkan permohonan Peguam Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili bekas perdana menteri Najib untuk memindahkan perbicaraan kes pengubalan wang haram yang melibatkan peguam itu sendiri, untuk didengar oleh Mahkamah Tinggi dan bukannya Mahkamah Sesyen.
Terdahulu itu, pendakwaan yang dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaraya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan Muhammad Shafee untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.
Muhammad Shafee, 66, diwakili oleh peguam Harvinderjit Singh, hadir di mahkamah pada Rabu, seperti yang dilaporkan oleh akhbar tempatan.
Peguam bekas perdana menteri itu telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis, dengan empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM9.5 juta dan dua lagi pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 pada 13 September lepas.
Shafee bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi dengan mahkamah menetapkan jaminan tunai sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin kepada peguam itu serta turu mengarahkan pasportnya itu diserahkan kepada mahkamah.