Perbicaraan kes pengubahan wang haram AS$1.5 juta isteri bekas PM bermula

Rosmah Mansor telah didakwa dengan 17 pertuduhan pengubahan wang haram serta mengelak membayar cukai semasa suaminya menjadi Perdana Menteri.
Noah Lee
2023.08.24
Kuala Lumpur
Perbicaraan kes pengubahan wang haram AS$1.5 juta isteri bekas PM bermula Rosmah Mansor (berbaju kuning) isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mengikuti perbicaraan kes pengubahan wang haram serta mengelakkan membayar cukai, 24 Ogos, 2023.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Rosmah Mansor telah memasukkan sejumlah besar ke dalam akaun banknya di antara tahun 2013 dan 2017 walaupun isteri kepada bekas Perdana Menteri Malaysia itu tidak mempunyai sebarang pekerjaan, kata pihak pendakwaan pada hari pertama perbicaraan kes pengubahan wang haram terhadap wanita itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Rosmah berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan sejumlah RM7 juta (AS $1.5 juta) yang dimasukkan di dalam akaun bank miliknya, selain lima lagi pertuduhan atas kesalahan mengelak daripada membayar cukai.

Perbicaraan terhadap isteri bekas isteri Perdana Menteri Najib Razak itu bermula pada pagi Khamis di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi K. Muniandy setelah lima tahun didakwa.

Timbalan Pendakwa Raya Akram Gharib yang membacakan kenyataan pembukaan pihak pendakwaan berkata jumlah wang yang didepositkan ke dalam akaun Rosmah tidak sepadan dengan kemampuannya sebagai seorang yang tidak bekerja.

"Pada kesemua masa yang berkenaan dengan dakwaan terhadapnya di mahkamah ini, tertuduh tidak mempunyai pekerjaan yang bergaji. Oleh itu, tertuduh tidak mempunyai sebarang sumber kewangan yang sah secara sendiri.

"Akan tetapi, dalam tempoh masa berkenaan, tertuduh telah memasukkan sejumlah besar wang ke dalam akaun semasa miliknya di Affin Bank Berhad. Jumlah wang yang didepositkan tidak sepadan sama sekali dengan kemampuan tertuduh," kata Akram.

Selain kes pengubahan wang haram dan mengelak cukai yang bermula pada Khamis itu, Rosmah juga telah dijatuhkan hukum penjara 10 tahun pada September tahun lepas, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati beliau bersalah menerima rasuah ketika pemerintahan suaminya.

Wanita itu turut dikenakan hukuman denda berjumlah RM970 juta (AS$216 juta) atas kesalahan meminta dan menerima rasuah sebagai balasan kerana membantu sebuah syarikat mendapatkan kontrak kerajaan.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman terhadap wanita tersebut ditangguhkan sementara menunggu proses rayuan. Kes berkenaan kini sedang didengar di Mahkamah Rayuan.

Tidak maklum LHDN

Semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi itu, pihak pendakwaan telah memaklumkan yang Rosmah telah menggunakan khidmat seorang individu bernama Roslan Sohari - yang merupakan pengurus kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya pada masa itu untuk mendepositkan wang ke dalam akaun miliknya.

Akram berkata, isteri bekas Perdana Menteri itu juga tidak pernah memaklumkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri mengenai wang diterimanya sepertimana dikehendaki undang-undang serta tidak pernah membayar sebarang cukai ke atas wang berkenaan, sekaligus melanggar Akta Cukai Pendapatan 1967.

Mahkamah juga mendengar bahawa Rosmah telah menggunakan wang dalam akaun bank tersebut bagi kegunaan peribadi serta keluarganya, termasuk membayar bil-bil kad kredit mereka.

"Wang yang didepositkan ke dalam akaun kemudiannya telah digunakan oleh tertuduh untuk membayar bil-bil telefon serta kad kredit yang digunakan olehnya dan ahli keluarga. Tertuduh melakukan pembayaran menggunakan cek-cek yang ditandatanganinya," kata Akram.

Pada hari yang sama, Mahkamah Tinggi juga mendengar keterangan daripada dua saksi pihak pendakwaan mengenai transaksi kemasukan wang ke dalam akaun milik Rosmah, menurut laporan media tempatan.

Saksi pertama pendakwaan, pegawai Affin Bank bernama Nor Ashikin Abdullah dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa kesemua wang yang dimasukkan ke dalam akaun milik Rosmah dalam kes berkenaan telah didepositkan melalui mesin deposit wang di lima cawangan bank.

Nor Ashikin yang merupakan Penolong Pengurus Perkhidmatan Mesin Wang Pengeluaran Automatik dan Sokongan Affin Bank berkata, kesemua transaksi deposit itu telah berlaku di antara 13 Oktober 2014 dan 8 Jun 2017.

Saksi pendakwaan kedua, Faizal Shamsuddin pula memberitahu mahkamah mengenai kejadian di mana beliau pernah membantu Roslan Sohari untuk mendepositkan wang tunai ke dalam akaun Affin Bank milik Rosmah.

Bekas pegawai operasi di kompleks kediaman perdana menteri itu berkata beliau telah mengikut arahan Roslan untuk menyerahkan satu sampul surat berisi wang dan tertera nombor akaun Rosmah kepada seorang pegawai di Affin Bank bagi tujuan pendepositan.

"Roslan meminta saya untuk menyerahkan sampul surat berisi wang tunai kepada pegawai di Affin Bank untuk menguruskan deposit berkenaan.

"Pada hari sama, saya menyerahkan sampul surat berkenaan kepada seorang pegawai perempuan di Affin Bank, cawangan Bangunan Getah Asli, Kuala Lumpur, untuk didepositkan ke dalam akaun bank Rosmah," kata Faizal kepada mahkamah, seperti dilaporkan akhbar Berita Harian.

Perbicaraan bersambung 7 September.

Najib, yang merupakan Perdana Menteri keenam Malaysia, kini sedang menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan pada tahun lepas menolak rayuan terakhir beliau dalam kes membabitkan sebuah anak syarikat dana pelaburan negara yang bermasalah 1Malaysia Development Berhad.

Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.