Polis Malaysia: Tiga Nelayan Diculik di Perairan Sabah
2018.12.11
Kota Kinabalu, Malaysia

Polis Malaysia pada Selasa mengesahkan tiga nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Pegasus Reef di Kinabatangan di Sabah minggu lepas telah diculik dan dibawa lari ke Filipina oleh penculik.
Pengesahkan mengenai penculikan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah selepas isteri salah seorang daripada nelayan berkenaan menerima panggilan telefon menyatakan yang suaminya telah diculik.
Ketiga-tiga nelayan yang dilaporkan hilang pada 6 Dis lepas dikenali sebagai Heri Ardiansyah, Hari Abdullah dan Hariadin.
Seorang daripada mereka adalah rakyat tempatan manakala dua lagi dipercayai nelayan asing. Polis bagaimanapun enggan mengesahkan kerakyataan dua lagi nelayan asing yang diculik itu.
“Tekong rakyat asing telah menghubungi isterinya yang berada di Sandakan [Sabah] untuk menyampaikan berita penculikan mereka,” kata Omar kepada BeritaBenar sambil menambah pemanggil menggunakan nombor telefon antarabangsa.
“Lelaki itu memberitahu isterinya bahawa dia telah diculik dan dibawa ke satu lokasi di Filipina tetapi tidak diketahui di mana lokasi sebenar mereka, dan tidak menyebut mengenai sebarang wang tebusan kepada isterinya, yang kemudiannya membuat laporan polis di Sandakan,” kata Omar.
Pesuruhjaya Polis Negeri itu berkata, isteri mangsa dijangka menerima panggilan lagi daripada penculik yang kali ini akan menuntut wang tebusan.
Ketiga-tiga nelayan tersebut dilaporkan hilang selepas bot mereka dijumpai terbiar di perairan sekitar Kinabatangan yang menguatkan lagi jangkaan bahawa mereka telah diculik penjenayah dari selatan Filipina.
Pihak berkuasa menjumpai bot berkenaan selepas berlakunya serangan oleh lelaki bertopeng dan bersenjatakan senapang ke atas sebuah lagi bot tunda di kawasan yang sama yang sekaligus memperkukuhkan lagi dakwaan kumpulan sama telah melakukan serangan ke atas tiga nelayan yang hilang.
Dalam kejadian sebelum itu, tekong bot telah melepaskan tembakan menggunakan “flare gun” ke arah penjenayah menyebabkan mereka melarikan diri menggunakan bot laju.
Sebelum melarikan diri, penculik juga dipercayai telah melepaskan tembakan menggunakan senjata jenis M16 ke arah bot tunda sehingga mencederakan tekong.
Pada 11 Sept lepas, dua nelayan Indonesia telah diculik dari bot tunda mereka di sekitar perairan Semporna, Sabah. Penculik kemudiannya menghubungi keluarga kedua mangsa dan majikan mereka dan meminta wang tebusan sebanyak 1 juta ringgit.
Tiada maklumat lanjut diterima sebelum satu kenyataan dikeluarkan oleh pihak tentera Filipina pada Khamis lepas yang menyatakan kedua-dua mangsa telahdiselamatkan apabila mereka berjaya melarikan dari dari kepulauan Jolo di selatan Filipina.
Modus operandi sama
Menurut pakar keselamatan serantau, satu modus operandi yang telah lama digunakan oleh penculik memaksa mangsa menghubungi ahli keluarga atau penculik sendiri menghubungi keluarga mangsa untuk mendapatkan wang tebusan.
“Perlu diketahui bahawa penculik mungkin memerlukan masa untuk mengumpul maklumat berkenaan status kewangan mangsa yang diculik,” kata pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah Lai Yew Ming kepada BeritaBenar.
Lai berkata ‘flare gun’ perlu dilengkapkan di dalam setiap bot untuk keselamatan dan untuk memudahkan usaha menyelamat.
“Sudah tentu “flare gun” tidak boleh digunakan sebagai senjata untuk menyerang tetapi sebagai satu langkah keselamatan untuk menarik perhatian ketika berdepan dengan kegelapan di lautan, dalam usaha mencari dan menyelamat,” kata beliau.
Lai turut menambah, mungkin lebih sukar untuk bot nelayan membawa senjata api memandangkan undang-undang Malaysia yang tidak membenarkan pemilikan senjata api kepada orang awam, tetapi ini adalah satu langkah proaktif yang boleh membantu pasukan keselamatan marin.
Menurut seorang lagi pakar keselamatan Sabah, lanun-lanun mungkin akan terus membuat tuntutan walaupun kerajaan mengamalkan dasar tidak memberikan tebusan
“Duit adalah isu utama di sini. Saya amat yakin penculik akan meminta wang tebusan. Inilah motif mereka,” kata pensyarah Universiti Malaysia Sabah Ramli Dollah kepada BeritaBenar.
Beliau turut percaya, berdasarkan pengalaman lalu, keluarga mangsa akan mencuba sedaya upaya untuk membayar duit tebusan.
Berkenaan pengunaan ‘flare gun’ sebagai langkah keselamatan, Ramli meragui keberkesanan alatan itu dalam menangani masalah lanun di Sabah dengan menambah penggunaan senjata api oleh nelayan tidak sesuai kerana mereka tidak dilatih untuk menggunakannya.
Lautan Celebes-Sulu di antara sempadan Malaysia dan Filipina merupakan zon panas bagi aktiviti lanun. Tahun 2000 merupakan tahun yang menjadi perhatian apabila kumpulan Abu Sayyaf menculik 12 orang pekerja dan pelancong di sebuah resort terkemuka di Pulau Sipadan.
Pada tahun 2013, pemberontak Sulu dari selatan Filipina telah menyerang Lahad Datu dalam usaha untuk mengambil kembali sebahagian daripada Sabah sebagai milik mereka yang telah mencetuskan pertempuran selama enam minggu. Ramai pemberontak dan anggota keselamatan terkorban dalam kejadian tersebut.
Atas sebab itu, kerajaan Malaysia telah menggazetkan keseluruhan timur Sabah sebagai kawasan zon keselamatan bagi melindungi perairan Sabah.