Pemerhatian Rapi di Perairan Sempadan Sabah dan Filipina

Colin Forsythe
2017.06.13
Kota Kinabalu, Sabah
170613-PH-marawi-620.jpg Kepulan asap tebal selepas bom digugurkan daripada pesawat tentera Filipina yang mengenai sasaran di bandar Marawi di selatan Filipina, 12 Jun, 2017.
[Mark Navales/BeritaBenar]

Perairan sempadan antara Sabah dan Filipina telah diletakkan dalam pemerhatian rapi kerana terdapat kebimbangan militan dari Filipina cuba memasuki Sabah selepas mencetuskan keganasan di Marawi, kata pegawai keselamatan yang berpangkalan di Sabah.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabar [ESSCom] Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata terdapat kebimbangan yang semakin meningkat tentang kemungkinan militan Negara Islam dari Filipina yang sedang bertempur dengan pihak tentera negara itu cuba melarikan diri ke Sabah, Malaysia atau Indonesia.

“Kita bimbang pada masa yang sama terdapat juga ‘bala’ tentera IS yang cuba melepaskan diri dari selatan Filipina, dan menyelinap masuk ke Sabah.

“Setakat ini tiada rakyat Filipina cuba menyelinap masuk ke Sabah atau sebaliknya dan kami sentiasa bekerja rapat dengan rakan kami dari Filipina dalam mencegah pencerobohan perairan negara masing-masing,” kata beliau kepada media di Kota Kinabalu pada Selasa.

Wan Abdul Bari berkata, Tentera Laut DiRaja Malaysia [TLDM] telah menempatkan kira-kira 15 buah kapal peronda laut di lokasi strategik dan truut mengadakan rondaan bersama di antara Polis Marin Malaysia dan Filipina di tempat yang dikenalpasti di perairan kedua-dua negara yang sekaligus menghentikan pergerakan manusia.

Beliau menambah, sepanjang tempoh enam bulan, pasukan Marin dari kedua-dua negara telah menjalankan lima rondaan bersama dan telah bertemu tidak kurang daripada 15 kali di laut untuk bertukar-tukar maklumat.

“Kami juga memantau perkembangan terkini di Marawi, selain bertemu rakan dari Indonesia untuk bertukar maklumat rondaan,” tambah Abdul Bari.

Pertempuran di Marawi meletus pada 23 Mei lalu selepas Isnilon Hapilon, komander Abu Sayyaf yang dianggap sebagai pemimpin cawangan IS di Filipina, dikesan di bandar itu.

Presiden Filipina Rodrigo Duterte telah mengisytiharkan undang-undang tentera di selatan negaranya selepas kumpulan militan mengambil alih sebahagian besar Marawi, yang menunjukkan kumpulan berkaitan IS telah dapat menawan wilayah di luar Syria dan Iraq buat pertama kalinya. Tentera Filipina berusaha merampas semula sebahagian besar Marawi, yang ditinggalkan para penduduknya, daripada pihak militan namun ia nampaknya mengambil masa lebih lama daripada yang dijangkakan.

"Kumpulan itu menawan Bandar Marawi ... membuktikan potensi mereka untuk menjadikan Mindanao sebagai wilayah (daerah) ISIS bagi para militan Asia Tenggara," kata Kementerian Dalam Negeri Singapura dalam satu laporan yang menilai ancaman keganasan di Asia Tenggara. Ia dikeluarkan awal bulan ini dan merujuk IS dengan akronim lain.

Pada Jun 2016, IS mengeluarkan satu video propaganda yang menunjukkan seorang rakyat Filipina, seorang warganegara Indonesia dan seorang rakyat Malaysia muncul bersama-sama untuk menggesa umat Islam supaya berjuang di Syria atau Filipina.

"Jika anda tidak boleh pergi ke [Syria], sertai kami dan pergilah ke Filipina," kata ahli IS Malaysia, Rafi Udin, dalam video 20 minit itu.

Beliau juga menggesa penyokong IS di tanah air supaya menggunakan sebarang cara untuk membunuh orang bukan Islam dan mereka yang tidak beriman "di mana sahaja anda bertemu dengan mereka."

Mindanao terletak berhampiran Sabah, di mana pihak berkuasa tempatan memberi amaran pada Januari lalu bahawa sel-sel yang mempunyai kaitan dengan IS merancang untuk menjadikan Sabah sebagai pusat transit untuk menghantar para pejuang ke selatan Filipina.

Sebelum ini, angkatan tentera Malaysia telah mengerahkan aset-asetnya ke Sabah, termasuk bot-bot rondaan, untuk melindungi 'kawasan yang dikenal pasti sebagai terdedah kepada anasir-anasir dari selatan Filipina".

Laut yang memisahkan selatan Filipina dari  Malaysia Timur dan Indonesia juga bergolak sejak 2016 dengan aktiviti lanun dan penculikan pelayar  kapal-kapal perdagangan oleh anggota bersenjata Kumpulan Abu Sayyaf.

Sejak tahun lepas, ketiga-tiga negara berjiran itu berikrar untuk melancarkan rondaan bersama dengan matlamat untuk melindungi kapal-kapal daripada serangan serupa tetapi rondaan bersama itu telah beberapa kali ditangguhkan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.