PRU Malaysia berpotensi sebabkan kerajaan bayangan Myanmar kehilangan sekutu terbesar
2022.10.13
Kuala Lumpur

Pilihan Raya Umum Malaysia yang bakal diadakan tidak lama lagi berkemungkinan menyebabkan kerajaan bayangan Myanmar kehilangan sekutu terkuat mereka - Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah.
Saifuddin adalah Menteri Luar ASEAN pertama yang memulakan usaha untuk berhubung dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), iaitu kerajaan bayangan Myanmar, serta mengadakan perjumpaan secara terbuka dengan Menteri Luar NUG dan menggesa blok serantau itu supaya terlibat secara aktif dalam usaha tersebut.
Bagaimanapun, memandangkan ramai penganalisis percaya parti Saifuddin mempunyai peluang yang tipis untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 Malaysia, persoalan kini timbul sama ada kerajaan yang bakal dibentuk selepas pengundian akan terus aktif dalam usaha menyokong pemimpin demokrat Myanmar yang digulingkan junta tentera pada 2021.
Saifuddin sebelum ini begitu aktif mendesak ahli Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya melibatkan pemegang taruh lain bagi mencari solusi terbaik untuk menyelesaikan krisis di Myanmar, kata Thomas Benjamin Daniel, penganalisis kanan Polisi Luar di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia.
"Beliau adalah seorang menteri progresif yang sentiasa menyokong objektif kemanusiaan dan demokratik serta begitu lantang dalam menggesa kerajaan junta dipertanggungjawabkan bagi semua tindakan mereka," katanya kepada BenarNews.
"Sekiranya Saifuddin tidak lagi menjadi Menteri Luar, kita akan melihat Malaysia mendiamkan diri (dalam hal ini)."
Sejak dilantik sebagai Menteri Luar pada Ogos 2021, Saifuddin telah mendesak ASEAN supaya memberikan reaksi yang lebih signifikan terhadap isu Myanmar dan seterusnya tampil sebagai diplomat utama dalam usaha menyelesaikan krisis," kata Daniel.
Melalui usaha diplomasi beliau, Malaysia pada April lepas menjadi negara ASEAN pertama menjalin hubungan rasmi dengan NUG, yang dianggap sebagai kerajaan sah Myanmar yang kini dalam buangan. Sebulan selepas itu, Saifuddin telah mengadakan perjumpaan secara bersemuka dengan Zin Mar Aung, rakan sejawatnya daripada NUG di Washington selepas Sidang Kemuncak AS-ASEAN berakhir.
Saifuddin juga adalah diplomat pertama ASEAN yang mencadangkan supaya blok serantau itu mengetepikan konsensus lima perkara (K5P) yang dipersetujui bersama Myanmar untuk mengembalikan demokrasi ke negara berkenaan kerana kerajaan junta tidak mengambil apa-apa tindakan bagi mencapai tujuan consensus tersebut.
"Sehingga hari ini, K5P belum menunjukkan kemajuan yang nyata. Keganasan berterusan malah semakin teruk. ...Ia menunjukkan junta mempermainkan K5P, " menurut Saifuddin dalam kenyataan di laman Facebook pada Julai lepas.
Semasa berada di New York bulan lepas, Saifuddin berkata Kuala Lumpur bercadang mendesak ASEAN supaya membuat keputusan berhubung nasib K5P mengenai Myanmar sebelum blok itu mengadakan sidang kemuncak pada 8 hingga 13 Nov di Phnom Penh.
"Dalam tempoh antara sekarang hingga November, ASEAN mesti melihat semula secara serius sama ada konsensus lima perkara itu masih relevan dan memutuskan sama ada ia masih relevan," katanya kepada pemberita selepas bertemu pemimpin pembangkang Burma sehari sebelum Perhimpunan Agung PBB.
"Apabila kita bertemu November nanti, kita mesti membincangkan isu yang rumit ini dan mempunyai jawapannya."
Saifuddin bagaimanapun tidak akan menghadiri sidang kemuncak ASEAN itu, kata setiausaha akhbarnya kepada BenarNews pada Khamis.
Ia kerana Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob telah membubarkan Parlimen pada 10 Okt lepas dan menyebabkan kerajaan pimpinan beliau serta para menteri kini berfungsi sebagai kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan.
'Setiap menteri punya gaya berbeza'
Daniel dari ISIS Malaysia berkata setakat ini, kedudukan Saifuddin dalam Kabinet atau sebagai Ahli Parlimen selepas pilihan raya belum dapat dipastikan.
Saifuddin adalah ahli parti BERSATU pimpinan bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang dianggap sesetengah pihak sebagai pengkhianat kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada 2020, kira-kira 22 bulan selepas ia diundi untuk membentuk kerajaan.
Penganalisis politik Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura percaya imej Muhyiddin itu akan menyebabkan BERSATU kehilangan banyak pengundi.
"Sukar bagi mereka untuk mempertahankan kerusi mereka," katanya kepada BenarNews.
"Mengkhianati mandat rakyat adalah satu kesalahan yang amat berat di mata pengundi yang celik (demokrasi)."
Seorang penganalisis politik Jeniri Amir pula berkata BERSATU juga tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.
"Secara amnya, BERSATU ialah sebuah parti yang lemah. Jika kita lihat keadaan akar umbi parti itu, mereka sudah tentu akan kalah dalam pilihan raya umum," kata Jeniri, yang merupakan felo kanan Majlis Profesor Malaysia, kepada BenarNews.
"Saifuddin berkemungkinan besar tidak akan menjadi ahli pentadbiran dalam kerajaan baharu walaupun sekiranya beliau menang kerusi Parlimen."
Mengenai persoalan sama ada menteri luar yang baharu akan meneruskan usaha Saifuddin dan mengekalkan hubungan dengan NUG, seorang bekas menteri luar Malaysia percaya perkara itu akan dilakukan.
"Polisi ini akan diteruskan walaupun cara ia disampaikan mungkin berlainan," kata bekas diplomat tertinggi Malaysia, Syed Hamid Albar.
"Sudah tentu dalam menguruskan polisi luar, setiap menteri mempunyai cara mereka yang tersendiri."'
Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.