Dua Rakyat Malaysia Cedera Dalam Serangan Masjid di New Zealand
2019.03.15
Washington

KEMASKINI pada 2.00 petang waktu tempatan - 2019-03-15
Dua rakyat Malaysia cedera dalam kejadian serangan pengganas di dua masjid di Christchurch, New Zealand, dan kini sedang dirawat di hospital negara itu, kata Kementerian Luar Negeri dengan Perdana Menteri berkata Malaysia akan mengambil segala langkah memastikan rakyatnya selamat.
“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terbunuh. Bagaimanapun dua rakyat Malaysia cedera dalam insiden itu dan kini dirawat di hospital,” kata Kementerian Luar Negeri, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad dalam muat naik di laman media sosial Facebook beliau pada Jumaat berkata, “Saya amat kesal dengan kejadian di Christchurch di mana 40 orang ditembak mati oleh pengganas di dua masjid ketika mereka sedang menunaikan solat Jumaat.
“Kami amat dukacita dan simpati dengan mangsa dan keluarga yang terlibat dalam kejadian tembakan itu,” katanya sambil berharap kerajaan New Zealand akan menangkap para pengganas terlibat serta mengambil tindakan yang perlu mengikut undang-undang negara berkenaan.
Laporan media negara itu berkata seorang penembak melepaskan tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch ketika orang ramai sedang menunaikan solat Jumaat dan melakukan satu lagi serangan di sebuah lagi masjid di lokasi berhampiran di Pulau Selatan negara itu.
Serangan di kedua-dua lokasi itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 49 orang manakala berpuluh-puluh lagi cedera, termasuk dua rakyat Malaysia.
Polis New Zealand dilaporkan berkata, sekurang-kurangnya 41 orang terbunuh di Masjid Avenue Deans dengan tujuh lagi terbunuh di Masjid Linwood di bandar itu dengan seorang mangsa meninggal dunia di Hospital Christchurch.
Seramai 48 orang lagi sedang dirawat di hospital kerana mendapatkan luka dari tembakan, kata pegawai kesihatan negara itu.
Polis juga telah menahan tiga lelaki dan seorang wanita selepas kejadian itu tetapi kemudiannya berkata satu daripada tangkapan itu tidak berkaitan dengan tembakan tersebut.
Wisma Putra dalam kenyataannya itu juga berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keganasan yang tidak berperikemanusiaan ke atas orang awam yang tidak bersalah dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington sentiasa berhubungan dengan rakyat Malaysia di Christchurch dan memantau rapi keadaan tersebut.
Keluarga tidak jangka
Sementara itu, ibu seorang rakyat Malaysia, Rahimi Ahmad, yang cedera dalam serangan itu Rokiah Mohamad tidak menjanka yang serangan berkenaan boleh berlaku di taman perumahan yang aman.
"Saya sendiri pernah melawat rumahnya di situ pada tahun lepas dan taman kejiranan di situ kelihatan aman dan orang tempatannya juga peramah," kata Rokiah Mohamad, 65, kepada agensi berita nasional Malaysia [Bernama] di Georgetown, Pulau Pinang pada Jumaat.
Beliau berkata anaknya yang bekerja di kilang susu di New Zealand itu telah menetap di situ sejak empat tahun lepas dan berita tentang kejadian serangan masjid di Christchurch tersebut diketahuinya melalui berita TV pada 11 pagi.
"Saya risau tentang keadaan Rahimi selepas identiti mangsa dikenal pasti pada tengah hari tadi dan berdoa agar keadaan dia akan baik dan pulih dengan cepat," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bayan Lepas.
Katanya, kali terakhir beliau berhubung dengan Rahimi awal minggu ini apabila anaknya menelefon adiknya, Nor Nadiah Ahmad, untuk menanya khabar keluarga.
Rahimi merupakan anak ketiga daripada keluarga lima beradik, dan telah mendirikan rumah tangga bersama Nor Azila Abdul Wahid dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ahmad Razif, 11, dan Nur Faiqah, 7.
Seorang pelajar Malaysia yang tinggal di Christchurch, Hariz Aqil Abdul Ghani memberitahu BeritaBenar bahawa masjid di mana berlakunya tembakan itu hanya terletak kira-kira tiga kilometer (1.8 batu) dari rumah yang disewanya.
"Rakan Muslim dan rakan serumah saya selamat. Kami kunci diri di dalam rumah. Ia amat mengejut dan menakutkan," katanya.
Pemimpin negara kutuk serangan
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Jumaat memanggil serangan pengganas itu sebagai "pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan."
"49 orang yang tidak berdosa telah mati secara tidak sengaja, dengan begitu ramai lagi cedera parah. AS berdiri di belakang New Zealand untuk apa saja yang boleh kita lakukan. Tuhan memberkati semua!" kata Trump dalam catatan Twitternya pada Jumaat.
Rumah Putih juga mengeluarkan kenyataan yang mengutuk serangan itu.
“Ingatan dan doa kami adalah bersama mangsa dan keluarga mereka. Kami bersama-sama dengan rakyat dan kerajaan New Zealand menentang tindakan ganas penuh kebencian ini, "kata jurucakap Rumah Putih Sarah Sanders dalam satu kenyataan.
Setiausaha Negara Mike Pompeo juga menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga yang terlibat.
"Tidak ada orang yang perlu takut kepada keganasan di tempat ibadat mereka. Rakyat Amerika meratapi tragedi ini bersama rakan-rakan kami di New Zealand, "katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Australia Scott Morrison berkata salah seorang suspek adalah warganegara Australia.
Lelaki bersenjata yang menembak secara rambang itu telah menyiarkan tindakannya itu secara langsung di laman media sosial, sehingga mendorong orang awam meminta YouTube dan Facebook untuk memadamkan rakaman tersebut.
Facebook berkata pihak berkuasa New Zealand telah memaklumkan mengenai sebuah video di laman media sosial itu "sejurus selepas siaran langsung itu bermula" dan bertindak mengeluarkan rakaman video yang tidak disahkan bersama dengan akaun Facebook dan Instagram penembak berkenaan.
Rangkaian sosial media itu juga membuang apa saja pujian atau sokongan untuk jenayah yang dilakukan itu termasuk kepada penembak tersebut, kata Facebook.
Di laman sosial Twitter, YouTube berkata "Harap maklum bahawa kami sedang berusaha dengan gigihnya untuk mengeluarkan rakaman keganasan tersebut."
Pertandingan kriket antara New Zealand dan Bangladesh yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu telah dibatalkan.
Tembakan rambang di New Zealand jarang berlaku.
Sebelum serangan pada Jumaat, tembakan paling dahsyat dalam sejarah moden telah berlaku di sebuah pekan kecil di Aramoana pada tahun 1990, apabila seorang lelaki yang dikenali sebagai David Gray yang bersenjata telah menembak dan membunuh 13 orang berikutan pertikaian dengan jirannya, menurut Associated Press.