Kerajaan Malaysia perjelas kenyataan PM berhubung Laut China Selatan
2023.04.10

Kerajaan Malaysia bertindak mempertahankan dasar luarnya yang membabitkan isu Laut China Selatan, sehari selepas pemimpin pembangkang menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersikap lembut dalam menangani pertikaian wilayah tuntutan dengan China.
Kementerian Luar Negeri mengeluarkan kenyataan mengenai isu itu pada hujung minggu lalu di tengah-tengah kritikan umum dan penganalisis berhubung komen yang dibuat oleh Anwar, selepas beliau pulang dari lawatan rasmi pertamanya ke China sebagai perdana menteri.
Dalam kenyataannya, Wisma Putra berkata bahawa kedaulatan perairan negara di Laut China Selatan adalah "konsisten dan kekal tidak berubah."
"Kerajaan Malaysia tegas dan komited untuk mempertahankan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan Malaysia di kawasan maritimnya di Laut China Selatan seperti yang termaktub dalam Peta 1979 kami," menurut kenyataan itu.
Peta 1979, yang dikeluarkan oleh Jabatan Pemetaan dan Ukur Malaysia, telah menjadi rujukan rasmi berhubung tuntutan negara di perairan Laut China Selatan.
“Malaysia berpendirian teguh bahawa perkara yang berkaitan dengan Laut China Selatan mestilah diselesaikan secara aman dan konstruktif, selaras dengan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf secara universal termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1982 (UNCLOS 1982),” menurut kenyataan tersebut.
Dengan merujuk kepada istilah “rundingan,” Perdana Menteri Anwar telah “menegaskan bahawa isu-isu yang berkaitan dengan Laut China Selatan harus dibincangkan atau diselesaikan dengan cara yang aman menggunakan platform sedia ada dan tanpa menjejaskan pendirian berprinsip Malaysia, untuk mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan dan ancaman atau penggunaan kekerasan,” menurut kementerian itu.
“Oleh itu, dalam konteks ini, Malaysia akan meneruskan pendekatan diplomatik dalam hubungan kita dengan negara-negara lain termasuk China,” katanya.
Selepas pulang dari lawatannya ke Beijing, Anwar berkata beliau telah memberitahu Presiden China Xi Jinping bahawa sebagai sebuah negara kecil, Malaysia perlu meneruskan penerokaan minyak di perairan zon ekonomi eksklusif (ZEE), seperti yang dilaporkan oleh Radio Free Asia dan BenarNews pada 5 April.
Tetapi "jika syaratnya mesti ada rundingan untuk mendapatkan [hak], maka kita bersedia untuk berunding" dengan China, kata perdana Menteri.
Kenyataan tersebut membangkitkan kemarahan dalam kalangan rakyat Malaysia kerana pendirian beliau dilihat tidak setegas semasa beliau belum menjadi perdana menteri.
Ketika menjawab soalan di Parlimen, Anwar dilihat menyesuaikan nadanya dengan berkata beliau "bertegas bahawa kawasan itu...termasuk dalam wilayah Malaysia" dan "sementara itu, usaha penerokaan negara akan diteruskan."
Anwar berkata semasa pertemuannya dengan Xi di Beijing, pemimpin China itu membangkitkan isu berhubung kerja-kerja yang dilakukan oleh Petronas di ZEE.
Beliau turut memaklumkan kepada Xi bahawa Petronas akan meneruskan cari galinya kerana kawasan tersebut termasuk dalam wilayah Malaysia namun, sekiranya China merasakan mereka mempunyai hak ke atas kawasan tersebut, rundingan masih boleh diadakan.
Pada Khamis lalu, pemimpin pembangkang Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Anwar itu.
“Kenyataan ini dibuat melulu dan tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang perdana menteri. Implikasi kenyataan ini telah secara tidak langsung mengakui tuntutan China ke atas wilayah yang sudah pun menjadi wilayah Malaysia dan ini mesti dipertahankan,” kata Muhyiddin.
Laut China Selatan adalah satu daripada laluan maritim paling sibuk di dunia dan mempunyai banyak sumber semula jadi. Ia menjadi pertikaian dengan membabitkan kerja-kerja penerokaan sumber asli dan aktiviti penangkapan ikan.
China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, termasuk perairan dalam ZEE Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan.
Sebuah pelantar minyak kelihatan di perairan Johor, Malaysia, 7 Nov. 2017. [Henning Gloystein/Reuters]
Kenyataan awal oleh Anwar mengenai kerajaannya "bersedia untuk berunding" dengan China mengenai hak untuk meneroka sumber asli di Laut China Selatan mengundang kritikan bahawa kedaulatan negara di kawasan perairannya sudah termaktub, bukan untuk rundingan atau masih dalam pertikaian.
Penganalisis memberi amaran terhadap apa yang mereka lihat sebagai "pendekatan dua hala China" di mana Beijing cuba "memecahbelahkan dan menakluki" anggota blok Asia Tenggara ASEAN apabila ia melibatkan pertikaian Laut China Selatan dengan menggunakan kelebihan ekonominya.
“Xi Jinping telah menggunakan lawatan rasmi negara oleh Presiden Marcos Jr. dari Filipina pada Januari dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada April untuk memberi tekanan terhadap tuntutan China di Laut China Selatan dan mendesak perbincangan dua hala dilakukan,” kata Carlyle Thayer.
Beberapa negara ASEAN turut menuduh China menghalang dan mengganggu aktiviti minyak dan gas di ZEE masing-masing yang termasuk dalam Sembilan Garis Putus China, yang digunakan Beijing untuk membuat tuntutan terhadap hampir 90 peratus perairan Laut China Selatan .
Pada 2016, tribunal PBB mengisytiharkan sempadan tuntutan tersebut sebagai tidak sah dalam kes yang dibawa oleh Filipina.