Selangor Kekal Larang Penggunaan Nama Allah Dalam Terjemahan Melayu Kitab Injil
2021.03.23
Kuala Lumpur

Selangor mengekalkan larangan penggunaan kalimah 'Allah' dalam sebarang terjemahan berbahasa Melayu dalam kitab Injil dan penulisan agama Kristian di negeri itu, selepas Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa perkataan itu boleh digunakan golongan minoriti berkenaan dengan syarat bahan bacaan terbabit mesti dicop dengan perkataan 'Untuk Penganut Kristian Sahaja'.
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Selasa menitahkan bahawa kalimah Allah dalam kitab Injil (terjemahan bahasa Melayu) atau percetakan sebarang buku dan tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk yang mengandungi kalimah Allah dilarang penggunaannya di Selangor.
Baginda bertitah demikian sambil merujuk kepada keputusan terdahulu oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes membabitkan sebuah akhbar mingguan Kristian bernama The Herald, dan fatwa yang diwartakan di Selangor bahawa nama Allah tidak boleh digunakan atau disamakan dengan tuhan bagi agama-agama lain.
"Beta menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible (Injil) terjemahan Bahasa Melayu atau percetakan apa-apa buku-buku dan tulisan-tulisan agama Kristian di dalam apa-apa bentuk sekalipun yang mengandungi kalimah Allah tetap dilarang sama sekali penggunaannya di Negeri Selangor.
"Beta mengulang pendirian Beta bahawa kalimah Allah ialah suatu kalimah suci umat Islam dan hanya boleh digunakan untuk merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa yang mempunyai sifat sifat kesempurnaan Kalimah Allah sama sekali tidak boleh diletakkan di tempat yang salah atau digunakan selain daripada maksud Tuhan Yang Maha Esa yang menjadi asas pegangan akidah umat Islam," titah Sultan Sharafuddin dalam satu kenyataan media.
Menurut Sultan Selangor, sekiranya perkataan "Tuhan" digunakan sebagai terjemahan kepada perkataan "God", baginda tiada halangan atas penggunaan perkataan "Tuhan" tersebut.
Titah baginda yang juga merupakan ketua agama Islam bagi Selangor yang berkuasa keatas hal ehwal agama dibuat tiga hari selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan alasan penghakiman penuh oleh Hakim Nor Bee Ariffin dalam kes sivil dibawa oleh seorang penganut Kristian bernama Jill Ireland yang mencabar larangan kerajaan terhadap penggunaan empat perkataan termasuk nama 'Allah' dalam penerbitan Kristian.
Nor Bee telah memutuskan bahawa pekeliling yang digunakan kerajaan dalam larangan itu sebagai sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan, dan penganut Kristian boleh menggunakan perkataan-perkataan tersebut dalam penerbitan mereka dengan satu syarat - ia mesti dicop dengan perkataan 'Untuk Penganut Kristian Sahaja' di muka hadapan.
Dalam titah baginda, Sultan Selangor berkata bahawa penegasan larangan di Selangor adalah selaras dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur melawan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2014. Kes tersebut menyaksikan mahkamah tertinggi itu menegakkan keputusan bahawa perkataan 'Allah' bukan satu keperluan (not essential or integral part) dalam agama Kristian.
"Beta juga menitahkan agar rakyat Beta yang bukan beragama Islam di Negeri Selangor sentiasa akur dan mematuhi larangan penggunaan kalimah Allah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Pengawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam, 1988) yang telah diwartakan pada 7 Julai 1988.
“Ini termasuklah larangan penggunaan beberapa perkataan lain yang termaktub di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam ini bagi tujuan komersial dan bagi tujuan menamakan tempat-tempat perniagaan atau bangunan," titah Sultan Sharafuddin.
Sultan Selangor turut menyatakan sokongan penuh kepada titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Ismail baru-baru ini, yang meminta supaya kerajaan persekutuan merayu keputusan Mahkamah Tinggi.
Dalam titah pada 18 Mac lepas, Sultan Johor telah menyatakan bahawa Fatwa Negeri Johor melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam yang tidak bertepatan dengan maksudnya seperti dalam ajaran Islam.
Untuk rekod, kerajaan telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Mahkamah Rayuan pada 10 Mac lepas.
"Beta juga menitahkan agar Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) untuk memohon kepada mahkamah sebagai pihak pencelah dalam rayuan tersebut dan turut menyeru agar perkara yang sama dilaksanakan oleh Majlis Agama Islam Negeri lain (MAIN) bagi memelihara kemuliaan kalimah Allah dan kesucian agama Islam," kata Sultan Sharafuddin.
Persatuan peguam Muslim sambut baik
Dalam respon terhadap titah Sultan Selangor, Persatuan Peguam Muslim Malaysia menyambut baik titah baginda itu dengan berkata ia adalah selari dengan tanggungjawab memelihara syiar Islam.
"Malah bagi menjaga kemuliaan agama Islam serta memelihara syiar Islam ia adalah tanggungjawab baginda. Betitik tolak dari inilah baginda menzahirkan titah tersebut. Kuasa Persekutuan adalah berkaitan dengan penerbitan, keselamatan dan keharmonian. Tetapi apabila ia berkait dengan agama Islam, Sultan memainkan peranan yang sangat besar.
"PPMM mengalu-alukan pandangan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor dan menjunjung kaseh kepada baginda. Begitu juga PPMM menjunjung kaseh titah Sultan Johor baru-baru ini. PPMM merayu baginda Sultan-Sultan yang lain juga tampil menzahirkan titah baginda," kata presiden PPMM Zainul Rijal Abu Bakar kepada BeritaBenar.
Menurut beliau, Sultan Selangor juga mempunyai kuasa untuk mengeluarkan titah tersebut selaku ketua agama Islam negeri Selangor dan juga ketua eksekutif negeri.
"Sultan Selangor bukan sahaja Ketua Agama Islam Negeri Selangor tetapi juga ketua eksekutif dalam Negeri Selangor.
"Dalam konteks in Perlembagaan Persekutuan melalui Perkara 11(4) memberikan kuasa kepada negeri menggubal undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam yang termasuk menggunakan kalimah Allah bagi merujuk kepada agama bukan Islam. Oleh itu Sultan Selangor mempunyai kuasa sepenuhnya mengeluarkan pandangan baginda tersebut," kata Zainul.
Usaha BeritaBenar untuk mendapatkan komen dari peguam Annou Xavier yang mewakili Jill Ireland mengenai titah Sultan Selangor bagaimanapun tidak berjaya, kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon atau membalas mesej teks.
Menurut laporan media tempatan sebelum ini, Xavier dan seorang lagi peguam yang mewakili Ireland memuji keputusan Hakim Nor Bee yang membenarkan kalimah Allah digunakan bukan Islam di Malaysia.
Sementara itu, Majlis Gereja-Gereja Malaysia (CCM) pada 19 Mac lepas telah menolak satu rancangan oleh Menteri Dalam Negeri untuk mengadakan dialog di antara cendekiawan (scholars) Islam dan Kristian bagi menyelesaikan isu penggunaan kalimah Allah.
Menurut presidennya Archbishop Meltar Jiki Tais, ia adalah tidak sesuai untuk diadakan memandangkan bahawa kerajaan Malaysia telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi.
"Dengan penuh berhati-hati, memandangkan perkara ini kini berada di Mahkamah Rayuan, kami berpandangan bahawa ianya adalah amat tidak sesuai untuk isu ini diselesaikan melalui dialog yang dibuat Kementerian Dalam Negeri, yang merupakan perayu dalam kes ini," kata Meltar dalam satu kenyataan media.