1MDB: Pesalah Terakhir Di Singapura Terima Hukuman Berat
2017.07.12
Kuala Lumpur

Seorang bekas kakitangan bank BSI Singapura dijatuhkan hukuman penjara 54 bulan oleh sebuah mahkamah daerah negara itu pada Rabu kerana terlibat dalam pengubahan wang haram dan penipuan dalam skandal melibatkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), demikian menurut media Singapura.
Yeo Jiawei, bekas kakitangan bank BSI Singapura yang telah diarahkan tutup oleh Penguasa Kewangan Singapura (MAS) dikenakan hukuman paling berat berbanding dengan semua pesalah yang terlibat dalam skandal 1MDB di negara itu.
Mahkamah yang sama sebelum ini juga menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan keatas Yeo atas empat tuduhan mengganggu saksi pada tahun lalu dan kedua-dua hukuman akan dijalankan serentak.
Menurut laporan akhbar Today Singapura, Hakim Daerah Ng Peng Hong menjatuhkan hukuman penjara itu selepas Yeo mengaku bersalah atas satu daripada tujuh dakwaan yang dikenakan keatasnya.
Tujuh dakwaan yang dikenakan keatas Yeo termasuk empat tuduhan penipuan berkaitan dengan kegagalan mendedahkan bayaran dalam urusan dengan BSI Bank, dua dakwaan berkaitan pengubahan wang haram dan satu lagi melibatkan pemalsuan surat rujukan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh MAS pada bulan Mei, pendakwaan terhadap Yeo merupakan kes terakhir yang berkaitan dengan 1MDB di negara itu yang telah dijalankan sejak dua tahun lepas.
Yeo, berkhidmat di BSI sebagai pegawai perancang aset di antara bulan Disember 2009 dan Julai 2014.
Ketika itu, Yeo dikatakan telah berjaya mengaut keuntungan bagi dirinya mencecah RM80.66 juta (S$26 juta) daripada pelbagai sumber, termasuk melalui skim haram yang menipu majikannya.
Dana pelaburan 1MDB yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia Najib Razak telah disiasat di sekurang-kurangnya enam buah negara. Najib yang mempengerusikan lembaga penasihat dana pelaburan itu telah menafikan sebarang salah laku sejak Wall Street Journal melaporkan mengenainya pada Julai 2015.
Hampir AS$700 juta wang 1MDB telah didepositkan ke dalam akaun bank peribadi perdana menteri itu menjelang pilihanraya umum Malaysia pada 2013.
MAS sebelum ini mengarahkan penutupan BSI Bank dan Falcon Bank ekoran kegagalan pengurusan kanan mengawal Anti-pengubalan Wang Haram (AML) dan salah laku, selain mengeluarkan perintah larangan (PO) selama 10 tahun sehingga seumur hidup ke atas empat bekas pekerja institusi kewangan terbabit dalam transaksi berkaitan 1MDB.
Selain itu juga, ia telah mengenakan penalti kewangan berjumlah S$29.1 juta ke atas lapan buah bank, iaitu BSI Bank, Falcon Bank, DBS, UBS AG, Standard Chartered Bank, Coutts, Credit Suisse dan UOB kerana melanggar pelbagai peraturan AML.
“Lapan individu termasuk Yeo telah didakwa di mahkamah serta dikenakan hukuman penjara dari dua minggu hingga 54 bulan penjara dan telah dikenakan sekatan daripada melakukan sebarang perkhidmatan kewangan di Singapura dalam tempoh sepuluh tahun sehingga seumur hidup,” menurut kenyataan itu lagi.
Yeo sebelum ini, berulang kali menafikan hubungan rapatnya dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, yang telah dikenalpasti oleh pihak berkuasa Singapura sebagai orang yang mempunyai kaitan dalam siasatan yang sedang dijalankan dalam transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang dan membabitkan 1MDB.
Tiada pendakwaan di Malaysia
Sementara itu, di Malaysia, masih tiada pendakwaan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam skandal 1MDB, yang turut menjadi tumpuan pihak berkuasa beberapa buah negara lain seperti Singapura, Switzerland dan juga Amerika Syarikat.
Pada bulan lepas pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) telah mempergiatkan usaha bagi menyita beberapa aset, termasuk seutas kalung berlian milik isteri Perdana Menteri yang didakwa telah dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada dana milik negara Malaysia, demikian menurut saman yang difailkan di sebuah mahkamah di California.
Menerusi saman yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles baru-baru ini, Jabatan Keadilan berusaha mendapatkan semula aset bernilai kira-kira USD540 juta (RM2.3 bilion) yang didakwa telah dicuri oleh ahli perniagaan yang mempunyai kaitan dengan dana 1MDB.
Kira-kira setahun lepas, Amerika Syarikat telah memfailkan saman untuk “merampas dan mendapatkan semula” beberapa aset bernilai lebih USD1 bilion (RM4.2 bilion) berkaitan skandal 1MDB yang disifatkannya sebagai satu konspirasi global bagi pengubahan dana yang telah dicuri.
Pegawai Jabatan Keadilan AS berkata sejumlah USD4.5 bilion (RM19.2 bilion) telah diseleweng daripada 1MDB. Ia tidak menamakan Najib dalam kedua-dua saman namun para pegawai kerajaan Malaysia dan AS sebelum ini telah mengesahkan bahawa “Malaysian Official 1” (Pegawai Malaysia Pertama) yang disebut dalam dokumen mahkamah merujuk kepada perdana menteri berkenaan.
“Permohonan hari ini mendedahkan satu lagi episod dalam skim penipuan itu yang membabitkan nilai berbilion dolar dan menjadikan jumlah keseluruhan wang yang dikenal pasti telah dicuri ialah USD4.5 bilion,” kata pemangku pembantu Peguam Negara Kenneth A.Blanco dalam satu kenyataan pada 16 Jun lepas.
Peguam Negara Malaysia Apandi Ali sebelum ini telah menyatakan bahawa dana yang disalurkan ke dalam akaun Najib adalah satu sumbangan politik dari Arab Saudi dan kebanyakan wang tersebut telahpun dikembalikan.
Beliau tampil mempertahankan Najib dan menyatakan bahawa Jabatan Keadilan AS telah menghina perdana menteri.
“Selepas semakan, kami mendapati tiada sebarang jenayah dilakukan,” kata Apandi sambil menambah bahawa pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan berhubung kes itu.
Peguam Negara Malaysia itu turut meluahkan kekecewaannya kerana Jabatan Keadilan AS yang gagal untuk “memaklumkan atau memberitahu” pihaknya berhubung saman terbaharu itu.
Khalid juga berkata pihaknya tidak akan menghulurkan sebarang bantuan kepada Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berhubung isu 1MDB.
Najib telah berulang kali menafikan sebarang salah laku dan 1MDB, yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Malaysia, juga telah menafikan sebarang kesalahan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Malaysia itu pada Rabu berkata 1MDB telah memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai cara yang tidak disedari, namun terdapat kritikan dan persepsi negatif mengenainya.
Katanya, 1MDB telah membiayai jemaah haji, membina rumah dan menaja pendidikan pelajar termasuk semasa bencana banjir apabila 1MDB tampil ke hadapan untuk menghulurkan bantuan.
"Semua ini tidak disebut. Tidak semua perkara berkaitan 1MDB buruk atau negatif.
"Malah, ia telah memberikan sumbangan yang adil," katanya di majlis penyerahan surat tawaran daripada 1MDB kepada 1,100 imam, ketua kampung dan pemimpin masyarakat untuk menunaikan ibadat haji.